Dalam satu kenyataan hari ini, Tei berkata dia tidak pernah menampilkan diri sebagai wira, namun menyoal sama ada Anwar sendiri layak dilihat sebagai tokoh antirasuah.
“Saya bukan hero. Tapi adakah anda?” katanya.
Tei mendakwa pendedahannya bermula kerana dia “tiada pilihan”, selepas diberi amaran supaya tidak menyerahkan bukti kepada SPRM. Katanya, tindakan beralih kepada media dilakukan selepas beliau merasakan pintu rasmi ditutup.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Anwar menyuarakan keresahan terhadap pihak yang memuji individu yang didakwa memberi rasuah. Walaupun tiada nama disebut, Tei yakin dialah sasaran sindiran tersebut.
Namun ahli perniagaan itu mempersoalkan pendirian perdana menteri yang masih muncul sepentas dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menurutnya turut menerima wang berkaitan projek perlombongan.
“Anwar kata siasatan belum ditutup, tapi beliau duduk sepentas dengan mereka dan memuji mereka,” katanya.
“Adakah penerima rasuah lebih mulia daripada pemberi rasuah?”
Tei juga mengulang dakwaannya bahawa Putrajaya melindungi beberapa pemimpin Sabah, mendakwa hanya dua individu didakwa meskipun bukti terhadap ramai yang lain, menurutnya, adalah sama.
Katanya lagi, budaya rasuah dalam dunia perniagaan tempatan memaksanya ‘mengikut arus’.
Dalam masa sama, Tei meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya dan keluarga, susulan siri pendedahan yang dibuat sejak November.
Tei sebelum ini mendakwa beberapa pemimpin GRS menerima wang daripadanya sebagai balasan bagi lesen penerokaan mineral yang akhirnya dibatalkan. Pendedahan itu mencetuskan kegusaran politik menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Dalam episod berasingan, Tei turut mengaitkan bekas pembantu politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin, mendakwa lebih RM620,000 dibelanjakan untuk mendapatkan semula wang yang sudah ‘hilang’ kepada ahli politik lain. Tuduhan itu membawa kepada pertuduhan rasuah ke atas kedua-dua mereka.
Pemimpin GRS kemudian menuduh Tei sebagai sebahagian “kartel perlombongan” yang mahu memonopoli industri di Sabah.

No comments
Post a Comment