BANGI, 23 REJAB – Kerajaan Negeri Melaka didesak mengarahkan siasatan segera terhadap sebuah hotel yang tular kerana didakwa menawarkan atau mempromosikan perkhidmatan yang bercanggah dengan nilai agama, budaya, dan norma masyarakat tempatan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata kerajaan tidak boleh dilihat lemah atau berdiam diri apabila isu sebesar ini mencabar sensitiviti agama dan ketenteraman awam.
“Saya memandang serius isu yang sedang tular melibatkan sebuah hotel di Melaka yang didakwa menawarkan atau mempromosikan servis bercanggah dengan nilai agama, budaya, dan norma masyarakat tempatan, seperti yang dilaporkan oleh portal Melaka Update dan perbincangan meluas di media sosial.
“Sebagai sebuah negeri yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk, sebarang bentuk normalisasi terhadap perlakuan songsang, sama ada secara tersurat atau tersirat melalui promosi perniagaan, tidak boleh sama sekali diterima,” katanya dalam kenyataan.
Dr Mohd Yadzil menegaskan bahawa sekiranya siasatan mendapati wujud elemen promosi, perkhidmatan, atau amalan yang jelas bercanggah dengan undang-undang, syarat lesen, atau nilai moral masyarakat, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi. Jika perlu, arahan penutupan premis boleh dilaksanakan sekiranya sabit kesalahan.
“Isu ini juga mendedahkan kelemahan pemantauan berterusan oleh pihak kerajaan, khususnya terhadap hotel bajet dan penginapan kecil yang sering terlepas daripada pemeriksaan berkala.
“Pelancongan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan prinsip, agama, dan nilai masyarakat negeri ini. Melaka bukan sahaja destinasi pelancongan, tetapi sebuah negeri bersejarah yang mempunyai identiti, adab, dan batas moral.
“Kerajaan wajib mempertahankan imej ini dengan tindakan, bukan sekadar kenyataan. Maruah negeri, keselamatan sosial, dan keharmonian masyarakat mesti diutamakan melebihi segalanya,” katanya.
Terdahulu, sebuah hotel bajet di Melaka mencetuskan persoalan apabila didapati menawarkan fasiliti berlabel ‘gay friendly’, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai maksud sebenar perkhidmatan yang disediakan.
Hotel yang menggunakan jenama White Loft itu mempamerkan secara jelas senarai fasiliti di laman web rasminya, whiteloft.my, yang antara lain menyatakan hotel tersebut sebagai ‘gay friendly’.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment