BANGI, 23 REJAB – Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr. Anuar Ahmad, menegaskan bahawa UPSR bukan peperiksaan, sebaliknya satu ujian pengesanan 3M yang bertujuan memastikan semua murid sekolah rendah menguasai asas membaca, menulis dan mengira.
“Saya sebut lagi sekali, ‘UPSR bukan peperiksaan’. UPSR hanyalah satu ujian pengesanan 3M yang setara untuk murid seluruh negara. Tujuan asal UPSR hanya satu. Bagi memastikan tiada murid yang keciciran 3M,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa kewujudan UPSR mendorong sekolah rendah untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas dengan baik.
“Sebab dengan adanya UPSR, semua sekolah rendah akan berusaha untuk memastikan setiap murid boleh membaca, menulis dan mengira dengan sebaik mungkin. Sebab itu saya sebut ‘kembalikan UPSR’. Saya tak pernah sebut ‘kembalikan peperiksaan’,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dr. Anuar turut menekankan masalah kelemahan 3M murid apabila UPSR dimansuhkan.
“Apabila tidak ada UPSR, semakin kerap kita dengar murid lemah 3M di tingkatan 1 dan 2. Tingkatan 3 pun masih ada murid yang tak boleh kuasai 3M dengan baik. Tak percaya? Cuba tanya guru-guru tingkatan satu di sekolah harian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kelemahan 3M di sekolah menengah menjejaskan proses pembelajaran dan motivasi murid.
“Apabila naik sekolah menengah, ada murid masih tak kuasai 3M, cikgu tingkatan satu mula susah hati. Nak ajar macamana kalau membaca pun masih lemah? Menulis pun terkial-kial. Kalau nak belajar Sejarah, murid kena kuasai dahulu membaca dan menulis. Nak belajar Matematik, murid tingkatan satu kena kuasai dulu asas Matematik.”
“Kalau tidak kuasai 3M di sekolah menengah, apa berlaku? Kajian menunjukkan murid yang lemah 3M akan hilang motivasi, putus asa, hilang semangat dan kerap ponteng. Akhirnya mereka ‘drop out’. Yang terlibat dengan salah laku pun banyaknya dari kelompok ini juga,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan mengembalikan UPSR sebagai alat ukur pencapaian asas 3M.
“Itu sebabnya saya kata ‘kembalikan UPSR’ sebagai alat ukur pencapaian 3M. Cukuplah laksanakan UPSR (versi asal 1988) untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Membaca dan Menulis) dan Matematik (mengira),” katanya.
Isu UPSR kembali hangat diperdebatkan apabila sebelum ini ramai pihak menggesa supaya peperiksaan itu dikembalikan, dan terbaharu Kementerian Pendidikan (KPM) memohon sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kajian itu perlu dilaksanakan secara teliti bagi menilai pelaksanaan pentaksiran yang sudah dijalankan sejak sekian lama, termasuk keberkesanannya terhadap perkembangan murid secara holistik.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment