NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU16: PN Selangor sasar rampas Kuala Kubu Baharu




HULU SELANGOR
: Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan gabungan itu sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan pelancaran rasmi jentera pilihan rayanya hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, pelancaran itu membuktikan seluruh jentera PN di Selangor berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal atau mengikut jadual asal.

“Kita telah selesai melancarkan jentera PN di Selangor dan tujuan utama sudah pasti untuk menyatakan bahawa PN Selangor telah bersedia berhadapan dengan pilihan raya.

“Keduanya, kita juga bersedia mempertahankan kemenangan di Parlimen Hulu Selangor serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini dan insya-Allah kita akan merampas satu lagi DUN di Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran jentera PN Hulu Selangor petang tadi.

Mengulas bahawa kononnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan akan bertanding di kawasan itu, Idris berkata pihaknya mahu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri turun bertanding di Hulu Selangor.

“Kami tak mahu Menteri Agama, kami mahu Perdana Menteri bertanding di sini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata terdapat halangan pada saat akhir terhadap program pelancaran jentera tersebut, termasuk arahan menurunkan bendera parti dan larangan membuat siaran langsung.

“Kami telah dihubungi untuk menghentikan program ini pada asalnya, tetapi kami bantah kerana semua persiapan sudah dibuat.

“Akhirnya program diteruskan dengan beberapa syarat termasuk menurunkan bendera dan tidak dibenarkan membuat siaran langsung,” jelasnya.

Menurut beliau, arahan itu difahamkan bukan datang daripada pihak pentadbiran lokasi program, sebaliknya daripada pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan program itu berjaya diteruskan sehingga selesai tanpa sebarang insiden.

Sementara, mengulas lanjut mengenai persiapan menghadapi PRU16, Idris berkata pelancaran jentera turut dilakukan di beberapa negeri lain termasuk Perak dan Tanah Merah, sekali gus menunjukkan semua kawasan kini berada dalam ‘mood persiapan’ pilihan raya.

“Kalau pilihan raya dibuat cepat pun okey, lambat pun okey,” tegasnya.

Beliau turut menjangkakan PRU16 berkemungkinan diadakan sekitar Oktober tahun ini atau awal tahun hadapan.

Menyentuh penyertaan parti-parti baharu ke dalam PN, beliau berkata setakat ini belum ada sebarang penerimaan rasmi dibuat walaupun terdapat beberapa pihak yang masih bekerjasama secara tidak formal menerusi platform tertentu.

“Belum ada penerimaan parti baharu lagi. Mereka mungkin masih berada dalam kerjasama bersama dalam memperjuangkan isu-isu tertentu,” katanya.

Idris turut menyeru komponen PN termasuk Bersatu dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) agar lebih aktif memainkan peranan terutama di media sosial bagi menangkis tuduhan dan serangan terhadap parti itu.

Menurutnya, banyak tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan akhirnya dikaitkan dengan PAS walaupun maklumat yang digunakan tidak tepat.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan kehadiran peserta pada Himpunan Daulat Tuanku yang berlangsung semalam dan menyifatkan dakwaan kononnya himpunan tersebut gagal sebagai tidak berasas.

“Hakikatnya memang ramai yang hadir dan jumlahnya melebihi jangkaan asal. Kalau ada pihak kata himpunan itu sia-sia, bagi saya itu kenyataan yang bodoh.

“Himpunan itu jelas menunjukkan pendirian mempertahankan sistem kenegaraan Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut mengulas isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan menegaskan PAS tidak menentang pembelajaran di sekolah vernakular atau penguasaan bahasa asing termasuk Mandarin dan Tamil.

“Kita tidak menentang sekolah Cina. Ramai juga anak pimpinan PAS belajar di sekolah Cina.

“Hadis Nabi sendiri menyebut supaya belajar bahasa asing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan isu utama ialah pengiktirafan sijil yang perlu mematuhi Perlembagaan dan Akta Pendidikan Negara.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan sijil sekolah tahfiz dan pondok yang tidak diiktiraf kerajaan sehingga menyukarkan pelajarnya memasuki sektor pekerjaan awam.

“Banyak sijil tahfiz dan pondok tidak diiktiraf. Ibu bapa hantar anak ke sana dan mereka tahu anak-anak itu tidak boleh bekerja dengan kerajaan kerana sijil tidak diiktiraf.

“Begitu juga dahulu pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke Mesir perlu mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) walaupun memiliki sijil lain,” jelasnya.

Beliau menegaskan PAS tidak menolak kewujudan sekolah persendirian Cina atau hak masyarakat mempelajari bahasa dan budaya sendiri, sebaliknya menekankan soal pematuhan kepada dasar pendidikan negara.

“Kita tidak mahu membuat janji populis sehingga melanggar perkara yang terkandung dalam Perlembagaan,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Idris turut menyentuh isu penternakan babi di Bukit Tagar dan menegaskan pihaknya akan terus mempertahankan Hulu Selangor daripada pembukaan kawasan penternakan baharu di daerah itu.

“Isu babi di Bukit Tagar telah diuruskan dan kami di Hulu Selangor akan mempertahankan supaya perkara itu tidak berlaku lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2026








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo