Titah itu dizahirkan dalam kenyataan media sempena keberangkatan baginda ke Dataran Selangor (Selangor Square), hari ini, bagi meninjau sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhampiran Tiang Bendera Negeri Selangor.
Menurut baginda, monumen berkenaan dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala keseluruhan kos pembinaannya dibiayai sendiri oleh Sultan Selangor.
Baginda bertitah, pembinaan monumen itu bertujuan mengingatkan rakyat mengenai sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda.
Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut menyeru semua Ahli Yang Berhormat negeri itu hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membaca dan memahami makna Rukun Negara.
Namun, baginda secara khusus menamakan Wong Siew Ki dan Ronnie Liu supaya hadir setiap minggu bagi mendalami prinsip berkenaan.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.
Teguran itu dilihat mempunyai kaitan dengan polemik berhubung isu penutupan pusat penternakan babi di Selangor yang kembali hangat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan mengambil tindakan tegas terhadap beberapa ladang babi yang didakwa beroperasi tanpa mematuhi syarat lesen serta piawaian kebersihan dan alam sekitar.
Isu berkenaan turut mencetuskan pertikaian politik apabila beberapa pemimpin DAP, termasuk Ronnie Liu, dilihat mempertahankan pengusaha ladang terbabit dan mempersoalkan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa tempatan.
Kontroversi itu kemudian mengundang pelbagai reaksi termasuk desakan supaya semua pihak menghormati dasar kerajaan negeri, sensitiviti masyarakat serta kedudukan institusi diraja dalam hal melibatkan kepentingan awam dan keharmonian negeri.
Sultan Selangor mengakhiri kenyataan baginda dengan lafaz:
“Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” serta “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara.”

No comments
Post a Comment