BANGI, 14 RAMADAN – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, pembangkang mengambil keputusan untuk berkecuali dalam pengundian Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal selepas cadangan balas mereka tidak diendahkan.
Katanya, RUU itu hanya mendapat sokongan 146 Ahli Parlimen, kurang daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Seramai 44 Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali manakala 32 tidak hadir, menurut pengumuman Speaker Dewan Rakyat..
“Sepanjang perbahasan, pembangkang menyatakan pendirian ‘bersetuju bersyarat’. Namun selepas cadangan balas kami tidak diendahkan, kami mengambil keputusan untuk berkecuali,” katanya.
Syahir menjelaskan, antara perkara yang dibangkitkan ialah Perkara 159(5) dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyentuh kemuliaan, kebesaran dan kekuasaan Raja-Raja, serta Perkara 43(2) berhubung budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang berhujah mengenai keperluan mengasingkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Menurut Syahir, had dua penggal hanya mengehadkan tempoh jawatan, tetapi tidak menyelesaikan isu pemusatan kuasa jika seorang individu terus memegang kedua-dua jawatan utama itu.
Sementara itu, mengulas suasana pengundian, Syahir berkata, kehadiran Ahli Parlimen blok kerajaan dilihat penuh, dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yakin RUU itu akan diluluskan.
Namun selepas pengiraan undi, kerajaan gagal memperoleh sokongan mencukupi.
Difahamkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir.
“Di pihak pembangkang, kami telah melaksanakan tugas semak dan imbang di Parlimen.
“Tugas kerajaan adalah memastikan semua Ahli Parlimen mereka hadir supaya tidak berlaku situasi kerajaan kalah tetapi pembangkang yang dipersalahkan,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment