Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan tersebut tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan urusan tatacara dan disiplin Ahli Dewan berada di bawah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat.
Menurutnya, Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa setiap Majlis mempunyai kuasa membuat aturan tatacara mesyuaratnya sendiri, sekali gus menegaskan bahawa Kabinet tidak boleh menentukan tindakan disiplin atau rujukan terhadap seseorang Ahli Parlimen.
Beliau turut merujuk Peraturan Mesyuarat 80A yang menyatakan bahawa hanya Dewan melalui keputusan rasmi boleh merujuk sesuatu perkara kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, manakala jawatankuasa itu hanya boleh bertindak berdasarkan rujukan daripada Dewan, bukan daripada eksekutif.
“Keputusan Kabinet untuk menentukan perjalanan usul atau tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen adalah tidak mempunyai asas perundangan dan mencabul bidang kuasa Dewan,” katanya.
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa amalan sedemikian boleh mewujudkan preseden berbahaya terhadap prinsip pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen.
“Urusan Dewan mesti diputuskan di dalam Dewan, melalui Yang di-Pertua Dewan, dan mengikut Peraturan Mesyuarat — bukan melalui keputusan politik Kabinet,” katanya lagi.

No comments
Post a Comment