NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Beseri Dedah Wujud ‘Broker’ Ajak Tandatangan SD Guling MB Perlis

KUALA LUMPUR, 28 Disember — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, mendedahkan beliau antara wakil rakyat yang dihubungi seorang individu bertindak sebagai ‘broker’ bagi mengajak menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis berkata, jemputan berkenaan tidak dibuat secara rasmi dan tidak melalui saluran parti, menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk tidak terlibat.

Menurutnya, sebagai ADUN yang dipilih atas tiket parti, beliau berpegang kepada prinsip disiplin jamaah dengan merujuk perkara berkenaan terlebih dahulu kepada kepimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri sebelum membuat sebarang keputusan.

“Selepas mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terbabit kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada Rabu lalu, PAS mengumumkan keahlian tiga ADUN Perlis terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri. Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Susulan perkembangan itu, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis.

Mengulas lanjut, Haziq menyifatkan tindakan tiga ADUN terbabit sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap parti kerana dibuat tanpa pengetahuan dan kebenaran kepimpinan PAS.

Beliau berkata, sekiranya usaha tersebut dimaklumkan lebih awal kepada parti, ruang perbincangan dan proses islah masih boleh dilaksanakan tanpa perlu menandatangani SD.

“Tindakan bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri telah melangkaui batas disiplin jamaah,” katanya.

Haziq menegaskan ketegasan PAS dalam isu itu perlu dijadikan pengajaran kepada seluruh ahli parti di seluruh negara, selain bertujuan memelihara kestabilan Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa proses siasatan dalaman parti dijalankan secara adil dan berintegriti, termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN berkenaan untuk memberi penjelasan secara bersemuka dengan kepimpinan pusat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo