CYBERJAYA – Lapan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan perlu memberi penjelasan berhubung ketidakhadiran mereka ketika sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Mengehadkan Tempoh 10 Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penjelasan itu perlu dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku ketua whip blok kerajaan.
“Jadi mereka kena jelaskan, pertama kepada rakyat yang mereka wakili, kenapa mereka tidak hadir.
“Kedua (beri penjelasan) kepada ketua whip parti masing-masing dan ketua whip (Kerajaan Perpaduan) Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Ini kerana tugas dan tanggungjawab ahli Parlimen adalah untuk berada di Parlimen waktu Parlimen bersidang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia susulan kegagalan RUU itu memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Antara lapan ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir ialah tiga dari Barisan Nasional (BN), manakala lima lagi masing-masing dari GPS, GRS dan Parti Bangsa Malaysia serta dua Bebas.
Fahmi juga berkata, ketika ditanya kepada kesemua ahli Parlimen kerajaan terbabit tentang keberadaan mereka, bagaimanapun pelbagai alasan diberikan.
“TPM II kelihatan sedikit kecewa dengan ketidakhadiran lapan ahli Parlimen kerajaan itu.
“Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada dalam hospital, Ahli Parlimen Tapah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu luar biasa (jawapan),” katanya.
Bagaimanapun beliau mengesahkan tiada seorang pun ahli Parlimen kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) yang tidak hadir dalam sesi pengundian tersebut.
“Kami telah berjumpa dengan Kelab Penyokong Kerajaan dan pejabat Ketua Whip. Kami telah menerima 100 peratus hadir dari blok PH. Semua hadir dan mengundi menyokong (RUU).
“Setidak-tidaknya ahli Parlimen PH 100 peratus hadir. Tiada yang tidak hadir dan tidak ada yang tidak menyokong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment