KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan keyakinan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak akan diundi di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, ia selepas RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, ia juga menunjukkan kerajaan telah mula mengambil iktibar daripada teguran dan pandangan yang dikemukakan berkaitan kedua-dua RUU tersebut.
“Seruan saya kepada kerajaan adalah supaya merendah diri, membuka ruang rundingan yang lebih luas dan menghormati peranan semua pihak dalam Parlimen.
“Reformasi institusi hanya akan berjaya jika dibina atas asas musyawarah dan keikhlasan, bukan paksaan angka semata-mata,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.
Sementara itu, mengulas penolakan terhadap RUU bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri semalam, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan sepatutnya melaksanakan rundingan yang terperinci dan menyeluruh bersama parti-parti yang menjadi pemegang taruh di dalam Parlimen, bukannya sekadar mengadakan taklimat sepintas lalu sebelum mengharapkan sokongan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment