Tindakan itu berlaku walaupun kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan hanya rumah kosong akan dirobohkan.
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, berkata tindakan tersebut bertentangan dengan janji kerajaan Madani yang kononnya menekankan nilai kemanusiaan.“Inikah janji kerajaan Madani? Mereka kata hanya rumah kosong akan diroboh, tapi sekarang rumah yang masih dihuni pun turut musnah. Ada yang tua, ada yang sakit — ke mana mereka mahu pergi selepas ini?” katanya ketika ditemui di lokasi.
Sekitar 20 rumah dilaporkan sudah dirobohkan pagi tadi menggunakan jentolak, termasuk enam rumah yang masih dihuni. Beberapa penduduk mendakwa mereka tidak diberi masa mencukupi untuk mengeluarkan barang keperluan sebelum operasi dijalankan.
“Kami minta tangguh sekejap, tapi mereka terus roboh. Barang pun banyak tak sempat selamatkan,” kata seorang penduduk yang rumahnya musnah dalam operasi itu.
Kerajaan Selangor sebelum ini memaklumkan rancangan untuk membina rumah baharu bagi 181 keluarga terjejas, menerusi projek oleh anak syarikat kerajaan negeri. Namun, sehingga kini belum ada tarikh rasmi penempatan semula diumumkan.
Arutchelvan turut mendakwa pemaju bertindak angkuh dan enggan berunding dengan wakil penduduk semasa operasi berlangsung.“Kalau mereka benar-benar adil, bina dulu rumah ganti sebelum roboh. Tapi sekarang rakyat dihalau tanpa jaminan apa-apa,” tegasnya.
Exco Perumahan Selangor, Borhan Aman Shah, belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan bahawa rumah berpenghuni turut dirobohkan.

No comments
Post a Comment