NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

Sultan Selangor tegur Ronnie Liu, ADUN Seri Kembangan hayati Rukun Negara

SHAH ALAM — Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan titah supaya semua wakil rakyat di Selangor menghayati prinsip Rukun Negara, termasuk secara khusus menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew agar memahami dan menghormati kedaulatan institusi Raja.

Titah itu dizahirkan dalam kenyataan media sempena keberangkatan baginda ke Dataran Selangor (Selangor Square), hari ini, bagi meninjau sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhampiran Tiang Bendera Negeri Selangor.

Menurut baginda, monumen berkenaan dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala keseluruhan kos pembinaannya dibiayai sendiri oleh Sultan Selangor.

Baginda bertitah, pembinaan monumen itu bertujuan mengingatkan rakyat mengenai sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut menyeru semua Ahli Yang Berhormat negeri itu hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membaca dan memahami makna Rukun Negara.

Namun, baginda secara khusus menamakan Wong Siew Ki dan Ronnie Liu supaya hadir setiap minggu bagi mendalami prinsip berkenaan.

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.

Teguran itu dilihat mempunyai kaitan dengan polemik berhubung isu penutupan pusat penternakan babi di Selangor yang kembali hangat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan mengambil tindakan tegas terhadap beberapa ladang babi yang didakwa beroperasi tanpa mematuhi syarat lesen serta piawaian kebersihan dan alam sekitar.

Isu berkenaan turut mencetuskan pertikaian politik apabila beberapa pemimpin DAP, termasuk Ronnie Liu, dilihat mempertahankan pengusaha ladang terbabit dan mempersoalkan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa tempatan.

Kontroversi itu kemudian mengundang pelbagai reaksi termasuk desakan supaya semua pihak menghormati dasar kerajaan negeri, sensitiviti masyarakat serta kedudukan institusi diraja dalam hal melibatkan kepentingan awam dan keharmonian negeri.

Sultan Selangor mengakhiri kenyataan baginda dengan lafaz:

“Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” serta “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara.”


Full Stop! - DYMM Sultan Selangor

7 Mei 2026 ~

KENYATAAN MEDIA D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kekal dengan pendirian Baginda seperti yang telah ditegaskan menerusi Kenyataan Media bertarikh 10 Februari 2026 bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan.
 
Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
 
Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor sahaja. Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor. Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.
 
D.Y.M.M. Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
 
Sehubungan itu, D.Y.M.M. Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara.
 

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT DAN NEGARA”
 
Saya yang menjunjung titah,
 
DATO’ HJ. MOHAMAD MUNIR BIN BANI D.P.M.S., J.S.D.
 
7 Mei 2026

Ladang Babi Berskala Besar Lebih Risiko Dari Manfaat

Roslan SMS

■Malaysiakini: PM syor batalkan dulu pertimbang kawasan baru

■NST: Batal prjoek ladang babi di Bukit Tagar -Anwar

■Berita Harian: Projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar - Kabinet syor batal

Demikianlah antara tajuk-tajuk media arus perdana hari ini dalam isu langkah kerajaan Selangor mahu membuka ladang ternak berskala besar di Bukit Tagar, dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor. Dipindahkan dari kawasan tradisional di sekitar Tanjong Sepat dan Kuala Langat.

Ternyata suara bantahan rakyat khasnya penduduk tempatan lantang bergema bukan sekadar di Hulu Selangor (kawasan di syor penempatan baru) malah berkumandang hingga ke Putrajaya dan Istana Selangor.

Faktor alam sekitar, adalah faktor umum yang bakal terpikul dan terkena atas semua rakyat bukan hanya yang tidak makan babi, keresahan rakyat perlu diurus dan dirawat dengan baik bukannya dipaksa sesuatu ke atas mereka.

Menteri Besar perlu dengar suara rakyat bukan semata-mata suara usahawan ternak babi atau parti politik yang di belakang mereka.

Demi masa depan Selangor, anak cucu kita, kelastarian alam sekitar perlu dipertahankan. Jika terpaksa berkorban demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat korbankanlah mereka itu kerana negari dan rakyat lebih utama.

Diperingkat ini tiada jaminan ladang babi yang kononnya akan mengambil kira teknologi terkini itu akan benar-benar bebas dari pencemaran air dan udara.

Bagaimana pula pencemaran lebih 30 tahun yang ditinggalkan di Tanjong Sepat dan Kuala Langat?

Pertimbangan lokasi mestilah di luar kawasan majoriti Melayu kerana memelihara keharmonian dan sensitiviti rakyat. Masalahnya masih adakah kawasan majoriti bukan Melayu 500 ekar yang boleh menampung projek ini?

Damansara, Puchong, Subang, Klang sudah terlalu padat.

Justeru sesunggunhya kerajaan negeri tiada pilihan lain selain menghentikan pengeluaran tempatan, dan keperluan pengguna ditampung dengan import daging babi ini dari luar (samadq luar Sepangor atau luar negara).

Tiada siapa yang akan merungut kalau diimpot sahaja dan paling penting alam sekitar warisan nenek moyang kita di Selangor terus terpelihara dari ancaman dan dapat diwariskan ke anak cucu kita nanti.

Desak:

TUTUP SAHAHA LADANG BABI DI SELANGOR.
IMPOT SAHAJA UNTUK PENGGUNA.
SEMUA SELAMAT.
SELANGOR SEJAHTERA.

Sumber : FB Roslan SMS

Isu Pengurusan Najis Babi Pulau Pinang Masih Belum Selesai, Dakwa PAS Selangor

SHAH ALAM — Isu pencemaran akibat pengurusan najis babi di Pulau Pinang didakwa masih belum menemui penyelesaian tuntas walaupun ladang-ladang babi di negeri itu telah dinaik taraf kepada konsep Modern Pig Farming (MPF), kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff.

Menurut beliau, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan sebanyak 117 ladang babi telah ditukar kepada sistem ladang tertutup. Namun, realiti di lapangan menunjukkan masalah pencemaran alam sekitar masih berterusan.

Pulau Pinang mempunyai dua ladang babi berskala besar iaitu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Valdor, Jawi. Yusfarizal menjelaskan bahawa pengurusan najis babi di Valdor dirancang untuk disalurkan ke fasiliti biogas yang dibina sejak 2024, manakala di Kampung Selamat, rawatan masih bergantung kepada kolam kumbahan.

Beliau mendakwa pencemaran di Sungai Kereh, Tasek Gelugor masih berlaku, termasuk masalah bau busuk najis babi, walaupun ladang berkenaan telah dinaik taraf kepada sistem tertutup.

Sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan cadangan untuk mengangkut najis babi menggunakan lori dari Kampung Selamat ke fasiliti biogas di Valdor melalui jalan darat. Namun cadangan tersebut akhirnya gagal dilaksanakan.

Pada 16 Mei 2025, Kerajaan Negeri mengakui bahawa langkah itu tidak dapat diteruskan berikutan risiko penularan penyakit semasa proses pengangkutan najis.

Lebih membimbangkan, Yusfarizal berkata Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk tidak membina fasiliti biogas di Kampung Selamat, sebaliknya menggantikannya dengan sistem Quantum Thermal Pyrolysis Cracking (QTPC) yang kini masih di peringkat projek perintis.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sistem pengurusan najis yang benar-benar terbukti berkesan dilaksanakan, dan pelbagai cadangan yang dikemukakan masih bersifat percubaan.

Dalam pada itu, Yusfarizal mempersoalkan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mencontohi model ladang babi Pulau Pinang bagi projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar.

“Apa sebenarnya yang mahu ditiru? Pengangkutan najis menggunakan lori yang gagal? Sistem biogas yang tidak berfungsi sepenuhnya? Atau QTPC yang masih belum difahami keberkesanannya?” soalnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun tiada bantahan terhadap konsep ladang berpusat (centralized), pelaksanaannya pada skala besar tanpa sistem pengurusan yang matang dan terbukti boleh membawa risiko besar kepada alam sekitar serta menjejaskan daya maju projek dari sudut perniagaan.

“Jika projek tidak berdaya maju, kita semua tahu apa kesudahannya,” katanya sambil memberi amaran bahawa kegagalan pengurusan boleh mencetuskan bencana alam sekitar berskala besar.

Beliau turut mendakwa terdapat maklumat bahawa fasiliti biogas di Valdor sendiri berdepan masalah kerana bekalan najis tidak mencukupi, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Yusfarizal menegaskan bahawa Selangor perlu berhati-hati agar masalah yang berlaku di Pulau Pinang tidak berulang dan menjadi isu nasional pada masa hadapan.


Sultan Selangor Titah Tutup Operasi Kandang Babi di Tanjong Sepat, Pindah ke Bukit Tagar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar secara berfasa.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, pada Isnin.

Menurut kenyataan Istana Selangor, baginda menegaskan bahawa tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjong Sepat, dan proses perpindahan hendaklah dilaksanakan secara terancang serta mematuhi semua keperluan perundangan.

“Operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar,” menurut kenyataan itu.

Izham dalam sidang media selepas sesi menghadap memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempercepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang, serta tidak akan memperbaharui sebarang lesen penternakan di kedua-dua kawasan berkenaan.

Langkah itu, katanya, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin dan bertujuan menangani isu pencemaran alam sekitar serta penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Izham turut menjelaskan bahawa projek penternakan di Bukit Tagar merupakan inisiatif pihak swasta, manakala kerajaan negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara dari segi kelulusan yang diperlukan.

Baginda sebelum ini menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan kaedah pengurusan penternakan babi di Selangor ketika ini, sekali gus mendorong pertemuan bersama Exco berkaitan.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar kajian terperinci dan bancian menyeluruh dijalankan bagi menentukan keperluan sebenar daging babi untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan eksport hasil penternakan tersebut.

Dapatan kajian itu, menurut baginda, perlu dijadikan asas dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar supaya kekal terkawal dan munasabah.

Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan awam bagi operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin seterusnya berharap semua pihak mematuhi ketetapan tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.


Peguam persoal keputusan AGC tutup kes Zahid: “Bau busuk sampai ke langit”

KUALA LUMPUR, 9 Jan 2026 — Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi terus mengundang kecaman keras, dengan peguam dan ahli Parlimen mempersoalkan integriti serta kebebasan institusi pendakwaan negara.

Kritikan itu timbul kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini secara jelas memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid dalam kes dana Yayasan Akalbudi — keputusan yang dibuat selepas pihak pendakwaan sendiri membentangkan bukti di mahkamah.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, menyifatkan penjelasan AGC berhubung keputusan No Further Action (NFA) sebagai lemah dan gagal menjawab persoalan paling asas.

“AGC langsung tidak menjelaskan bagaimana satu kes yang telah diputuskan mempunyai kes prima facie kini boleh digugurkan begitu sahaja.

“Adakah Zahid akan menerima layanan istimewa ini jika dia bukan timbalan perdana menteri? Atau jika dia bukan sekutu politik penting kepada Perdana Menteri?

“Keseluruhan perkara ini berbau busuk sampai ke langit. Ada sesuatu yang tidak kena di Putrajaya,” katanya dalam hantaran di X hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, turut mempersoalkan kewajaran keputusan AGC yang menurutnya tidak disokong hujah undang-undang yang kukuh.

“Kenyataan AGC hanyalah satu pengumuman umum bahawa mereka kini berpuas hati kes ini tidak wajar diteruskan, tanpa menjelaskan mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tiba-tiba dianggap tidak lagi relevan.

“Dapatan itu dibuat berdasarkan bukti pendakwaan sendiri. Kegagalan AGC memberikan penjelasan terperinci hanya akan terus menghakis keyakinan awam terhadap institusi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Januari 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Colin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Sequerah merupakan hakim sama yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes 1MDB, sekali gus menafikan dakwaan bahawa keputusan tersebut bersifat longgar atau tidak berasas.

Namun, pada April 2023, pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atas alasan siasatan lanjut diperlukan. Selepas lebih dua tahun, AGC semalam mengumumkan siasatan lanjut itu berakhir dengan keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan sama sekali.

Menurut AGC, keterangan baharu yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyokong penerusan kes — satu alasan yang kini dipersoalkan pelbagai pihak.

Peguam Rafique Rashid Ali, yang juga pemimpin Parti Pejuang, mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibiarkan diputuskan oleh mahkamah.

“Selepas 26 bulan, tiba-tiba Peguam Negara kata tiada kes. Semua ini berlaku selepas Zahid menjadi TPM dalam kerajaan Anwar Ibrahim.

“Mengapa tidak bentangkan semula kepada hakim yang sama? Bukankah lebih wajar mahkamah yang membuat keputusan, bukan pendakwa secara unilateral?” soalnya.

Keputusan NFA ini sekali lagi mencetuskan persoalan serius mengenai pendakwaan terpilih, kebebasan AGC, serta sejauh mana kuasa politik mempengaruhi sistem keadilan jenayah negara — persoalan yang terus menghantui janji reformasi institusi kerajaan perpaduan.


Peluang Kerja Semakin Tipis dalam Ekonomi AI?

KUALA LUMPUR — Pasaran kerja global sedang melalui perubahan besar apabila kemajuan kecerdasan buatan (AI) mula memberi kesan langsung terhadap peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan graduan baharu. Laporan oleh The Guardian, berdasarkan data daripada platform carian kerja Indeed, mendedahkan bahawa graduan di United Kingdom kini berdepan pasaran pekerjaan paling mencabar sejak 2018.

Menurut laporan itu, kekosongan jawatan peringkat permulaan mencatat penurunan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaan ini diburukkan lagi dengan penggunaan teknologi AI yang semakin meluas oleh majikan untuk menggantikan atau mengurangkan keperluan tenaga kerja manusia bagi tugasan rutin dan analisis asas.

Graduan Terhimpit Antara Pengalaman dan Automasi

Tradisi pasaran kerja yang menawarkan jawatan peringkat permulaan sebagai batu loncatan kepada graduan kini semakin terhakis. Banyak syarikat memilih untuk mengautomasikan fungsi sokongan, pentadbiran, penulisan asas dan analisis data — bidang yang sebelum ini menjadi laluan awal graduan memasuki dunia pekerjaan.

Akibatnya, graduan bukan sahaja bersaing sesama sendiri, malah terpaksa bersaing dengan teknologi yang lebih pantas, murah dan tidak memerlukan latihan jangka panjang.

Isyarat Amaran Kepada Sistem Pendidikan

Pakar ekonomi melihat trend ini sebagai amaran kepada sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang masih berorientasikan model lama. Graduan yang hanya bergantung kepada kelayakan akademik tanpa kemahiran adaptif, pemikiran kritikal dan keupayaan menggunakan teknologi canggih berisiko tercicir dalam ekonomi baharu.

Dalam konteks ini, AI bukan sekadar ancaman, tetapi penentu kepada siapa yang mampu bertahan dan siapa yang akan tersisih.

Implikasi Global, Bukan Terhad UK

Walaupun data ini berpaksikan United Kingdom, penganalisis berpandangan corak yang sama sedang berlaku di banyak negara lain, termasuk negara membangun. Ekonomi digital yang bergerak pantas menyebabkan pasaran kerja semakin mengecil bagi pekerjaan tradisional, sementara pekerjaan baharu pula memerlukan kemahiran yang lebih kompleks dan khusus.

Jika trend ini berterusan tanpa campur tangan dasar awam, jurang antara graduan berkemahiran tinggi dan graduan biasa dijangka semakin melebar.

Keperluan Tindakan Segera

Situasi ini menuntut tindakan menyeluruh — daripada kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta — untuk memastikan generasi graduan tidak menjadi mangsa peralihan teknologi. Pelaburan dalam latihan semula (reskilling), pendidikan fleksibel dan pendedahan awal kepada teknologi AI menjadi semakin kritikal.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada AI akan mengubah pasaran kerja, tetapi sejauh mana masyarakat bersedia menyesuaikan diri sebelum peluang kerja menjadi semakin sempit dan eksklusif.


Syahir Cabar Mufti Perlis Buktikan Unsur ‘Memalukan’ Dalam Lafaz Bai‘ah PAS

KUALA LUMPUR — Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, menafikan dakwaan bahawa lafaz bai‘ah dan sumpah parti itu mengandungi unsur memalukan atau melibatkan tuntutan menceraikan isteri sekiranya wakil rakyat melanggar disiplin parti.

Sebaliknya, beliau mencabar Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, supaya menunjukkan secara jelas bahagian dalam teks lafaz bai‘ah PAS yang didakwa bersifat memalukan, seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut memuat naik teks penuh lafaz bai‘ah dan sumpah PAS di laman Facebook miliknya sebagai bukti, sambil menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak berasas.

“Kepada SS Mufti, tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ dalam teks lafaz bai‘ah dan sumpah ini. Tiada di Perlis.
Kita diajar supaya melakukan tabayyun dan tidak mengada-adakan perkara yang tiada,” katanya.

Kandungan Bai‘ah Tidak Sentuh Perceraian

Berdasarkan teks lafaz bai‘ah yang dikongsikan, ia menekankan ikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul, serta ketaatan kepada kepimpinan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Ia turut menyebut sumpah bahawa mana-mana wakil rakyat PAS yang meninggalkan parti secara sukarela selepas dipilih akan berdepan laknat, selain kewajipan meletakkan jawatan sekiranya keluar atau dipecat daripada parti. Namun, tiada sebarang peruntukan menyentuh isu perceraian isteri, seperti yang didakwa.

Kenyataan Mufti Cetus Polemik

Sebelum ini, Dr Mohd Asri mengkritik sumpah bai‘ah yang dikenakan oleh sebuah parti politik, yang secara umum dirujuk kepada PAS, dengan mendakwa wujud unsur mempertaruhkan institusi perkahwinan dalam politik.

“Kamu berpolitik mempertaruhkan isteri. Ini sesuatu yang serius dan memalukan,” kata Mufti Perlis dalam satu kenyataan yang mencetuskan perdebatan awam.

Berkait Krisis Politik Perlis

Polemik berkenaan tercetus susulan krisis politik di Perlis, apabila beberapa ADUN PAS dan BERSATU didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli.

Tiga ADUN PAS — Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) — kemudiannya digugurkan keahlian parti, sebelum Mohd Shukri meletakkan jawatan atas alasan kesihatan.

Situasi itu membawa kepada pelantikan Abu Bakar Hamzah (BERSATU) sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Abu Bakar Hamzah Dilantik Menteri Besar Perlis Ke-12, Episod Baharu Politik Negeri

ARAU — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-12, menandakan episod baharu dalam landskap politik negeri yang sejak dua tahun kebelakangan ini tidak sunyi daripada krisis kepimpinan dan perebutan kuasa.

Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada jam 4.04 petang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis, mengambil alih tampuk kepimpinan negeri susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli pada 25 Disember lalu atas faktor kesihatan.

Majoriti Tipis, Krisis Berpanjangan

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abu Bakar memenangi kerusi DUN Kuala Perlis dengan majoriti 1,254 undi, sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri dalam rombakan pentadbiran pada November tahun lalu, memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar.

Namun, pergolakan politik Perlis bukanlah perkara baharu. Arkib Berita Harian bertarikh 16 November 2023 merekodkan bagaimana isu kestabilan kerajaan negeri mula dipersoalkan seawal tahun pertama pentadbiran Perikatan Nasional, apabila wujud ketegangan dalaman melibatkan sokongan ADUN, hubungan parti komponen serta peranan istana dalam memastikan kesinambungan kerajaan negeri.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa ketika itu, kepimpinan negeri berdepan cabaran besar akibat perbezaan pendirian dalam kalangan wakil rakyat sendiri, sekali gus mencetuskan spekulasi rombakan kepimpinan dan perubahan sokongan politik.

Krisis ADUN dan Kekosongan Luar Jangka

Situasi itu akhirnya memuncak hujung Disember lalu apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis mengumumkan kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN — Chuping, Bintong dan Guar Sanji — selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Kekosongan tersebut berlaku selepas PAS pada 24 Disember mengumumkan keahlian tiga ADUNnya, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti berikutan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu.

Perkembangan tersebut mengukuhkan persepsi bahawa krisis politik Perlis bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya berpunca daripada masalah struktur sokongan dan pengurusan dalaman parti yang telah berlarutan sejak 2023.

Ujian Sebenar Pentadbiran Baharu

Pada PRU15, Perikatan Nasional memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis, dengan sembilan kerusi dimenangi PAS dan lima oleh Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh satu kerusi melalui PKR.

Walaupun memiliki majoriti besar di atas kertas, realiti politik negeri menunjukkan bahawa majoriti tanpa kesepaduan boleh membawa kepada ketidaktentuan berpanjangan.

Pelantikan Abu Bakar Hamzah kini dilihat sebagai usaha terakhir memulihkan kestabilan politik negeri, namun sejarah dua tahun lalu menjadi peringatan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memastikan sokongan politik kekal utuh dan pentadbiran negeri berjalan tanpa gangguan dalaman.


ADUN Beseri Dedah Wujud ‘Broker’ Ajak Tandatangan SD Guling MB Perlis

KUALA LUMPUR, 28 Disember — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, mendedahkan beliau antara wakil rakyat yang dihubungi seorang individu bertindak sebagai ‘broker’ bagi mengajak menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis berkata, jemputan berkenaan tidak dibuat secara rasmi dan tidak melalui saluran parti, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk tidak terlibat.

Menurutnya, sebagai ADUN yang dipilih atas tiket parti, beliau berpegang kepada prinsip disiplin jamaah dengan merujuk perkara berkenaan terlebih dahulu kepada kepimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri sebelum membuat sebarang keputusan.

“Selepas mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terbabit kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada Rabu lalu, PAS mengumumkan keahlian tiga ADUN Perlis terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri. Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Susulan perkembangan itu, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis.

Mengulas lanjut, Haziq menyifatkan tindakan tiga ADUN terbabit sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap parti kerana dibuat tanpa pengetahuan dan kebenaran kepimpinan PAS.

Beliau berkata, sekiranya usaha tersebut dimaklumkan lebih awal kepada parti, ruang perbincangan dan proses islah masih boleh dilaksanakan tanpa perlu menandatangani SD.

“Tindakan bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri telah melangkaui batas disiplin jamaah,” katanya.

Haziq menegaskan ketegasan PAS dalam isu itu perlu dijadikan pengajaran kepada seluruh ahli parti di seluruh negara, selain bertujuan memelihara kestabilan Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa proses siasatan dalaman parti dijalankan secara adil dan berintegriti, termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN berkenaan untuk memberi penjelasan secara bersemuka dengan kepimpinan pusat.


Angkat sumpah Menteri Besar Perlis baharu dijangka tengah hari ini

KANGAR, 28 Disember — Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baharu bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli dijangka berlangsung tengah hari ini di Istana Arau.

Menteri Besar baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri pada Khamis lalu yang dikatakan atas faktor kesihatan.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengangkat sumpah ialah Exco Kanan kerajaan negeri daripada PAS, Muhammad Azmir Azizan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.

Turut dikaitkan ialah ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah, yang dilihat sebagai calon berpotensi berdasarkan prestasi cemerlang beliau sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini.

Pelantikan Menteri Besar baharu itu berlaku di tengah-tengah kemelut politik negeri susulan laporan media sebelum ini yang menyatakan beberapa ADUN Perikatan Nasional (PN) didakwa menghadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Rentetan perkembangan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Rabu lalu mengumumkan keahlian tiga ADUN iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) digugurkan serta-merta.

Kemelut politik berkenaan mencetuskan perhatian meluas memandangkan kerajaan negeri Perlis kini memasuki fasa kritikal dengan baki tempoh pentadbiran kira-kira satu setengah tahun sebelum berakhirnya penggal Dewan Undangan Negeri.


‘Saya bukan hero, tapi adakah kamu?’ - Tei

Ahli perniagaan Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah, berterusan mempersoalkan integriti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas kenyataan terbaru perdana menteri mengenai kecenderungan “mengagungkan pemberi rasuah”.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tei berkata dia tidak pernah menampilkan diri sebagai wira, namun menyoal sama ada Anwar sendiri layak dilihat sebagai tokoh antirasuah.

“Saya bukan hero. Tapi adakah anda?” katanya.

Tei mendakwa pendedahannya bermula kerana dia “tiada pilihan”, selepas diberi amaran supaya tidak menyerahkan bukti kepada SPRM. Katanya, tindakan beralih kepada media dilakukan selepas beliau merasakan pintu rasmi ditutup.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Anwar menyuarakan keresahan terhadap pihak yang memuji individu yang didakwa memberi rasuah. Walaupun tiada nama disebut, Tei yakin dialah sasaran sindiran tersebut.

Namun ahli perniagaan itu mempersoalkan pendirian perdana menteri yang masih muncul sepentas dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menurutnya turut menerima wang berkaitan projek perlombongan.

“Anwar kata siasatan belum ditutup, tapi beliau duduk sepentas dengan mereka dan memuji mereka,” katanya.
“Adakah penerima rasuah lebih mulia daripada pemberi rasuah?”

Tei juga mengulang dakwaannya bahawa Putrajaya melindungi beberapa pemimpin Sabah, mendakwa hanya dua individu didakwa meskipun bukti terhadap ramai yang lain, menurutnya, adalah sama.

Katanya lagi, budaya rasuah dalam dunia perniagaan tempatan memaksanya ‘mengikut arus’.

Dalam masa sama, Tei meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya dan keluarga, susulan siri pendedahan yang dibuat sejak November.

Tei sebelum ini mendakwa beberapa pemimpin GRS menerima wang daripadanya sebagai balasan bagi lesen penerokaan mineral yang akhirnya dibatalkan. Pendedahan itu mencetuskan kegusaran politik menjelang pilihan raya negeri Sabah.

Dalam episod berasingan, Tei turut mengaitkan bekas pembantu politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin, mendakwa lebih RM620,000 dibelanjakan untuk mendapatkan semula wang yang sudah ‘hilang’ kepada ahli politik lain. Tuduhan itu membawa kepada pertuduhan rasuah ke atas kedua-dua mereka.

Pemimpin GRS kemudian menuduh Tei sebagai sebahagian “kartel perlombongan” yang mahu memonopoli industri di Sabah.


Isu Tanah FELDA–Terengganu: Rundingan Masuki Fasa Positif, Notis 425 KTN Kekal Berkuat Kuasa

KUALA TERENGGANU, 8 Disember 2025 – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan perkembangan penting berhubung rundingan dengan FELDA dan FGV berkaitan status tanah kerajaan yang dibangunkan sebagai ladang komersial sejak puluhan tahun lalu. Perkembangan ini hadir selepas beberapa siri pertemuan susulan pengeluaran Notis Kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Zulkifli Ali, kerajaan negeri mengesahkan bahawa rundingan dengan pengurusan tertinggi FELDA berjalan dengan baik dan beberapa persetujuan dasar berjaya dicapai.

Latar Belakang: Kenapa Notis 425 Dikeluarkan?

Menurut penjelasan rasmi, pengeluaran Notis 425 KTN adalah langkah terakhir selepas rundingan awal mengenai pemberimilikan tanah kerajaan menemui jalan buntu walaupun FELDA telah diberikan tempoh mencukupi untuk menyelesaikan isu berkenaan secara damai.

Notis tersebut adalah untuk memaklumkan bahawa berlaku pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran sah, dan ia memberikan tempoh remedi untuk FELDA mengambil tindakan susulan.

Jika Notis 425 tidak dikeluarkan, rundingan sebegini tidak mungkin tercetus.” ujar kerajaan negeri.

Ladang Tidak Disita; Tempoh Remedi Dilanjutkan Sehingga 7 Januari 2026

Menepis kekeliruan awam, kerajaan negeri menegaskan bahawa tiada ladang FGV disita. Semua kawasan ladang masih dalam tempoh remedi dan operasi harian FGV dibenarkan diteruskan bagi mengelakkan kerugian dan kerosakan tanaman.

Pelanjutan tempoh remedi juga dibuat kerana proses memuktamadkan keputusan melibatkan isu besar dan rumit yang memerlukan kelulusan di kedua-dua peringkat – FELDA dan Kerajaan Negeri.

Tempoh remedi baharu ditetapkan sehingga 7 Januari 2026.

Perkembangan Rundingan: Persetujuan Dasar Sudah Dicapai

Hasil beberapa siri pertemuan, beberapa keputusan dasar penting berjaya dipersetujui oleh kedua-dua pihak:

1. FELDA akan memohon pemberimilikan tanah

FELDA perlu mengemukakan permohonan rasmi di bawah Jadual 1 kepada Pejabat Tanah Daerah bagi tujuan pemberimilikan.

2. Pembayaran premium dan cukai tanah

FELDA bersetuju melunaskan premium tanah dan cukai tanah yang ditetapkan, dan bayaran tersebut wajib diselesaikan sebelum geran hak milik dikeluarkan.

3. Kadar premium ditentukan Pihak Berkuasa Negeri

Kadar premium akan ditetapkan mengikut Peraturan Tanah Terengganu.

4. Sumbangan tambahan

Kerajaan negeri mengesahkan terdapat beberapa item sumbangan tambahan yang dipersetujui, namun tidak didedahkan buat masa ini.

5. Kelonggaran operasi diberikan

Kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan FELDA untuk membenarkan operasi ladang diteruskan sepanjang tempoh rundingan atas faktor kerosakan hasil dan komitmen serius FELDA dalam penyelesaian.

Kenapa Tidak Dibawa ke Mahkamah?

Kerajaan negeri menegaskan bahawa matlamat utama adalah mendapatkan hak negeri secara adil dan teratur.

Apabila rundingan memberi laluan untuk mencapai matlamat, tindakan mahkamah tidak diperlukan.

Tindakan ke mahkamah hanya akan diambil jika pihak yang diberi notis gagal mengambil apa-apa tindakan dalam tempoh remedi.

Notis 425 Tidak Dibatal, Masih Berkuat Kuasa

Kerajaan Negeri mengulangi bahawa:

  • Notis 425 belum dibatalkan
  • Notis 425 tidak perlu dikuatkuasakan semula
  • Notis 425 akan ditarik balik hanya selepas perjanjian muktamad ditandatangani

Setakat ini, komitmen kedua-dua pihak ialah untuk memastikan perjanjian muktamad dapat dimeterai dalam tempoh 30 hari.

SEKSYEN SOSIAL: SOAL JAWAB (FAQ) ISU NOTIS 425 & RUNDINGAN FELDA–TERENGGANU

Berikut ialah ringkasan Soal Jawab yang dikeluarkan untuk menjelaskan isu ini kepada umum:

1. Kenapa perlu Notis 425 KTN?

Kerana rundingan awal gagal walaupun tempoh cukup diberikan kepada FELDA.

2. Adakah ladang FGV disita?

Tidak. Ladang masih dalam tempoh remedi.

3. Adakah rundingan berlaku selepas Notis 425?

Ya. Beberapa siri rundingan telah dijalankan.

4. Adakah keputusan dicapai dalam rundingan?

Ya, beberapa persetujuan asas telah dicapai.

5. Kenapa tempoh remedi dilanjutkan?

Kerana isu besar, rumit dan memerlukan kelulusan daripada FELDA dan Kerajaan Negeri.

6. Adakah tanah akan diberi milik kepada FELDA?

Ya. FELDA perlu memohon mengikut prosedur Jadual 1.

7. Berapa premium tanah?

Ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

8. Adakah FELDA setuju bayar premium dan cukai tanah?

Ya. Wajib dibayar sebelum geran dikeluarkan.

9. Adakah sumbangan tambahan akan diberi FELDA?

Ya, tetapi tidak diumumkan buat masa ini.

10. Kenapa tidak bawa kes ke mahkamah?

Kerana rundingan kini mencapai perkembangan positif.

11. Jika Notis 425 tidak dikeluarkan, adakah rundingan berlaku?

Tidak. Notis 425 adalah pencetus rundingan.

12. Adakah Notis 425 dibatalkan?

Tidak. Masih berkuat kuasa.

13. Bila perjanjian muktamad akan ditandatangani?

Sebelum 7 Januari 2026.

14. Kenapa FGV dibenar teruskan operasi?

Untuk elak kerosakan hasil dan kerana FELDA tunjuk komitmen tinggi.

15. Adakah kerajaan negeri akan merampas ladang?

Tidak. Sitaan hanya jika tiada tindakan dalam tempoh remedi.

16. Adakah Notis 425 akan dikuatkuasakan semula?

Tidak perlu. Ia masih berkuat kuasa.

17. Adakah kerajaan negeri sedang mengundur ke belakang?

Tidak. Kerajaan negeri menyelesaikan isu 40 tahun dengan tegas dan berhemah.

Kesimpulan

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa proses penyelesaian sedang berada pada landasan positif dengan komitmen penuh daripada FELDA. Langkah ini dilihat sebagai usaha menyelesaikan isu warisan puluhan tahun secara tertib, sah dan menguntungkan kedua-dua pihak.


Rundingan Kerajaan Terengganu–FELDA, FGV Sedang Berjalan – Azman

KUALA LUMPUR, 7 Disember -Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Terengganu berhubung pertikaian melibatkan 10 ladang FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) kini sedang berlangsung, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim.

Menerusi kenyataan ringkas di Facebook hari ini, beliau menyatakan harapan agar proses perbincangan itu berjalan lancar.

“Rundingan sedang berjalan. Doakan yang terbaik,” katanya.

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Terengganu akan diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap isu tanah ladang melibatkan keluasan kira-kira 15,000 hektar.

Menurut Fahmi, perkara itu susulan perbincangan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali, kelmarin. Pada peringkat awal, rundingan akan melibatkan pegawai kanan kedua-dua pihak.

Mengulas kenyataan itu, Azman mendakwa ia menunjukkan bayaran hasil yang sepatutnya diterima kerajaan negeri masih belum diselesaikan.

“Sebab itu sudah lama Terengganu ajak bincang,” katanya.

Azman turut memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh remedi diberikan kepada FGV berhubung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN), sekiranya rundingan lanjutan yang dijadualkan malam tadi membuahkan hasil positif.

Ahad lalu, Kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh terhadap operasi 10 ladang FELDA di enam daerah, selepas didakwa FELDA gagal memberikan maklum balas mengenai tuntutan pembahagian 30 peratus keuntungan ke atas tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu.


Kerajaan Terengganu Berhak Ambil Tindakan Terhadap FELDA – Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap Federal Land Development Authority (FELDA) berhubung kegagalan badan itu menjelaskan bayaran premium serta cukai tanah untuk kawasan seluas kira-kira 15,000 hektar yang diusahakan dengan kelapa sawit.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, berkata tanah yang diterokai di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu kekal sebagai hak milik kerajaan negeri kerana FELDA tidak memenuhi syarat ditetapkan, terutama keperluan memasukkan peneroka dalam projek pembangunan tanah tersebut.

Menurutnya, walaupun FELDA pernah membayar premium dan cukai tanah sekitar 2009, bayaran itu dipulangkan kerana FELDA gagal mematuhi syarat utama.

“Kita memberi syarat bahawa FELDA perlu memasukkan lebih 3,000 peneroka bagi membantu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar rakyat. Syarat itu tidak dipenuhi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Notis Pencerobohan Dipasang di 10 Lokasi

Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri yang pada Isnin lalu mengeluarkan notis larangan pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 di 10 kawasan di empat daerah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata tindakan itu diambil berikutan FELDA gagal memberikan maklum balas terhadap tuntutan pembayaran 30 peratus hasil keuntungan tanah milik kerajaan negeri yang diteroka sejak lebih 40 tahun lalu.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Dr Azman memaklumkan bahawa FELDA gagal menjelaskan hasil keuntungan dianggarkan RM600 juta, merangkumi cukai, premium serta perkongsian keuntungan.

Isu Dibangkitkan Sejak 2010

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata isu berkenaan bukan perkara baharu dan pernah dibangkitkan pada Persidangan DUN pada Ogos 2010.

“Kita pernah bertegas bahawa geran hak milik hanya akan dikeluarkan jika FELDA memasukkan peneroka serta memenuhi syarat perkongsian keuntungan atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan,” katanya.

Beliau turut mengakui kerajaan negeri pernah mencadangkan syarat tambahan susulan rayuan FELDA untuk mengurangkan tekanan akibat kerugian yang dialami.

Antara syarat itu ialah FELDA menawarkan peluang pegangan saham kepada anak syarikat kerajaan negeri.

“Setakat ini kita tidak diketahui jumlah tawaran saham oleh FELDA,” katanya.

“Selagi Tiada Geran, Tanah Milik Kerajaan Negeri”

Ahmad menegaskan bahawa tindakan kerajaan negeri, termasuk pengeluaran notis pencerobohan, adalah selaras dengan undang-undang kerana FELDA belum memiliki geran hak milik yang sah.

“Selagi FELDA tidak mendapat geran, tanah itu kekal sebagai hak milik kerajaan negeri,” katanya.

- 1Media.my

Azman Dedah Kronologi Penuh Konflik Tanah FELDA–FGV di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Dis — Kerajaan Terengganu hari ini menjelaskan secara terperinci kronologi kemelut tanah antara negeri itu dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Bhd (FGV), yang berlarutan sejak lebih sedekad.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim, berkata isu berkenaan bermula apabila kerajaan negeri menganugerahkan 51,434 hektar tanah kepada FELDA dengan syarat tertentu, termasuk kemasukan peneroka atau pembayaran perkongsian keuntungan.

Tanah Rancangan Dipenuhi, Ladang Komersial Jadi Pertikaian

Menurut Azman, 33,802.86 hektar telah dimajukan sebagai Tanah Rancangan FELDA dan hampir semuanya selesai diberi hak milik kepada peneroka.

Namun, baki 14,791.14 hektar ladang komersial serta 2,840 hektar tanah tidak dimajukan kekal tanpa penyelesaian kerana FELDA didakwa gagal memenuhi komitmen perkongsian keuntungan atau sumbangan kepada Program Basmi Kemiskinan.

“Pemberian geran hak milik kepada FELDA tertakluk kepada syarat. Jika syarat tidak dipenuhi, negeri berhak menangguhkannya,” katanya dalam kenyataan.

2012: FELDA Pajak Tanah Kepada FGV Tanpa Makluman Negeri

Azman turut mendedahkan bahawa pada 2012, FELDA memajak hampir 15,000 hektar tanah ladang komersial kepada FGV, tanpa pengetahuan Kerajaan Terengganu.

“FGV kemudian menyenaraikan tanah itu sebagai aset mereka di Bursa Malaysia,” katanya, menyifatkan tindakan itu sebagai menyalahi kedudukan tanah yang hakikatnya milik kerajaan negeri.

Tuntutan 30% Keuntungan Gagal Capai Kata Sepakat

Kerajaan negeri sejak 2010 menuntut 30% perkongsian untung kasar daripada FELDA, namun perundingan berlarutan tanpa keputusan.

Azman berkata FELDA juga tidak memberi sebarang maklum balas mengenai komitmen menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan PPRT.

“Kita tunggu cadangan balas daripada FELDA, tetapi sampai ke akhir mereka tidak mengemukakan apa-apa. Sebaliknya mereka mendesak supaya geran hak milik diselesaikan dalam masa 30 hari,” katanya.

Wang Amanah Dipulangkan Selepas 14 Tahun

Pada 2011, FELDA membuat bayaran tertentu berdasarkan perjanjian sebelah pihak yang tidak pernah dipersetujui kerajaan negeri. Akibatnya, wang itu dimasukkan ke dalam Akaun Amanah dan tidak direkodkan sebagai hasil negeri.

Azman berkata wang tersebut hanya dipulangkan sekarang kerana rundingan rasmi berakhir pada 29 November 2025.

“Selagi perbincangan berjalan, wang itu dipegang. Bila rundingan tamat, inilah masa untuk memulangkan amanah,” katanya.

Mengapa Notis 425 Diserahkan Kepada FGV?

Menjawab kekeliruan umum, Azman menjelaskan bahawa Notis 425 Kanun Tanah Negara diberikan kepada FGV kerana syarikat itu merupakan pihak yang mengusahakan dan menduduki tanah terbabit.

“Dalam undang-undang tanah, notis mesti dihantar kepada pihak yang sedang menduduki tanah, bukan pemilik nama semata-mata,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri kekal terbuka untuk berunding, namun sebarang penyelesaian mesti menghormati hak negeri serta syarat asal penganugerahan tanah.


Tei cabar Anwar: Jawab dalam tujuh hari atau letak jawatan

KUALA LUMPUR, 4 Disember 2025 — Ahli perniagaan Albert Tei memberikan tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjawab beberapa tuntutan berkaitan pertuduhan terbaharu terhadapnya dalam skandal rasuah lombong di Sabah — atau meletakkan jawatan.

Tei membuat cabaran itu ketika bercakap kepada media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar ikat jamin berjumlah RM70,000. Dia berdepan empat pertuduhan menawarkan rasuah bernilai RM176,830 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, yang turut didakwa menerima suapan tersebut.

Tuntut penjelasan rakaman CCTV dan arahan kepada Shamsul

Menurut Tei, salah satu tuntutannya melibatkan rakaman CCTV dari rumahnya pada 28 November, iaitu hari dia ditahan SPRM. Dia juga mahu penjelasan sama ada Anwar mengarahkan Shamsul menghubunginya sebelum tangkapan berlaku.

“Bayangkan, Shamsul itu orang nombor dua kepada perdana menteri. Kalau dia pun saya tak boleh percaya, siapa lagi?” kata Tei.

“Saya beri (Anwar) masa tujuh hari untuk jawab semua tuntutan saya. Kalau gagal, kamu harus letak jawatan,” katanya, sebelum menutup sidang media dengan laungan “reformati!” sebanyak tiga kali.

Dakwa Shamsul kata Anwar arahkan rakam video rasuah

Tei turut mendakwa Shamsul pernah memaklumkan bahawa Anwar mengarahkannya merakam video melibatkan Adun Sabah yang dikaitkan dengan rasuah.

Tei merujuk siri pendedahan videonya sejak November 2024 yang mengaitkan lebih 12 wakil rakyat dari pentadbiran kerajaan Sabah sebelum ini.

“Di belakang semua ini ada satu dalang, satu jerung yang terbesar. Saya tanya sama ada Anwar sudah disiasat? Sudah diambil keterangan?” katanya.

Menurut Tei, Shamsul memaklumkan kepadanya bahawa rakaman itu boleh digunakan sebagai tekanan politik terhadap tokoh-tokoh tertentu.

Dakwa diperlakukan seperti 1998, SPRM nafikan

Tei mengulangi dakwaannya bahawa ketika serbuan pada 28 November, seorang pegawai SPRM mengacukan pistol kepadanya dan menjerit meminta pintu dibuka, walaupun pintu itu dikunci dari luar.

“Pegawai itu pakai sarung muka macam syaitan. Saya percaya dia akan tembak saya,” dakwanya.

Tei turut menyamakan cara dia ditahan dengan cara Anwar ditangkap pada 1998, namun mendakwa dirinya diperlakukan lebih kasar.

“Namun masa Anwar dulu dia tidak digari, tidak dibaringkan dan diikat dengan kabel,” katanya.

Beliau turut mendakwa tidak melihat kad kuasa atau waran ketika serbuan dijalankan.

SPRM pertahan tindakan, buat laporan polis

Pengerusi SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini menegaskan bahawa penangkapan Tei dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP). SPRM juga telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terhadap apa yang disifatkan sebagai fitnah terhadap pegawainya.

.

Albert & Shamsul— Didakwa Esok, Ratusan Ribu Ringgit Dibekukan

Kuala Lumpur, 3 Disember 2025 — Dua individu, ahli perniagaan Albert Tei dan bekas pembantu politik kepada bekas Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dijadual dibawa ke mahkamah esok atas tuduhan rasuah — melibatkan penawaran dan penerimaan suapan.

Menurut kenyataan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Albert Tei akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menawarkan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala Shamsul akan berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) bagi menerima rasuah.

Selain itu, SPRM turut memaklumkan bahawa sejumlah ratusan ribu ringgit telah dibekukan sebagai bahan bukti dalam siasatan kes ini. Peguam untuk Albert Tei dan Shamsul sebelum ini dipercayai termasuk seorang wanita dikenali sebagai Sofia — namun dia kini diklasifikasikan semula sebagai saksi dan tidak akan didakwa.

SPRM juga dengan jelas menyatakan bahawa Albert Tei tidak diiktiraf sebagai pemberi maklumat terlindung (whistleblower), disebabkan dakwaan penglibatannya sendiri dalam penawaran suapan.

Implikasi & Fokus Siasatan

  • Kes ini melibatkan suspek yang mempunyai kaitan rapat dengan lingkungan politik, sekali gus berpotensi mengundang perhatian besar terhadap integriti sistem tender atau kelulusan lesen — khususnya dakwaan bahawa rasuah digunakan untuk mempengaruhi keputusan politik atau perizinan.
  • Pembekuan aset bernilai besar menunjukkan SPRM melihat kes ini sebagai serius dan memerlukan tindakan tegas.
  • Penukaran status saksi terhadap wanita yang sebelumnya disebut dalam siasatan menggambarkan aliran siasatan yang dinamik — menunjukkan SPRM mungkin akan memperluas skop penyiasatan jika bukti berkembang.


Lagi Video Tular Dakwa Shamsul Iskandar Sekadar Dikambing Hitam

KUALA LUMPUR, 1 Disember — Satu video pendedahan yang tular di Facebook hari ini mencetuskan persoalan baharu mengenai kedudukan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang sebelum ini meletak jawatan susulan dakwaan menerima wang daripada seorang ahli perniagaan.

Dalam video itu, individu yang didakwa dikenali dengan Sofea Rini mendakwa Shamsul hanyalah “kambing hitam” dalam isu yang lebih besar, serta menuduh PMX sebagai sebenar dalang di belakang kontroversi tersebut.

Shamsul sebelum ini menafikan segala dakwaan terhadapnya dan menyifatkannya sebagai serangan politik terancang, selain membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan yang mengaitkannya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan semua dakwaan baharu yang beredar di media sosial akan diteliti mengikut prosedur, dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi tanpa bukti.

Setakat ini, tidak ada pengesahan rasmi bahawa Shamsul dijadikan kambing hitam, dan dakwaan dalam video tular tersebut masih menunggu maklumbalas dan siasatan pihak berkuasa.


Rakyat Diminta Bantah Pelantikan Ahmad Terrirudin ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

KUALA LUMPUR, 1 Disember — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa rakyat Malaysia menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 hingga 14 November 2027.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata pelantikan yang telah diwartakan kerajaan itu kembali mencetuskan krisis kepercayaan terhadap institusi kehakiman, khususnya berhubung kontroversi lampau yang pernah dikaitkan dengan bekas Peguam Cara Negara itu.

Menurut Tun Faisal, Terrirudin sebelum ini berdepan pertikaian besar ketika dicalonkan sebagai Hakim Besar Malaya, selepas tular dokumen yang didakwa minit mesyuarat JAC. Dokumen itu mengaitkan beliau dengan dakwaan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman, menukar hakim serta memberi tekanan kepada Ketua Hakim Negara ketika itu. Rekod penghakimannya turut menjadi bahan perbahasan dalam kalangan pengamal undang-undang.

Beliau juga mengaitkan Terrirudin dengan beberapa isu berprofil tinggi termasuk kontroversi Titah Adendum melibatkan tahanan Datuk Seri Najib Razak serta peranan beliau dalam permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal berkata pelantikan itu sekali lagi mengundang persoalan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan PM10 masih mempunyai kes mahkamah yang belum diselesaikan, selain memiliki kuasa melantik lima daripada sembilan anggota JAC.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai tahap kebebasan institusi kehakiman,” katanya sambil menyebut laporan bahawa beberapa pihak termasuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Majlis Peguam dan ahli politik kerajaan turut melahirkan kebimbangan terhadap pelantikan itu.

Beliau turut mengaitkan pelantikan tersebut dengan kegelisahan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, terutama selepas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan ahli perniagaan Albert Tei, dakwaan berkaitan rakaman audio pemimpin GRS serta isu pendakwaan berprofil tinggi yang disifatkan sebagai memilih.

Tun Faisal berpendapat gabungan pelbagai krisis ini akhirnya membentuk “krisis keyakinan menyeluruh” terhadap pentadbiran PM10, termasuk dalam aspek ekonomi, kos sara hidup, hutang negara dan kesan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART).

Sehubungan itu, Bersatu menuntut dua tindakan utama:

  1. Pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC ditarik balik serta-merta.
  2. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan bagi memulihkan keyakinan terhadap institusi negara.

Kenyataan tersebut dimuatnaik di Facebook milik Tun Faisal hari ini.



© all rights reserved
made with by templateszoo