KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong menggesa supaya perhimpunan ‘Ops Terjah’ yang dirancang di sebuah kuil Hindu di hadapan Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini dibatalkan serta-merta.
Beliau telah menerima maklumat mengenai satu hantaran Facebook berhubung demonstrasi berkenaan dan memandang serius perkara itu kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
“Malaysia sebuah negara dengan masyarakat yang majmuk. Mana-mana pihak pun tak perlu jadi wira sentimen agama dan kaum,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Menurut beliau, sebarang bentuk provokasi berbentuk perhimpunan di rumah ibadat bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan isu berbangkit, malah boleh mengapi-apikan kebencian.
“Provokasi berhimpun seperti ini tak membantu untuk menyelesaikan masalah negara, malah mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara,” tegasnya.
Sim menegaskan, komitmennya untuk mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Saya masuk politik membela hak semua rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Orang Islam saya jaga, orang bukan Islam saya jaga. Saya tak akan biarkan mana-mana rakyat Malaysia diugut dan dibuli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur membatalkan perhimpunan berkenaan serta menghentikan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara.
“Batalkan perhimpunan, hentikan provokasi, jangan buat huru hara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia memantau keadaan dan memastikan tiada perhimpunan provokatif diadakan oleh mana-mana pihak di kawasan berkenaan. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment