Menurut beliau, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan sebanyak 117 ladang babi telah ditukar kepada sistem ladang tertutup. Namun, realiti di lapangan menunjukkan masalah pencemaran alam sekitar masih berterusan.
Pulau Pinang mempunyai dua ladang babi berskala besar iaitu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Valdor, Jawi. Yusfarizal menjelaskan bahawa pengurusan najis babi di Valdor dirancang untuk disalurkan ke fasiliti biogas yang dibina sejak 2024, manakala di Kampung Selamat, rawatan masih bergantung kepada kolam kumbahan.
Beliau mendakwa pencemaran di Sungai Kereh, Tasek Gelugor masih berlaku, termasuk masalah bau busuk najis babi, walaupun ladang berkenaan telah dinaik taraf kepada sistem tertutup.
Sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan cadangan untuk mengangkut najis babi menggunakan lori dari Kampung Selamat ke fasiliti biogas di Valdor melalui jalan darat. Namun cadangan tersebut akhirnya gagal dilaksanakan.
Pada 16 Mei 2025, Kerajaan Negeri mengakui bahawa langkah itu tidak dapat diteruskan berikutan risiko penularan penyakit semasa proses pengangkutan najis.
Lebih membimbangkan, Yusfarizal berkata Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk tidak membina fasiliti biogas di Kampung Selamat, sebaliknya menggantikannya dengan sistem Quantum Thermal Pyrolysis Cracking (QTPC) yang kini masih di peringkat projek perintis.
Menurut beliau, sehingga kini tiada sistem pengurusan najis yang benar-benar terbukti berkesan dilaksanakan, dan pelbagai cadangan yang dikemukakan masih bersifat percubaan.
Dalam pada itu, Yusfarizal mempersoalkan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mencontohi model ladang babi Pulau Pinang bagi projek ladang babi berpusat di Bukit Tagar.
“Apa sebenarnya yang mahu ditiru? Pengangkutan najis menggunakan lori yang gagal? Sistem biogas yang tidak berfungsi sepenuhnya? Atau QTPC yang masih belum difahami keberkesanannya?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun tiada bantahan terhadap konsep ladang berpusat (centralized), pelaksanaannya pada skala besar tanpa sistem pengurusan yang matang dan terbukti boleh membawa risiko besar kepada alam sekitar serta menjejaskan daya maju projek dari sudut perniagaan.
“Jika projek tidak berdaya maju, kita semua tahu apa kesudahannya,” katanya sambil memberi amaran bahawa kegagalan pengurusan boleh mencetuskan bencana alam sekitar berskala besar.
Beliau turut mendakwa terdapat maklumat bahawa fasiliti biogas di Valdor sendiri berdepan masalah kerana bekalan najis tidak mencukupi, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Yusfarizal menegaskan bahawa Selangor perlu berhati-hati agar masalah yang berlaku di Pulau Pinang tidak berulang dan menjadi isu nasional pada masa hadapan.

No comments
Post a Comment