NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belum ada tokoh besar yang berminat - Amanah Perak



IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengalu-alukan penyertaan mana-mana individu termasuk bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berminat untuk menyertai parti itu.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang politik untuk bersama parti berkenaan.

Menurutnya, mereka yang berminat menyertai Amanah mesti memahami serta menghayati aspirasi parti dan Kerajaan Perpaduan.

"Secara umumnya kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyertai Amanah dan kita akan terima secara umum.


"Bukan tertakluk kepada kes demi kes, tetapi jika ada kes tertentu kita akan teliti permohonan tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kabin Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.


Hadir sama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff.

Asmuni berkata, setakat ini sudah ada penyertaan daripada akar umbi dan ahli di peringkat bawahan namun belum melibatkan tokoh besar.

"Memang ada yang berminat, tetapi tokoh-tokoh besar belum nampak lagi. Yang tidak ada jawatan besar ini ramai kita lihat di peringkat bawahan dan cawangan.


"Tokoh besar atau kecil tidak menjadi isu, asalkan mereka dapat menghayati aspirasi Amanah dan Kerajaan Perpaduan, kita boleh terima, insya-ALLAH,” katanya.


Sebelum ini media melaporkan beberapa pemimpin termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan tindakan penggantungan serta dipecat dari parti berkenaan disebabkan pelanggaran disiplin parti.

Terbaharu antara yang dikenakan tindakan disiplin itu termasuklah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin; ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Parit, Wan Meor Safwat Naquiddin Shamsuddin.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi pendekatannya sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, segala peruntukan yang diperoleh digunakan sepenuhnya bagi menjayakan program serta memenuhi permohonan penduduk tanpa mengira latar belakang politik.

"Saya tidak simpan duit. Apa orang minta, saya bagi dan saya tidak tengok warna.

"Sebahagian besar adalah peruntukan kerajaan negeri termasuk peruntukan pejabat Menteri Besar yang saya mohon bagi membantu penduduk,” katanya.

Menurutnya, menjadi cabaran apabila kawasan DUN Manjoi mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Perak iaitu kira-kira 85,000 orang.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo