SHAH ALAM – Keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukanlah pengiktirafan penuh secara 'pintu terbuka' seperti didakwa pihak tertentu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, hakikat itu cuba disembunyikan beberapa pemimpin yang memainkan sentimen kononnya kerajaan sedang melakukan pengkhianatan terhadap sistem pendidikan negara.
"Keputusan kerajaan hari ini sangat terhad, sangat terkawal dan masih meletakkan syarat ketat kepada pemegang UEC. Mereka wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia.
"Mereka juga bukan boleh masuk sesuka hati ke semua kursus IPTA seperti Perubatan atau Kejuruteraan. Sebaliknya, laluan itu hanya melibatkan program-program tertentu seperti Pengajian Bahasa Cina, Linguistik Cina dan bidang berkaitan bahasa ibunda sahaja," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata demikian membidas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengkritik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri membuka peluang kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta UEC untuk mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Ahmad Fadhli mendakwa pengumuman kerajaan mengenai peluang kemasukan lepasan tahfiz ke program tertentu di IPTA hanyalah satu taktik 'silap mata' bagi mengaburi agenda sebenar berkaitan pengiktirafan UEC
Muhamad Akmal pula menegaskan, kemasukan ke IPTA perlu dikekalkan menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tanpa pengecualian kepada mana-mana aliran termasuk UEC dan tahfiz.
Kata beliau, semua pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke IPTA wajib mengambil SPM selaras dengan dasar pendidikan negara yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut, Danish menegaskan, kemasukan ke IPTA itu semuanya masih tertakluk kepada merit, syarat universiti dan kelulusan Senat Universiti.
"Jadi di mana pengkhianatan yang mereka cuba gambarkan? Saya juga ingin mengingatkan Ahmad Fadhli dan Akmal Saleh bahawa jangan kerana mahu bermain politik murahan, fakta diputar sampai rakyat jadi takut tanpa sebab.
"Rakyat hari ini semakin bijak. Mereka boleh bezakan antara fakta dan propaganda. Mereka boleh nampak siapa yang benar-benar mahu menyelesaikan isu secara rasional dan siapa yang hanya mahu menangguk kebencian politik. Kalau mahu bercakap soal prinsip, mulakan dengan cermin manifesto sendiri dahulu," ujarnya.
Danish turut mempersoalkan reaksi Ahmad Fadhli dan Muhamad Akmal yang dilihat seolah-olah terkejut dengan isu UEC berkenaan sedangkan parti mereka sendiri sendiri pernah membawa agenda berkaitan pengiktirafan sijil tersebut dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.
Malah beliau meluahkan rasa lucu melihat Pas hari ini mahu menjadi paling marah tentang UEC sedangkan institusi di bawah kerajaan Pas di Kelantan sendiri didakwa sudah lama membuka ruang kepada lepasan UEC.
"Sejak Buku Peraturan Akademik Asasi Edisi 2022, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah meletakkan syarat kemasukan yang turut menerima kelayakan UEC dengan syarat tertentu. Ini bukan cerita baharu. Ini bukan benda yang muncul semalam. Ia sudah berlaku di bawah pentadbiran negeri yang dipimpin Pas sendiri.
"Kalau hari ini mereka mahu menjerit kononnya kerajaan sedang membuat silap mata, rakyat juga berhak bertanya, manifesto siapa yang sebelum ini membuka ruang kepada isu ini? Jangan jadi pembangkang bermusim yang hanya tahu bermain sentimen dan ketakutan rakyat tanpa bercakap benar," ujarnya lagi.
Danish mendakwa, Barisan Nasional (BN) pula sejak dahulu tidak pernah mengambil pendirian menolak secara mutlak pengiktirafan UEC.
"Hari ini tiba-tiba mahu berlakon jadi pejuang bangsa dan pendidikan nasional? Rakyat tidak mudah lupa," sindirnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment