Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, berkata tanah yang diterokai di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu kekal sebagai hak milik kerajaan negeri kerana FELDA tidak memenuhi syarat ditetapkan, terutama keperluan memasukkan peneroka dalam projek pembangunan tanah tersebut.
Menurutnya, walaupun FELDA pernah membayar premium dan cukai tanah sekitar 2009, bayaran itu dipulangkan kerana FELDA gagal mematuhi syarat utama.
“Kita memberi syarat bahawa FELDA perlu memasukkan lebih 3,000 peneroka bagi membantu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar rakyat. Syarat itu tidak dipenuhi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Notis Pencerobohan Dipasang di 10 Lokasi
Beliau mengulas tindakan kerajaan negeri yang pada Isnin lalu mengeluarkan notis larangan pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 di 10 kawasan di empat daerah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata tindakan itu diambil berikutan FELDA gagal memberikan maklum balas terhadap tuntutan pembayaran 30 peratus hasil keuntungan tanah milik kerajaan negeri yang diteroka sejak lebih 40 tahun lalu.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Dr Azman memaklumkan bahawa FELDA gagal menjelaskan hasil keuntungan dianggarkan RM600 juta, merangkumi cukai, premium serta perkongsian keuntungan.
Isu Dibangkitkan Sejak 2010
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata isu berkenaan bukan perkara baharu dan pernah dibangkitkan pada Persidangan DUN pada Ogos 2010.
“Kita pernah bertegas bahawa geran hak milik hanya akan dikeluarkan jika FELDA memasukkan peneroka serta memenuhi syarat perkongsian keuntungan atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan,” katanya.
Beliau turut mengakui kerajaan negeri pernah mencadangkan syarat tambahan susulan rayuan FELDA untuk mengurangkan tekanan akibat kerugian yang dialami.
Antara syarat itu ialah FELDA menawarkan peluang pegangan saham kepada anak syarikat kerajaan negeri.
“Setakat ini kita tidak diketahui jumlah tawaran saham oleh FELDA,” katanya.
“Selagi Tiada Geran, Tanah Milik Kerajaan Negeri”
Ahmad menegaskan bahawa tindakan kerajaan negeri, termasuk pengeluaran notis pencerobohan, adalah selaras dengan undang-undang kerana FELDA belum memiliki geran hak milik yang sah.
“Selagi FELDA tidak mendapat geran, tanah itu kekal sebagai hak milik kerajaan negeri,” katanya.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment