NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Selangor digesa jangan terburu-buru




SHAH ALAM
: Kerajaan Negeri Selangor digesa supaya tidak terburu-buru meniru kaedah Modern Pig Farming (MPF) yang dilaksanakan di Pulau Pinang tanpa kajian mendalam mengenai kejayaan sebenar model tersebut.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, walaupun teknologi MPF diakui mampu menyelesaikan masalah bau dan pencemaran najis jika diuruskan dengan betul, pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang teliti dan sistematik, bukan sekadar ‘tangkap muat’.

Menurutnya, hasrat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor untuk meniru model Pulau Pinang perlu dipersoalkan memandangkan masih terdapat keraguan mengenai keberkesanan sistem tersebut di negeri jiran itu, khususnya melibatkan pengurusan sisa buangan untuk tenaga biogas.

“Di Pulau Pinang, najis babi daripada ladang tertutup mahu digunakan untuk menjadi biogas, sumber tenaga baharu. Pendek kata, najis babi hidupkan mentol.

“Namun, sepanjang pengamatan saya, belum ada lagi Janakuasa Biogas yang berjaya didirikan dan dijalankan dengan model perniagaan yang ‘viable’(berdaya maju),” katanya dalam satu hantaran di facebooknya hari ini.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menguatkuasakan Enakmen Penternakan Babi 2016 yang mewajibkan penternak beralih kepada sistem kandang tertutup (MPF) dan melepaskan sisa sifar (‘zero discharge’).

Walau bagaimanapun, isu pencemaran bau dan air masih membelenggu penduduk setempat, terutamanya di kawasan seperti Kampung Selamat (Tasek Gelugor) dan Valdor (Nibong Tebal).

Sungai Kreh di Nibong Tebal sering dilaporkan tercemar akibat sisa ternakan, menyebabkan air sungai menjadi hitam dan berbau busuk, yang membuktikan bahawa transisi kepada sistem moden di sana masih berdepan masalah penguatkuasaan dan infrastruktur.

Mengulas lanjut, Yusfarizal turut mempersoalkan logistik pengurusan sisa yang dirancang di Pulau Pinang, di mana terdapat cadangan untuk mengangkut najis dari Kampung Selamat ke Valdor untuk diproses.

“Jadi bagi menyelesaikan bau dan pencemaran najis babi di Kampung Selamat, kerajaan cadangkan angkut najis ini (melalui jalan raya?) ke Valdor, Jawi untuk diproses di Janakuasa Biogas Jawi.

“Kononnya ada Janakuasa Biogas Jawi yang telah beroperasi, namun saya juga tidak tahu benar atau tidak, dan setakat mana ia berfungsi.

“Perbualan saya dengan rakan-rakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pulau Pinang mendedahkan bahawa masalah di sana jauh daripada selesai,” tegasnya.

Sehubungan itu, PAS Selangor mencadangkan agar kerajaan negeri memulakan satu projek rintis berskala kecil terlebih dahulu untuk mengkaji kesan dan daya maju projek tersebut sebelum melaksanakannya secara besar-besaran.

Yusfarizal juga mengingatkan bahawa sebarang kegagalan projek yang melibatkan syarikat swasta akan memberi impak buruk kepada rakyat, selaras dengan prinsip ‘strict liability’ di mana penyimpan bahan berbahaya perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku kebocoran yang memudaratkan.

“Kita tidak boleh lagi guna kaedah try and error terutama dalam isu sensitif sebegini.

“Syarikat swasta yang mahu melabur akan melihat keuntungan. Kalau projek itu tidak viable, bungkus di tengah jalan, yang merana kita. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun PAS Selangor bersetuju MPF adalah teknologi yang baik, perancangan dan pelaksanaannya mestilah bijak (smart) demi kesejahteraan rakyat Selangor. – HARAKAHDAILY 16/1/2026







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo