NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembangkang letak syarat jika mahu sokong RUU had jawatan PM



SHAH ALAM - Pembangkang meletakkan dua syarat kepada kerajaan sekiranya mahu menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antaranya pindaan terhadap cadangan supaya Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan bagi mengelakkan pemusatan kuasa.

“Selain itu, had dua penggal sebagai prinsip tetapi Yang di-Pertuan Agong tetap boleh membuat pengecualian dalam hal tertentu dan tetap ada kuasa mutlak untuk melantik seorang Perdana Menteri.

“Jadi tiada isu bahawa pihak pembangkang tidak menyokong RUU ini sekiranya pindaan ini dibenarkan dengan syarat dipenuhi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ketika sesi perbahasan, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut membangkitkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, termasuk Perkara 159(5) dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, pindaan tersebut menyentuh keistimewaan dan kesucian Raja-Raja Melayu, yang memerlukan sesuatu keputusan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

“Ia kerana merujuk kepada Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ianya kuasa mutlak Yang Di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri. Cadangan pindaan ini akan menghadkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berpandangan usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu berlandaskan maqasid atau tujuan yang lebih besar dalam membangunkan budaya politik baharu baru dan bersih.

“Perdana Menteri beroperasi dalam budaya politik. Budaya politik itu sendiri mesti mengawal perlakuannya, sama ada tempoh jawatannya dihadkan atau tidak.

“RUU ini juga berpotensi mengundang kesan yang tidak diingini. Ia menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, bukan mengawalnya daripada menjadi terlalu berkuasa.

“Malahan, wujud kelompangan yang mungkin menjadikannya lebih berkuasa,” menurutnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman turut berkongsi suasana ketika pengundian RUU tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, reaksi ahli Parlimen kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu kelihatan yakin pindaan tersebut akan diluluskan susulan kehadiran penuh blok berkenaan.

“Namun setelah kertas undi dijumlahkan, pengumuman Speaker menyebabkan dewan terdiam sejenak. Kerajaan tidak cukup dua undi, iaitu 146 daripada 148 undi.

“Difahamkan, ada lapan ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, menyebabkan kerajaan kalah. Di pihak pembangkang, kami telah melaksanakan tugas semak dan imbang di Parlimen.

“Tugas kerajaan adalah untuk memastikan semua ahli Parlimen mereka hadir, supaya tidak berlaku situasi di mana, kerajaan kalah, tetapi pembangkang yang dipersalah,” kata beliau.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo