NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label SELANGOR. Show all posts
Showing posts with label SELANGOR. Show all posts

Isu Pengurusan Najis Babi Pulau Pinang Masih Belum Selesai, Dakwa PAS Selangor

SHAH ALAM — Isu pencemaran akibat pengurusan najis babi di Pulau Pinang didakwa masih belum menemui penyelesaian tuntas walaupun ladang-ladang babi di negeri itu telah dinaik taraf kepada konsep Modern Pig Farming (MPF), kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff.

Menurut beliau, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan sebanyak 117 ladang babi telah ditukar kepada sistem ladang tertutup. Namun, realiti di lapangan menunjukkan masalah pencemaran alam sekitar masih berterusan.

Pulau Pinang mempunyai dua ladang babi berskala besar iaitu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Valdor, Jawi. Yusfarizal menjelaskan bahawa pengurusan najis babi di Valdor dirancang untuk disalurkan ke fasiliti biogas yang dibina sejak 2024, manakala di Kampung Selamat, rawatan masih bergantung kepada kolam kumbahan.

Beliau mendakwa pencemaran di Sungai Kereh, Tasek Gelugor masih berlaku, termasuk masalah bau busuk najis babi, walaupun ladang berkenaan telah dinaik taraf kepada sistem tertutup.

Sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan cadangan untuk mengangkut najis babi menggunakan lori dari Kampung Selamat ke fasiliti biogas di Valdor melalui jalan darat. Namun cadangan tersebut akhirnya gagal dilaksanakan.

Pada 16 Mei 2025, Kerajaan Negeri mengakui bahawa langkah itu tidak dapat diteruskan berikutan risiko penularan penyakit semasa proses pengangkutan najis.

Lebih membimbangkan, Yusfarizal berkata Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk tidak membina fasiliti biogas di Kampung Selamat, sebaliknya menggantikannya dengan sistem Quantum Thermal Pyrolysis Cracking (QTPC) yang kini masih di peringkat projek perintis.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sistem pengurusan najis yang benar-benar terbukti berkesan dilaksanakan, dan pelbagai cadangan yang dikemukakan masih bersifat percubaan.

Dalam pada itu, Yusfarizal mempersoalkan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mencontohi model ladang babi Pulau Pinang bagi projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar.

“Apa sebenarnya yang mahu ditiru? Pengangkutan najis menggunakan lori yang gagal? Sistem biogas yang tidak berfungsi sepenuhnya? Atau QTPC yang masih belum difahami keberkesanannya?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun tiada bantahan terhadap konsep ladang berpusat (centralized), pelaksanaannya pada skala besar tanpa sistem pengurusan yang matang dan terbukti boleh membawa risiko besar kepada alam sekitar serta menjejaskan daya maju projek dari sudut perniagaan.

“Jika projek tidak berdaya maju, kita semua tahu apa kesudahannya,” katanya sambil memberi amaran bahawa kegagalan pengurusan boleh mencetuskan bencana alam sekitar berskala besar.

Beliau turut mendakwa terdapat maklumat bahawa fasiliti biogas di Valdor sendiri berdepan masalah kerana bekalan najis tidak mencukupi, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Yusfarizal menegaskan bahawa Selangor perlu berhati-hati agar masalah yang berlaku di Pulau Pinang tidak berulang dan menjadi isu nasional pada masa hadapan.


Sultan Selangor Titah Tutup Operasi Kandang Babi di Tanjong Sepat, Pindah ke Bukit Tagar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar secara berfasa.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, pada Isnin.

Menurut kenyataan Istana Selangor, baginda menegaskan bahawa tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjong Sepat, dan proses perpindahan hendaklah dilaksanakan secara terancang serta mematuhi semua keperluan perundangan.

“Operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar,” menurut kenyataan itu.

Izham dalam sidang media selepas sesi menghadap memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempercepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang, serta tidak akan memperbaharui sebarang lesen penternakan di kedua-dua kawasan berkenaan.

Langkah itu, katanya, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin dan bertujuan menangani isu pencemaran alam sekitar serta penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Izham turut menjelaskan bahawa projek penternakan di Bukit Tagar merupakan inisiatif pihak swasta, manakala kerajaan negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara dari segi kelulusan yang diperlukan.

Baginda sebelum ini menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan kaedah pengurusan penternakan babi di Selangor ketika ini, sekali gus mendorong pertemuan bersama Exco berkaitan.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar kajian terperinci dan bancian menyeluruh dijalankan bagi menentukan keperluan sebenar daging babi untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan eksport hasil penternakan tersebut.

Dapatan kajian itu, menurut baginda, perlu dijadikan asas dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar supaya kekal terkawal dan munasabah.

Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan awam bagi operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin seterusnya berharap semua pihak mematuhi ketetapan tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.


Sultan Selangor Murka: Projek Ternakan Babi Berskala Besar Undang Risiko Pencemaran, Unsur Kepentingan Dipersoal

SHAH ALAM — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan terhadap perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi ternakan babi berskala besar di Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030, satu keputusan yang disifatkan tidak sensitif, tidak seimbang dan berpotensi mengulangi kegagalan tadbir urus lebih sedekad lalu.

Baginda secara terbuka menolak idea menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara, sambil memberi amaran bahawa masalah pencemaran bau, air dan kesihatan awam yang masih menghantui penduduk sejak 2010 bakal menjadi lebih parah jika projek berskala besar diteruskan.

Dalam titah yang keras, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa baginda tidak menentang kewujudan penternakan babi secara prinsip, khususnya dalam skala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan makanan masyarakat bukan Islam. Namun, cadangan projek berorientasikan eksport disifatkan sebagai melampaui keperluan sebenar rakyat Selangor dan mengabaikan realiti demografi negeri yang majoritinya Melayu Islam.

Lebih membimbangkan, baginda turut mempersoalkan sama ada perancangan projek ini didorong oleh kepentingan kelompok politik dan perniagaan tertentu, termasuk kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan serta ketirisan dalam proses kelulusan.

“Kajian pasaran dan kos sebenar mesti didedahkan. Jika kerajaan negeri terpaksa menanggung kos pemodenan yang tinggi, persoalannya: mengapa dana awam tidak disalurkan kepada keperluan lebih mendesak seperti sekolah, hospital dan kemudahan asas rakyat?” titah baginda.

Sultan Selangor turut mengingatkan bahawa baginda sendiri bersemayam di Istana Pantai Bahagia, Kuala Langat, dan menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau daripada ladang ternakan babi sedia ada — satu realiti yang menurut baginda gagal difahami pembuat dasar yang jauh dari lapangan.

Sebagai sindiran terbuka terhadap wakil rakyat, baginda mencabar mereka supaya tinggal bersebelahan kawasan ternakan babi bagi merasai sendiri penderitaan penduduk setempat sebelum membuat sebarang keputusan.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk menyelaraskan semua ladang babi di Selangor di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat bagi tempoh tiga tahun, dengan alasan kawalan penyakit seperti Demam Babi Afrika (ASF), sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar.

Namun, teguran keras Sultan Selangor ini memberi isyarat jelas bahawa keputusan pentadbiran yang gagal mengambil kira kesejahteraan rakyat, keharmonian sosial dan kelestarian alam sekitar tidak akan dibiarkan berlalu tanpa teguran terbuka.

Dalam landskap politik negeri yang semakin sarat dengan keputusan berprofil tinggi, titah Sultan Selangor dilihat sebagai peringatan tegas bahawa pembangunan ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip keadilan, sensitiviti rakyat dan amanah tadbir urus.

Penduduk Kampung Papan terkejut, rumah diroboh walau masih berpenghuni

KLANG – Beberapa rumah di Kampung Papan, Pandamaran mula dirobohkan hari ini, termasuk beberapa kediaman yang masih berpenghuni — sekali gus mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk.

Tindakan itu berlaku walaupun kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan hanya rumah kosong akan dirobohkan.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, berkata tindakan tersebut bertentangan dengan janji kerajaan Madani yang kononnya menekankan nilai kemanusiaan.

“Inikah janji kerajaan Madani? Mereka kata hanya rumah kosong akan diroboh, tapi sekarang rumah yang masih dihuni pun turut musnah. Ada yang tua, ada yang sakit — ke mana mereka mahu pergi selepas ini?” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sekitar 20 rumah dilaporkan sudah dirobohkan pagi tadi menggunakan jentolak, termasuk enam rumah yang masih dihuni. Beberapa penduduk mendakwa mereka tidak diberi masa mencukupi untuk mengeluarkan barang keperluan sebelum operasi dijalankan.

“Kami minta tangguh sekejap, tapi mereka terus roboh. Barang pun banyak tak sempat selamatkan,” kata seorang penduduk yang rumahnya musnah dalam operasi itu.

Kerajaan Selangor sebelum ini memaklumkan rancangan untuk membina rumah baharu bagi 181 keluarga terjejas, menerusi projek oleh anak syarikat kerajaan negeri. Namun, sehingga kini belum ada tarikh rasmi penempatan semula diumumkan.

Arutchelvan turut mendakwa pemaju bertindak angkuh dan enggan berunding dengan wakil penduduk semasa operasi berlangsung.

“Kalau mereka benar-benar adil, bina dulu rumah ganti sebelum roboh. Tapi sekarang rakyat dihalau tanpa jaminan apa-apa,” tegasnya.

Exco Perumahan Selangor, Borhan Aman Shah, belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan bahawa rumah berpenghuni turut dirobohkan.


Manifesto Perikatan Nasional Selangor, Apa Yang Best?

Baru-baru ni PN Selangor keluarkan manifesto. Aku nak share dengan korang apa yang best.

PN tawar cukai pintu percuma bagi semua rumah kos rendah, rumah kampung tradisi dan kampung bagan selama 5 tahun. Takyah bayar cukai pintu wei....

Semua parking kat Selangor Utara dari Sabak Bernam hingga Kuala Selangor dikecualikan bayaran. Korang parking lah mana-mana parking yang digazet secara percuma. Janji bukan depan rumah orang. šŸ˜‚šŸ˜‚

Untuk pengerak Masjid dan Surau, PN tawar RM 1700 untuk Iman, RM800 Bilal, RM600 Siak dan RM 600 Nazir Masjid. PH tawar juga tapi rendah dari apa yang PN tawarlah. Abislah Imam Bilal Siak dan Nazir masjid akan kempen jemaah untuk undi PN. 

Kalau aspek kesihatan pula, PN nak perkenalkan skim prihatin sihat yang ada rawatan asas dan perlindungan takaful untuk 250,000 orang. Dia macam medical card dengan takaful sekali lah. 

Banyak isu berkenaan pergerakan pesakit dan OKU untuk dapatkan rawatan. PN tawar Van Selangor Care dan juga Ambulans komuniti untuk bantu pergerakan warga tua, OKU dan pesakit bergerak dapat rawatan.

Satu benda yang aku puas hati tawaran PN ni sangat mengambil peduli tentang OKU. PN berjanji akan jadikan negeri Selangor sebagai negeri mesra OKU. Dorang juga janji wujudkan peluang ekonomi untuk golongan OKU. Yang ni sebenarnya satu isu yang membelenggu golongan OKU yang sering dinafikan hak untuk berkerja.

Bagi anak muda, PN beri RM500 untuk pasangan baru kahwin, pakej percutian raikan cinta dan insentif lahir Selangor RM 500. Best wei, dah kahwin pastu dapat tajaan honeymoon, pastu beranak pun dapat duit. 😊😊

Bagi kakitangan awam Selangor, PN janji 2 bulan elaun khas. Walaupun tidak disebut bila pembayaran, ia dijangka akan beri sedikit kelegaan kepada rakyat Selangor dengan extra cash in hand.

Untuk tingkatkan ekonomi secara sustainable, PN janjikan 100,000 peluang kerja, 50 juta dana untuk invest selangor tarik pelaburan, dan RM20 juta tingkat eksport produk tempatan. 

Kalau bab perlancongan, PN sedia RM 200 juta untuk destinasi perlancongan dan pembangunan homestay unik. 

Bagi membantu peniaga, PN akan sedia skim mikrokredit sebanyak RM500 juta kepada 100,000 orang. Maknanya setiap peniaga boleh mohon bantuan sehingga RM5000. Bagi anak muda yang nak modal berniaga, jumlah ni lebih dari cukup dah.

PN tawar fi lesen dan sewa tapak berniaga percuma untuk 5 tahun. Dana food truck juga disediakan sebanyak RM50 juta.

PN fokus kepada tingkatkan hasil pengeluaran makanan tempatan dengan RM150 juta insentif Dana Makanan Selangor Pada aku benda ni bagus sebab negara masih bergantung kepada import makanan sebanyak RM72billion setahun. Bila ringgit lemah, kos import meningkat dan harga makanan jadi mahal. 

Bab biasiswa kepada pelajar cemerlang, PN tawar RM20 juta untuk kos masa hadapan. Bagi semua anak Selangor yang masuk universiti, PN tawar RM1500 dan RM500 untuk yang masuk matrikulasi serta tingkatan 6. 

Aritu kecoh 300,000 lepasan SPM taknak sambung belajar. Kita faham banyak faktor antaranya kekangan kewangan. Jadi PN tawar RM 1500 kepada rider p-hailing yang nak sambung belajar. Benda ni aku tengok galakkan supaya mereka tidak hanya bergantung kepada gig-economy sahaja.

Antara kekangan golongan wanita untuk berkerja adalah masalah tempat jagaan anak. PN sangat memberikan fokus kepada aspek ni. Korang tengoklah PN janji nak bina 20 pusat child care, sediakan RM50 juta untuk pusat asuhan dipejabat dan RM150 bantuan yuran pusat asuhan kepada 65,000 ibu.

Ibu tunggal atau wanita waja yang bercerai atau kehilangan suami akan terima elaun selama 3 bulan sebanyak RM500. 

Bagi sektor pendidikan, PN tawar RM5000 kepada setiap PIBG. Untuk pengetahuan Kerajaan Selangor pada hari ini tawar RM1500 sahaja. 

Haaaa ni paling best pada aku, legasi Tan Sri Khalid Ibrahim, pemberian 20m3 air percuma akan dikembalikan kepada isirumah RM15,000 sebulan. Pendek kata almost semua rakyat Selangor dapatlah. 

Untuk atasi isu NRW, PN akan sediakan RM200 juta untuk pertukaran paip dan bagi mengurangkan hentitugas loji air, PN akan sediakan dana untuk lebih banyak sensor dan AI sistem dipasang bagi kesan pencemaran. 

Bagi capaian internet, PN akan perluas jaringan 5G dan kualiti capaian internet percuma. Bab ni mesti orang Selangor luar banda sangat setuju kan. Setakat arini, 1-2 bar sahaja yang diterima. 

Aku rasa tak perlu nak ulas lebih, korang pun boleh nampak tawaran PN sangat menarikkan? Pandai PN tawar benda menarik untuk pengundi Selangor. 

Apapun selamat mengundi kepada semua warga Selangor. Ingatlah pesanan pantun keramat Mat Maslan.

Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan,
Jika tak mau kena kencing,
Jangan undi Pakatan Harapan.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Sumber  : FB

Tiada wakil DAP hadir majlis pelancaran jentera Hulu Langat, protes penyerahan kerusi Dusun Tua kepada BN



PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP mengakui setakat ini sukar memujuk ahli dan penyokong parti itu yang terkilan dengan pencalonan Barisan Nasional (BN) di Dusun Tua pada PRN bulan depan.

Beliau yang enggan dinamakan berkata, ramai kecewa apabila kerusi dimenangi DAP pada PRU14 menerusi Edry Faizal Yusof diserahkan kepada Timbalan Ketua Umno Selangor Johan Aziz untuk mewakili gabungan kerajaan perpaduan.

Katanya, ramai ahli DAP di Hulu Langat meluahkan kemarahan mereka dalam pertemuan dengan Ketua DAP Selangor Gobind Singh Deo, semalam, iaitu sehari selepas BN diumum bertanding di kerusi DUN Dusun Tua.

“Memang akar umbi kecewa tahap kronik, susah hendak pujuk setakat ini,” katanya kepada FMT.

Dusun Tua, antara dua kerusi disandang komponen Pakatan Harapan (PH) selain Gombak Setia diserahkan kepada BN pada PRN 12 Ogos ini.

Pada PRU14, Edry Faizal menang dengan majoriti 10,422 menewaskan Mohd Zin Isa (BN) dan Razaly Hassan (PAS).

Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han, berkata beliau bersama Gobind bertemu ahli DAP di Hulu Langat bagi membincangkan keputusan Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyerahkan kerusi Dusun Tua kepada Umno.

“DAP Selangor ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dan terkilan terhadap penyerahan kerusi tersebut,” katanya di Facebook.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH esok yang mungkin membincangkan syarat pertukaran.

Difahamkan, tiada wakil DAP hadir pada majlis pelancaran jentera perpaduan peringkat Hulu Langat Rabu lalu yang mempunyai dua kerusi iaitu Dusun Tua dan Semenyih- kedua-duanya bakal ditandingi BN.


Sumber  | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Calon PKR Dun Permatang pernah di penjara dua tahun dan dua sebatan kerana menipu Presiden KDEB

story-image

Calon PKR untuk kerusi DUN Permatang dalam PRN Selangor akan datang bukanlah tergolong dalam 'kluster mahkamah' menurut ketua penerangan parti itu, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga menteri komunikasi dan digital berkata ini kerana mereka yang terlibat dalam ‘kluster mahkamah’ adalah ahli politik yang sedang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menghasut atau pun rasuah.

"Bagi saya, itu sudah selesai," katanya ketika diminta mengulas mengenai pencalonan Mohd Yahya Mat Shari bagi kerusi DUN Permatang semalam, di Shah Alam.

Pada 4 Mac 2016 lalu, Mohd Yahya yang juga bekas pegawai khas kepada bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dipenjara dua tahun dan menerima dua sebatan selepas dia gagal dalam rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd Abdul Karim Munisar berhubung sumbangan RM50,000 bagi menaja sambutan 100 hari Pakatan Rakyat (PR) pada ketika itu.

Bercakap kepada pemberita di UiTM Shah Alam hari ini Fahmi berkata semua calon PKR telah diarah menandatangani bon berjumlah RM10 juta.

Katanya, ini bagi mengelak perkara yang sama berlaku kepada parti ekoran tindakan bekas naib presidennya Zuraida Kamaruddin yang bertindak melompat parti.

“Saya difahamkan calon-calon dari PKR dan PH akan atau telah diarah untuk menandatangani bon bernilai RM 10 juta sekiranya mereka melepaskan kerusi ataupun bertindak lompat parti dan kita telah lihat tindakan mahkamah terhadap (bekas ahli Parlimen Ampang) Zuraida Kamaruddin membuktikan cara ini boleh diguna pakai,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta dan kos RM50,000 kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Zuraida bersama 11 ahli parlimen lain diketuai Azmin Ali keluar PKR pada Feb 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa keruntuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU14.

Pada Sept tahun yang sama, PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana meninggalkan parti.

Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemudian, pada Dis tahun lalu, Zuraida dan sepuluh ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman parti itu yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden NGO Muafakat Nasional yang digerakkan bekas ahli Umno Annuar Musa.

Pada PRU15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

Pun begitu, Zuraida yang pernah menjadi ketua Wanita PKR tewas dan hilang deposit. Kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.

PH setuju serahkan kerusi kepada UMNO: Amirudin

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.


Pakatan Harapan (PH) bersetuju memberi UMNO satu atau dua kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya terpaksa mengalah dalam hal tersebut.

“Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya.

“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14… Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.

“Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada UMNO atas  semangat perpaduan,” katanya pada temu bual radio BFM.

Namun beliau tidak mengulas lanjut malah Amirudin juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya, lapor Malaysiakini.

Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa masih belum melihat senarai calon PRN kali ini.

“Ia semata-mata senarai PH dan Umno. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.

“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.

“Sudah tentu, presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.

Dalam pada itu ADUN Sungai Tua itu berkata, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.

“Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi,” katanya.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Noh sedang pertimbang ‘lamaran’ beberapa parti

Noh Omar dipecat Umno pada Januari lalu akibat pelanggaran disiplin atas kesalahan ketika PRU15.


PETALING JAYA: Bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar yang dipecat pada Januari lalu mengakui masih mempertimbangkan “lamaran” beberapa parti.

“Tunggu…sekarang belum ada pertandingan hebat-hebat. Saya ini ‘player’ dan bukan penonton.

“Bila sampai PRN, ia ibarat Piala Malaysia. Masa itu, saya tiada pilihan dan kena pilih mana-mana ‘team’ (parti) untuk bermain,” katanya menurut Harian Metro.

Noh berkata, kriteria dipertimbangkannya ialah parti yang boleh bekerja, memberikan semangat perjuangan, tidak mementingkan diri dan lebih mementingkan rakyat tanpa mengira kaum.

“Namun, penting bagi saya adalah Bumiputera dan kaum lain mesti bersama.

“Mana-mana parti meletakkan Islam sebagai perkara utama sesuai dengan Perlembagaan kita kerana Islam adalah agama persekutuan.”

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu dipecat akibat pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan ketika PRU15.


Sumber | FMT Malaysia





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Negeri lain banjir, Selangor tak ada air


Berlaku pencemaran bau di loji rawatan air berkenaan akibat tumpahan minyak wangi disebabkan kemalangan lori berhampiran, kata Luas.

Akibat kejadian pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir, sebanyak 472 kawasan di lima kawasan Air Selangor akan menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual.

Air Selangor berkata Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi ditutup sementara pada jam 7 pagi hari ini untuk pembersihan.

Kawasan terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata pencemaran itu berpunca daripada tumpahan minyak wangi akibat kemalangan lori berhampiran Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Jarak antara lokasi kemalangan dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih kira-kira 6.4km, kata Luas.

Luas berkata ia sedang memantau rapi usaha untuk membersihkan tumpahan minyak itu.

Loji rawatan air Semenyih dan Bukit Tampoi ditutup sementara tiga minggu lalu selepas satu lagi kejadian pencemaran bau dikesan di tempat pengambilan air Jenderam Hilir.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bomba Selangor hantar anggota, aset bantu mangsa banjir Terengganu


SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor sudah menghantar pasukan bagi membantu melancarkan pemindahan mangsa banjir di Terengganu.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menghantar sembilan anggota, dua bot dan sebuah lori lima tan bagi tujuan itu.

"Bantuan dari Bomba Selangor bertolak ke Terengganu pada jam 6 petang tadi dan dijangka tiba jam 1 atau 2 pagi nanti," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaga-jaga memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Selangor juga sedang bersiapsiaga bagi operasi banjir kilat di Selangor.

"Terdapat 42 pemantauan dilakukan terutama di lokasi seperti Hulu Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Taman Sri Muda.

"Sebanyak 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terbabit dalam usaha ini, antaranya BBP Shah Alam, BBP Sepang, BBP Banting, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Bestari Jaya," katanya.

Sumber | BH Online 




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

COVID-19 : JAIS keluarkan panduan terkini solat Jumaat di Selangor

SHAH ALAM: Hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor bermula 25 Februari ini, berdasarkan ketetapan terkini diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.

Langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19.

Pada Ahad lalu, daripada 28,734 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sejumlah 7,166 kes atau 24.9 peratus membabitkan penularan di Selangor.

Ketetapan surat edaran bertarikh 21 Februari itu yang dilihat media di sini, menyatakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 20 Januari lalu.

Ketetapan bertarikh 20 Januari lalu itu, menjelaskan mengenai Ketetapan Baru Pelaksanaan Solat Fardu Jumaat Dengan Kapasiti Penuh Serta Penjarakan Fizikal 1.0 Meter Antara Jemaah Di Semua Masjid, Surau Kebenaran Solat Jumaat Di Selangor.

Bagaimanapun, susulan perkembangan terkini penularan COVID-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk dan menjejaskan aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa dan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, baginda berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.

"Antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak (booster) dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.

"Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.

"Selain itu, jemaah perlu mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia kala iaitu sihat dan tidak bergejala, memakai pelitup muka, membawa sejadah besar dan berwuduk, selain mempamerkan dan merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera," menurut edaran itu.

Selain itu, pengurusan juga perlu memastikan vantilasi ruang solat berhawa dingin dengan membuka sebahagian pintu dewan solat utama masjid, surau dan musolla bagi memastikan tidak berlaku kitaran peredaran udara tepu yang memungkinkan penularan lebih mudah berlaku.

"Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.

Sumber : BH

Operasi pembersihan pasca banjir selesai akhir bulan ini -MB Selangor


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata operasi pembersihan pasca banjir di Selangor dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, sehingga kini kerja pembersihan masih di fasa pertama yang mana kerja kutipan sampah pukal banjir dijangka selesai selewat-lewatnya 14 Januari ini.

"Setakat ini, 77,000 tan sampah berjaya dikutip iaitu 47,000 tan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd dan 30,000 tan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak lain.

"Fasa pertama kutipan sisa banjir diselesaikan sepenuhnya selewat- lewatnya 14 Januari ini dan selepas tempoh itu, semua kutipan adalah berdasarkan permohonan biasa kepada PBT," katanya pada sidang media khas pasca banjir Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Beliau berkata, semua sampah di depan rumah dan taman secara asasnya sudah dikeluarkan bagaimanapun akan ada sampah lain terutamanya bagi mangsa yang baru sahaja pulang ke rumah masing-masing.

Amirudin berkata, kerja pembersihan pasca banjir di negeri ini membabitkan 21,784 petugas termasuk 10,000 sukarelawan serta petugas agensi kerajaan, penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Beliau berkata, sebanyak 3,503 aset kerajaan negeri sudah digerakkan bagi kerja- kerja pembersihan di lapan daerah terbabit banjir.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan sejumlah 19,176 keluarga yang terbabit banjir sudah menerima RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat hari ini membabitkan peruntukan berjumlah RM19.176 juta.

Beliau berkata, bantuan RM10,000 juga sudah diserahkan kepada enam waris atau keluarga daripada keseluruhan 25 mangsa yang meninggal dunia akibat banjir baru-baru ini.

"Sementara itu, tarikh permohonan BSB juga akan dilanjutkan sehingga 31 Januari ini untuk keluarga atau mangsa banjir terutamanya yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah, Pusat Khidmat Masyarakat serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Selangor: Tauliah mengajar agama Islam kepada semua aktivis politik ditarik balik



SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama yang diberikan kepada semua aktivis politik di negeri ini, berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tindakan itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang tidak mahu agama Islam tidak dipolitikkan serta dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak di Selangor, khususnya di masjid dan surau.

Katanya, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di negeri itu serta mencemarkan agama Islam.

"Selaras titah baginda itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri ini.

"Mana-mana tauliah yang sudah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, hanya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Katanya, pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Sharafuddin.

"Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

"Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, mana-mana pihak yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah suatu kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Jelasnya, kesalahan itu turut memperuntukkan hukuman sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.


--BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Pembersihan di Klang, Shah Alam capai 50 peratus - MB



SHAH ALAM: Proses pembersihan pascabanjir di beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam sudah mencapai tahap 50 peratus.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan susulan itu juga, beliau telah mengarahkan supaya proses tersebut disegerakan terutama bagi kawasan yang belum mencapai tahap memuaskan.
"Kita (kerajaan negeri) telah berhubung dengn beberapa pihak untuk tambah jumlah lori (untuk proses pembersihan). Saya juga memberi arahan agar proses kerjasama dengan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO)
"Kerajaan negeri ingin selaraskan agar koordinasi lebih tersusun bagi mengelakkan pembaziran dan koordinasi ini juga penting bagi tujuan keselamatan para sukarelawan," katanya menerusi ciapan tersebut.
-- ASTRO AWANI


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo