PETALING JAYA – Gerakan dan tindakan tanpa mandat dalam parti didakwa menjadi antara faktor besar yang membawa kepada pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perkara itu bukan soal kecil atau perbezaan pandangan biasa, sebaliknya melibatkan disiplin parti dan kemungkinan perancangan membentuk gabungan baharu tanpa pengetahuan kepimpinan tertinggi.
Mengimbau semula isu pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau berkata, persoalan itu pernah dibangkitkan sendiri dalam kumpulan sembang pimpinan parti.
“Kami tanya dalam chat group sama-sama. Siapa jumpa Zahid? Tak terjawab. Tapi saya ada maklumat yang sahih.
“Dalam parti kita ini, kita ada perlembagaan dan disiplin. Ini isu besar,” katanya dalam pertemuan di ibu Pejabat Bersatu di sini, petang semalam.
Menurut Muhyiddin, kenyataan Ahmad Zahid dalam satu perhimpunan sebelum ini bahawa beliau sudah berjumpa dan berunding dengan Pas serta Bersatu yang turut dikaitkan dengan dakwaan ‘Bangkok Move’ menimbulkan persoalan serius dalam kalangan pimpinan.
Beliau menegaskan, sebarang rundingan politik tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa mandat.
“Engkau tak boleh pergi memandai-mandai ikut kepala siapa sekalipun, tujuan apa, tanpa ada mandat dan tak ada kebenaran ataupun tidak diluluskan oleh majoriti. Memandai-mandai nak pergi untuk apa?
“Kalau untuk kebaikan, beritahu kepada saya. Presiden tak perlu tahu? Ini bukan kerja main-main.
“Rupanya dia ada perancangan nak bentuk gabungan. Dia jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), tak tahulah macam-macam cerita.
“Ini boleh main-main ke? That one particular thing alone, it’s a very serious matter. Tak usah campur yang lain-lain,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, terdapat banyak lagi kesalahan lain yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin, namun beliau enggan memperincikannya kerana keputusan sudah dibuat berdasarkan asas yang kukuh.
“Oh, banyak bertimbun kesalahan dia. Sebab tu, itu di bawah Lembaga Disiplin. Yang setahu saya, saya fikir tak wajar saya nak beritahu satu-satu. Dah ada keputusan. Keputusan tu lah atas asas yang kukuh kenapa tindakan itu diambil.
“So, minta maaf. Saya tak boleh jelaskan. Itu sebabnya munasabah dan pihak Lembaga Disiplin bertindak atas dasar maklumat yang mereka dapat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan proses disiplin parti berjalan secara bersistematik dan bukan atas kehendak peribadi mana-mana pihak.
“Saya tidak perlu campur tangan bila ada laporan kepada Lembaga Disiplin, saya tak uruskan soal itu secara peribadi. Cara kita bekerja ini, saya bersistematik,” katanya lagi.
Tegas Muhyiddin, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh integriti kepimpinan dan hala tuju parti. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment