KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu akan terus mempertahankan hak royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan tanpa mengira apa jua nama atau istilah digunakan bagi pembayaran hasil berkenaan, tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, hak royalti petroleum negeri itu bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan atau diketepikan, sebaliknya perlu dipertahankan berlandaskan perjanjian serta kerangka undang-undang yang telah dipersetujui.
Menurutnya, perjanjian pembayaran tunai antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang dimeterai pada 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 merupakan dokumen penting dalam menentukan hak negeri terhadap hasil petroleum.
Katanya, perjanjian berkenaan tidak boleh dianggap sekadar catatan sejarah, sebaliknya perlu diberikan perhatian serius dan tidak sewajarnya diketepikan atas alasan wujudnya akta lain yang digubal selepas itu.
“Sudah tentu, apa jua akta yang digubal selepas itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menafikan atau membatalkan hak Terengganu yang telah dimeterai lebih awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Samsuri berkata, perkara paling mengecewakan ialah sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November 2022, pembayaran royalti atau hasil petroleum yang menggunakan pelbagai istilah tidak lagi disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sendiri.
Beliau berkata, pembayaran berkenaan termasuk wang tunai petroleum, Dana Khas Kerajaan Persekutuan mahupun wang ihsan.
Katanya, perkara itu akan terus diingatinya walaupun suatu hari nanti tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar.
“Biarlah sejarah merekodkannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap keadaan berkenaan dapat dipulihkan seperti sepatutnya jika berlaku perubahan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Ahmad Samsuri turut menegaskan, mana-mana pihak yang mempertikaikan hak Terengganu terhadap hasil petroleum tidak sewajarnya diberikan amanah untuk membangunkan negeri dan negara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment