Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan memaklumkan peralihan itu susulan kejayaan penyempurnaan proses pemindahan pemilikan MASwings kepada Kerajaan Sarawak di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA) yang dimeterai pada 12 Februari 2025.
Menurut MAG, bermula tarikh berkenaan, AirBorneo akan mengendalikan keseluruhan operasi termasuk penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta pengurusan berkaitan penumpang. Bagaimanapun, penjenamaan MASwings mungkin masih digunakan buat sementara waktu sementara identiti korporat baharu AirBorneo dilaksanakan secara berperingkat.
MASwings yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 merupakan syarikat penerbangan komuter khusus pertama di Malaysia Timur, berperanan penting menghubungkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sepanjang hampir dua dekad operasinya, MASwings telah mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang, selain menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
MAG turut menegaskan komitmen untuk memastikan peralihan berjalan lancar serta mengiktiraf sumbangan besar MASwings dalam memperkukuh jaringan udara, menyokong Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dan pembangunan sosioekonomi di Malaysia Timur.

No comments
Post a Comment