NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin flotilla ke Gaza didakwa terlibat salah laku seksual



  • Menerusi satu testimoni yang didedahkan di media sosial, seorang ahli Jawatankuasa Pemandu yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam flotilla berkenaan, dengan kod nama B.L. didakwa telah melakukan hubungan seksual dengan beberapa orang sukarelawan ketika berada di atas kapal dalam perjalanan menuju ke Gaza.
  • “Ia merupakan penyalahgunaan kuasa. Ia mewujudkan persekitaran yang toksik. Ia menjejaskan integriti keseluruhan misi.Dan apabila ia berlaku di atas sebuah bot yang menuju ke Gaza, satu ruang yang sepatutnya suci, fokus, dan berdisiplin, ia adalah satu garis merah,” kata hantaran tersebut yang disiarkan di akaun Instagram Heart of Falastin.

KUALA LUMPUR – Satu pendedahan mengejutkan membabitkan dakwaan salah laku seksual dalam sebuah misi kemanusiaan ke Gaza mula tular, sekaligus meletakkan integriti pengurusan pergerakan antarabangsa itu di bawah perhatian serius.

Menerusi satu testimoni yang didedahkan di media sosial, seorang ahli Jawatankuasa Pemandu, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam flotilla berkenaan, dengan kod nama B.L. didakwa telah melakukan hubungan seksual dengan beberapa orang sukarelawan ketika berada di atas kapal dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Pendedahan tersebut menegaskan, insiden ini bukan sekadar melibatkan kehidupan peribadi individu terbabit, sebaliknya merupakan satu bentuk penyalahgunaan etika dan kuasa yang jelas dalam sebuah ruang yang sepatutnya berdisiplin dan fokus sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

“Ini tidak berbeza dengan seorang majikan di tempat kerja atau seorang pensyarah di universiti yang menggunakan kedudukan kuasa mereka untuk terlibat dalam hubungan seksual dengan pekerja atau pelajar.

“Ia merupakan penyalahgunaan kuasa. Ia mewujudkan persekitaran yang toksik. Ia menjejaskan integriti keseluruhan misi.

“Dan apabila ia berlaku di atas sebuah bot yang menuju ke Gaza, satu ruang yang sepatutnya suci, fokus, dan berdisiplin, ia adalah satu garis merah,” kata hantaran tersebut yang disiarkan di akaun Instagram Heart of Falastin.

Walau bagaimanapun hantaran itu menambah, pihak kepimpinan pertubuhan itu didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya selepas mengetahui insiden berkenaan. 

Mereka bukan sahaja tidak menyingkirkan individu dikenali sebagai B.L. daripada Jawatankuasa Pemandu, malah tiada siasatan dilancarkan dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan bagi mengakui pelanggaran tersebut. 

Sebaliknya, dakwa hantaran berkenaan, B.L. terus dikekalkan dalam lembaga berkenaan, diberikan lebih kuasa, serta dilindungi.

“Ini bukanlah kepimpinan yang mahu berubah. Ini adalah kepimpinan yang mahu menutup mulut sesiapa sahaja yang bersuara tentang penderaan yang mereka hadapi, sama ada daripada ahli delegasi atau daripada Jawatankuasa Pemandu itu sendiri.

“Mereka tidak berminat dengan akauntabiliti. Mereka hanya berminat untuk melindungi golongan mereka sendiri,” dakwa hantaran itu lagi.

Hantaran tersebut juga menggariskan kronologi insiden tersebut dengan insiden pertama berlaku lebih enam bulan lalu manakala pertubuhan berkenaan memperoleh laporan dan testimoni terperinci lebih sebulan lalu.

“Kami memberi mereka masa. Kami memberi mereka peluang untuk melakukan yang betul. Mereka enggan. Mereka memilih untuk berdiam diri. Mereka memilih untuk bersubahat. Dan mereka mengugut sesiapa yang berani bersuara,” dakwanya lagi.

Menurut hantaran itu, testimoni berkenaan bukanlah insiden terpencil sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada corak dan pada hantaran akan datang, pihaknya akan mendedahkan lebih banyak testimoni.

“Satu demi satu. Setiap daripadanya mendedahkan lapisan penderaan, salah laku dan kegagalan yang berbeza. Salah laku seksual. Penderaan lisan. Pencurian kewangan. Menutup mulut suara Palestin. ‘Whitewashing’ penjenayah perang,” katanya.

Hantaran itu menegaskan, pihaknya bukan meminta izin dan tidak menunggu penyelamat tetapi menuntut akauntabiliti.

“Kami sedang menuntut akauntabiliti daripada mereka yang telah mengecewakan kami, yang terus mengecewakan rakyat Palestin sambil mendakwa bertindak atas nama kami.

“Ini adalah testimoni pertama. Lebih banyak akan menyusul. Kebenaran tidak boleh disenyapkan selama-lamanya,” katanya. 

Bagi mengesahkan dakwaan tersebut, The Merdeka Times telah mendapatkan reaksi Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.Beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung isu berkenaan. – The Merdeka Times




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo