NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Jika Ada Bukti Kecurian, Saya Orang Pertama Lapor” – Madinah

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 — Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, menegaskan beliau akan menjadi individu pertama membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti bahawa berlaku kecurian dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh yang dirujuk oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurut Madinah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang disediakan ketika beliau mengetuai Jabatan Audit Negara tidak menemukan sebarang bukti langsung mengenai unsur kecurian dalam TH.

Beliau berkata, proses pengauditan yang dijalankan oleh pasukannya ketika itu dibuat berdasarkan piawaian audit serta bukti yang diperoleh sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.

“Saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian ketika masih bergelar Ketua Audit Negara.

“Sekiranya saya dan pasukan menemui bukti berlaku kecurian, saya bukan sahaja tidak akan menyembunyikannya, malah akan memberi tumpuan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH di sini hari ini.

Madinah turut berpandangan bahawa dapatan RCI berhubung TH mungkin berbeza sekiranya beliau dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai bekas Ketua Audit Negara.

Laporan RCI setebal 211 halaman sebelum ini menyentuh mengenai ketidaktegasan Ketua Audit Negara, termasuk berhubung Penyata Kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 yang diberikan Sijil Audit Bersih.

RCI turut mengambil kira kewujudan catatan Emphasis of Matter (EOM) dalam laporan audit bagi tahun kewangan 2017.

Madinah yang menjawat jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019 sebelum ini melahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil untuk memberikan keterangan dalam prosiding RCI berkenaan.

Pada 13 Ogos lalu, beliau mendedahkan bahawa dirinya telah hadir ke pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tarikh dan waktu yang ditetapkan untuk memberi keterangan, namun tidak dipanggil.

“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa yang ditetapkan. Saya menunggu lebih 30 minit tetapi akhirnya tidak dipanggil.

“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila saya tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya.

Madinah menegaskan bahawa Jabatan Audit Negara ketika menjalankan tugasnya sentiasa berpandukan fakta, bukti pengauditan dan piawaian yang ditetapkan, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan persepsi atau andaian. - 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo