Menerusi kenyataan ringkas di Facebook hari ini, beliau menyatakan harapan agar proses perbincangan itu berjalan lancar.
“Rundingan sedang berjalan. Doakan yang terbaik,” katanya.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Terengganu akan diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap isu tanah ladang melibatkan keluasan kira-kira 15,000 hektar.
Menurut Fahmi, perkara itu susulan perbincangan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali, kelmarin. Pada peringkat awal, rundingan akan melibatkan pegawai kanan kedua-dua pihak.
Mengulas kenyataan itu, Azman mendakwa ia menunjukkan bayaran hasil yang sepatutnya diterima kerajaan negeri masih belum diselesaikan.
“Sebab itu sudah lama Terengganu ajak bincang,” katanya.
Azman turut memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh remedi diberikan kepada FGV berhubung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN), sekiranya rundingan lanjutan yang dijadualkan malam tadi membuahkan hasil positif.
Ahad lalu, Kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh terhadap operasi 10 ladang FELDA di enam daerah, selepas didakwa FELDA gagal memberikan maklum balas mengenai tuntutan pembahagian 30 peratus keuntungan ke atas tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu.

No comments
Post a Comment