NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU had tempoh PM: Syahir bidas disiplin blok kerajaan punca reformasi terkandas



KUALA LUMPUR – Kerajaan bertanggungjawab memastikan semua Ahli Parlimen mereka menghadiri sidang Dewan Rakyat supaya situasi menyalahkan pembangkang apabila usul tidak diluluskan tidak berlaku,” demikian tegas Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Sehubungan itu, beliau menyelar kegagalan blok kerajaan memastikan kehadiran penuh sehingga menyebabkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, ‘karam’ di Dewan Rakyat, semalam.

Pindaan yang memerlukan sokongan dua pertiga (148 undi) itu menemui jalan buntu apabila hanya meraih 146 undi menyaksikan Kerajaan tewas tipis dengan kekurangan hanya dua undi di saat-saat akhir.

“Barisan hadapan kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kelihatan terlalu yakin (over-confident) bahawa usul tersebut akan meluncur mudah tanpa halangan.

“Sebaik sahaja keputusan diumum, Speaker mendedahkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan dikesan tidak hadir, sekali gus mensabotaj agenda reformasi mereka sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Pas berkata, pada awalnya kehadiran di blok kerajaan dilihat penuh, namun setelah kertas undi dijumlahkan pengumuman Speaker menyebabkan dewan terdiam.

“Kerajaan tidak cukup dua undi, 146 daripada 148 yang diperlukan.

“Tindakan pembangkang memilih untuk berkecuali, kami telah melaksanakan tugas ‘semak dan imbang’ dengan membangkitkan isu-isu fundamental melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya termasuklah kebimbangan terhadap hemat budi bicara (prerogatif) Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2) serta keperluan mengasingkan kuasa antara Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika benar-benar serius mahu mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Syahir, ketika sesi penggulungan RUU itu, semua hujah tersebut ditolak.

“Oleh itu, pembangkang mengambil keputusan untuk tidak mengundi (berkecuali) setelah cadangan balas kami tidak diendahkan.

“Kegagalan mendapatkan keputusn majoriti ini secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada kredibiliti pengurusan Parlimen di pihak kerajaan.

“Keputusan akhir menyaksikan 44 Ahli Parlimen berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir,” katanya lagi.

Tambahnya, kegagalan itu tidak seharusnya diletakkan di bahu pembangkang memandangkan tanggungjawab mengumpul majoriti dua pertiga adalah kewajipan mutlak blok yang memerintah.

“Episod semalam membuktikan bahawa tanpa disiplin dan penghormatan terhadap hujah semak dan imbang, agenda reformasi paling besar sekalipun boleh rebah di tengah jalan akibat keangkuhan sendiri.

“Di pihak pembangkang, kami telah melaksanakan tugas ‘semak dan imbang’ di Parlimen.

“Tugas kerajaan adalah untuk memastikan semua Ahli Parlimen mereka hadir, supaya tidak berlaku situasi di mana, “Kerajaan Kalah, Tetapi Pembangkang Yang Dipersalah”, katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo