JOHOR BAHRU – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 17 Mei ini disifatkan sebagai platform penting bagi menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, konvensyen yang akan berlangsung di Persada Johor Bahru itu perlu menjadi medan memperjelaskan kedudukan serta strategi politik semasa melibatkan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.
Menurut beliau, keadaan politik di Johor ketika ini masih belum memperlihatkan kerangka kerjasama yang benar-benar tersusun dan menyeluruh antara PH dan BN meskipun kedua-duanya bekerjasama di peringkat Persekutuan.
“Konvensyen ini amat penting dalam memberikan hala tuju yang jelas kepada Pakatan Harapan bagi menghadapi PRN dan PRU akan datang.
“Ia juga sewajarnya menjadi medan untuk memperjelaskan kedudukan dan strategi politik semasa dengan mengambil kira latar belakang ketiadaan pembentukan kerjasama rasmi Kerajaan Perpaduan di Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menyentuh isu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan serta keperluan memperkukuhkan kerjasama utuh dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
Dalam pada itu, Suhaizan berpandangan cadangan mengadakan PRN dan PRU secara serentak wajar dipertimbangkan secara serius bagi mengelakkan pembaziran kos serta meningkatkan peratusan keluar mengundi.
Katanya, langkah tersebut juga mampu membantu pengundi Johor yang bekerja di Singapura agar tidak terbeban untuk pulang mengundi sebanyak dua kali sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan.
“Negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan BN wajar mempertimbangkan penyelarasan pilihan raya secara bersama demi kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran,” katanya.
Beliau berharap Konvensyen PH Johor nanti menjadi titik penting dalam membina kesepakatan serta menetapkan arah perjuangan yang lebih jelas demi masa depan negara dan negeri Johor.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment