KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diasaskan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diramal berdepan nasib sama seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang pernah dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad apabila gagal menambat sokongan pengundi pada pilihan raya.
Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mashitah Mohd Udin, landskap politik negara tidak pernah memihak kepada parti yang terlalu bergantung kepada populariti seorang individu semata-mata.
Menurut beliau, pengundi di Malaysia lazimnya membuat penilaian berdasarkan kekuatan ideologi, jentera akar umbi serta kerja lapangan yang konsisten dan bukannya populariti di media sosial.
“Bandingkan sahaja rekod Rafizi dengan rekod Dr Mahathir yang memerintah negara selama 22 tahun, membangunkan Langkawi, membina Putrajaya dan KLIA, tetapi tetap hilang deposit di kubu sendiri pada PRU-15.
“Calon-calon Parti Pejuang yang beliau tubuhkan pula hilang deposit di hampir semua tempat. Jika nama sebesar Mahathir pun boleh ditolak mentah-mentah oleh pengundi, apatah lagi Rafizi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mashitah berkata, Rafizi juga tidak mempunyai rekod pembangunan atau legasi besar yang mampu dijadikan sandaran untuk menawan keyakinan pengundi di seluruh negara.
Katanya, pengaruh Presiden Bersama itu ketika ini lebih tertumpu di kawasan bandar seperti Pandan dan Setiawangsa, namun ia masih belum cukup untuk diterjemahkan kepada kemenangan di peringkat nasional.
“Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan untuk menang, sesebuah parti perlu menembusi Felda, kawasan pedalaman dan kawasan luar bandar yang langsung tidak terkesan dengan wacana idealisme bandar.
“Pengundi luar bandar tidak mengundi kerana debat Twitter atau pendedahan skandal. Mereka mengundi kerana bantuan sara hidup, projek jalan raya, elektrik dan air serta kehadiran pemimpin di majlis kenduri.
“Populariti dalam kalangan anak muda juga tidak bermakna jika kadar keluar mengundi mereka rendah,” katanya.
Beliau turut berpandangan parti yang berasaskan ideologi seperti Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mampu bertahan kerana mempunyai identiti dan jentera tersusun, berbeza dengan parti berasaskan personaliti yang lazimnya tenggelam selepas satu atau dua pilihan raya.
Katanya, tanpa struktur parti yang kukuh serta naratif lebih besar daripada sekadar retorik anti-establishment, parti Bersama hanya akan menjadi parti yang sekadar ‘bising’ di media sosial dan pentas ceramah tanpa impak besar di Parlimen.
Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) lalu, kesemua calon Parti Pejuang gagal memenangi kerusi Parlimen yang ditandingi dan ramai turut hilang deposit, termasuk Dr Mahathir sendiri di Langkawi.
Dr Mahathir hanya memperoleh 4,566 undi di Langkawi, iaitu kurang daripada syarat minimum satu perlapan undi diperlukan untuk mengekalkan deposit. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment