BANGI, 1ZULKAEDAH – Naib Presiden BERJASA, Mohd Khoushaini Mohd Naim menuntut kerajaan memberi penjelasan secara terbuka dan telus berhubung dakwaan bahawa 127.3 hektar kawasan di Pulau Sebatik kini didakwa menjadi milik Indonesia.
Menurut beliau, isu berkaitan kedaulatan wilayah tidak wajar dipandang ringan meskipun kerajaan negeri Sabah sebelum ini menafikan wujud sebarang penyerahan kawasan kepada negara jiran.
“Setiap inci tanah bukan sekadar angka, tetapi melambangkan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi tanpa kefahaman rakyat,” katanya seperti dilapor Gelombang Berjasa.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan atau penyelarasan sempadan negara perlu dimaklumkan kepada umum kerana ia melibatkan soal maruah serta integriti negara.
Dalam masa sama, Khoushaini menjelaskan bahawa Pulau Sebatik merupakan kawasan unik yang telah lama terbahagi antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjadikannya antara kawasan sensitif dari sudut geopolitik.
Rundingan sempadan antara negara jiran, katanya, sememangnya perkara lazim, namun setiap perubahan walaupun kecil perlu dinilai dalam kerangka kepentingan strategik jangka panjang.
Tambahnya, kawasan sempadan bukan hanya melibatkan garis pemisah fizikal, sebaliknya turut membawa implikasi besar terhadap aspek keselamatan, ekonomi serta akses sumber.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dakwaan mengenai keuntungan yang diperoleh negara hasil rundingan perlu disertakan dengan penerangan dasar yang jelas kepada rakyat.
“Tanpa ketelusan, persepsi kehilangan wilayah walaupun kecil boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hubungan baik Malaysia–Indonesia penting untuk kestabilan serantau, namun ia tidak boleh mengorbankan ketegasan negara dalam mempertahankan kedaulatan.
“Negara perlu berani mempertahankan sempadan serta memperkukuh keupayaan dalam pemetaan wilayah, rundingan antarabangsa dan pertahanan,” tegasnya.
Mengulas lebih jauh, beliau berkata isu Pulau Sebatik wajar dijadikan pengajaran bahawa kedaulatan wilayah merupakan asas penting dalam pembinaan negara yang maju.
Dasar keselamatan sempadan, diplomasi strategik dan komunikasi awam perlu diperkukuh agar setiap keputusan berkaitan wilayah difahami rakyat serta mencerminkan ketelusan kerajaan.
“Negara yang berdaulat ialah negara yang jelas sempadannya, tegas mempertahankan haknya dan telus dalam keputusan strategik,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menafikan dakwaan media Indonesia bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada negara jiran itu.
Menurutnya, laporan itu tidak tepat dan tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Isu ini tercetus selepas laporan media Indonesia memetik Ketua Pejabat Staf Presiden negara itu, Muhammad Qodari, sebagai berkata kawasan berkenaan kini disahkan milik Indonesia selepas pemuktamadan penetapan sempadan darat.
Laporan itu turut menyebut penyelesaian berkenaan dicapai menerusi pendekatan diplomasi damai antara Malaysia dan Indonesia bagi memperjelas garis sempadan rasmi di Pulau Sebatik.
Bagaimanapun, pelarasan sempadan tersebut juga dilaporkan melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia, dengan kira-kira 4.9 hektar kawasan dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment