NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perjanjian ART : Rosol Mahu Heret PM ke Mahkamah

KUALA LUMPUR , 11 Disember - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, mengambil langkah undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pemeteraian Perjanjian Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Tindakan itu dibuat melalui firma guaman Tetuan Karthig Shan, dengan Rosol – yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu – mengemukakan notis tuntut (LOD) bagi meminta penjelasan mengenai kuasa perlembagaan yang membolehkan perdana menteri menandatangani perjanjian berkenaan.

Rosol berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau bertanggungjawab meminta penjelasan selepas dakwanya soalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat tidak dijawab secara menyeluruh.

Antara yang dipersoalkan ialah autoriti undang-undang yang digunakan Anwar untuk memeterai ART, selain sama ada jemaah menteri meneliti perjanjian itu sepenuhnya dan sama ada nasihat Peguam Negara diperoleh.

Turut dibangkitkan adalah persoalan mengenai perkenan Majlis Raja-Raja, selain keperluan kelulusan Parlimen sebelum perjanjian yang mengikat Persekutuan dimeterai.

Rosol turut merujuk Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya memperuntukkan bahawa kapasiti kontraktual terletak pada Persekutuan sebagai entiti, dan bukannya kepada individu seperti perdana menteri atau jemaah menteri.

Beliau mendakwa, jika pemeteraian dilakukan secara unilateral tanpa mematuhi keperluan perlembagaan, ART boleh dianggap tidak sah dari awal (void ab initio).

Hadir sama dalam sidang media itu ialah peguam P Waytha Moorthy serta Presiden Putra, Ibrahim Ali. Waytha Moorthy memaklumkan bahawa Anwar diberi tempoh 14 hari untuk menjawab tuntutan itu, sebelum tindakan mahkamah difailkan.

Katanya, pihaknya juga akan memohon agar kes tersebut dirujuk terus ke Mahkamah Persekutuan kerana melibatkan isu perlembagaan yang penting dan belum pernah diputuskan sebelum ini.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo