JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak yang menuduh PH dan DAP mengadaikan kepentingan Melayu supaya mengemukakan bukti parti itu pernah menuntut penghapusan Bahasa Melayu atau menolak agenda membantu Bumiputera.
Ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan, tuduhan bahawa kerjasama dengan DAP mengancam kedudukan Melayu hanyalah permainan politik perkauman.
“Mana bukti DAP tuntut hapus Bahasa Melayu? Mana mereka tolak dasar bantu Melayu? Tunjuk bukti,” katanya sebelum mendapat tepuk gemuruh lebih 10,000 perwakilan hadir.
Anwar berkata, kerajaan Persekutuan sendiri telah meluluskan pelbagai keputusan berkaitan kepentingan Melayu termasuk pewartaan kawasan rizab Melayu di Kuala Lumpur tanpa bantahan daripada rakan gabungan.
Menurutnya, politik ketakutan terhadap kaum lain tidak sepatutnya terus dimainkan ketika negara memerlukan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi.
“Kita nak pacu ekonomi, jaga keamanan dan keharmonian negara, bukan hasut rakyat takut kepada kaum lain,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik sikap segelintir pihak yang mendakwa mempertahankan maruah Melayu tetapi dalam masa sama menerima pemimpin terpalit rasuah dan salah guna kuasa.
“Ada yang sakau wang rakyat, kayakan keluarga dan kroni, dihukum pun masih diangkat sebagai hero Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada pembangunan Johor menerusi pelbagai projek mega yang digerakkan bersama Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Johor bukan diberi perhatian kerana sentimen politik semata-mata sebaliknya kerana kerajaan mahu memastikan negeri itu terus menjadi pemacu ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan lagi perkara yang dipertikaikan kerana Kerajaan Persekutuan komited melaksanakannya.
Beliau turut mengakui rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup namun kerajaan mengadakan mesyuarat mingguan bagi mencari jalan menstabilkan harga dan ekonomi rakyat.
Menyentuh perkembangan politik Johor, Anwar berkata, PH mengambil maklum keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kawasan negeri itu.
Katanya, walaupun hubungan pimpinan di peringkat pusat masih baik, PH tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kalau mereka pilih untuk bertempur di Johor, kita lawan. Kita juga akan bertanding di semua kawasan,” katanya.
Menurutnya, PH bagaimanapun masih terbuka kepada rundingan dan akan terus memilih pendekatan bijaksana selagi semangat kerjasama dihormati.
Beliau berkata, pimpinan PH akan dipanggil bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju gabungan termasuk soal kestabilan kerajaan negeri dan persiapan menghadapi pilihan raya.
Anwar turut menyeru jentera parti di Johor dan Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment