NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dewan Pemuda PAS Gombak tuntut laluan bagi PAS bertanding kerusi Gombak PRU16




GOMBAK
: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak menuntut agar calon daripada PAS diberikan peluang bertanding di kerusi Parlimen Gombak serta keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen itu mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, Mohamad Suffi Kamari berkata, tuntutan itu dibuat berdasarkan realiti politik semasa serta kekuatan jentera parti itu di peringkat akar umbi yang dilihat mampu menjadi formula baharu untuk merampas kembali kubu kuat terbabit.

Beliau menarik perhatian kepada keputusan PRU15 lalu yang menyaksikan kekalahan besar Pengerusi PN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bukti nyata pendekatan dan formula lama meletakkan calon bukan daripada PAS di kawasan berkenaan perlu dinilai semula.

“Ini berdasarkan kekuatan organisasi, penerimaan rakyat dan kemampuan sebenar untuk menang,” katanya susulan usul yang diterima dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, semalam.

Parlimen Gombak merupakan antara kawasan panas dalam landskap politik tanah air di mana pada PRU15, kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) dan kemudiannya PKR itu menyaksikan pertembungan sengit yang berakhir dengan kekalahan penyandangnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (BERSATU-PN).

Beliau tewas kepada Dato’ Seri Amirudin Shari (PKR-PH) dengan majoriti 12,729 undi, walaupun Azmin berjaya menebus kekalahan itu dengan memenangi kerusi DUN Hulu Kelang yang juga salah satu DUN di bawah Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Berdasarkan rekod pilihan raya terdahulu, PAS mempunyai asas sokongan yang sangat kuat di Gombak dan pernah melakar kemenangan besar ketika bersama pakatan pembangkang sebelum ini iaitu pada PRU12 tahun 2008 dan PRU13 (2013).

PAS juga berjaya memenangi dua kerusi DUN di bawah Parlimen Gombak secara konsisten, iaitu DUN Gombak Setia menerusi Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali (2008) dan Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (2013).

Rekod ini dijadikan hujah kuat oleh kepimpinan Pemuda PAS bahawa parti itu memiliki ‘akar’ yang lebih dalam di bumi Gombak berbanding parti komponen PN yang lain.

Mohamad Suffi menegaskan, keupayaan PAS Gombak tidak boleh dipertikaikan memandangkan parti itu mempunyai struktur organisasi yang sangat aktif serta melekat dalam sanubari masyarakat melalui pelbagai sayap dan agensinya.

Beliau menyenaraikan rangkaian gerak kerja parti seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Jabatan Amal Malaysia, Alternative Riding Club (ARC), Dewan Muslimat, Ameerah (sayap muda Muslimat), serta kumpulan veteran Assabiqun yang konsisten menjalankan khidmat bakti.

“Dewan Pemuda PAS Gombak juga berpandangan bahawa formula pembahagian kerusi sedia ada perlu disusun semula secara lebih adil. Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Gombak mengusulkan agar Parlimen Gombak dan kerusi-kerusi DUN diberikan kepada calon PAS pada PRU16.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak menegaskan komitmen penuh untuk memikul amanah, memperkukuhkan gerak kerja pilihan raya serta memastikan kemenangan Perikatan Nasional di Parlimen Gombak pada PRU16,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2026






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo