Menteri Besar baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri pada Khamis lalu yang dikatakan atas faktor kesihatan.
Antara nama yang disebut-sebut bakal mengangkat sumpah ialah Exco Kanan kerajaan negeri daripada PAS, Muhammad Azmir Azizan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.
Turut dikaitkan ialah ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah, yang dilihat sebagai calon berpotensi berdasarkan prestasi cemerlang beliau sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini.
Pelantikan Menteri Besar baharu itu berlaku di tengah-tengah kemelut politik negeri susulan laporan media sebelum ini yang menyatakan beberapa ADUN Perikatan Nasional (PN) didakwa menghadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Rentetan perkembangan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Rabu lalu mengumumkan keahlian tiga ADUN iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) digugurkan serta-merta.
Kemelut politik berkenaan mencetuskan perhatian meluas memandangkan kerajaan negeri Perlis kini memasuki fasa kritikal dengan baki tempoh pentadbiran kira-kira satu setengah tahun sebelum berakhirnya penggal Dewan Undangan Negeri.

No comments
Post a Comment