NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FGV didakwa isytihar palsu tanah milik kerajaan Terengganu sebagai aset syarikat

KUALA TERENGGANU, 12 Nov — Kerajaan negeri Terengganu mendakwa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) membuat pengisytiharan palsu kepada Bursa Malaysia apabila menyenaraikan hampir 15,000 hektar tanah milik negeri itu sebagai aset syarikat semasa proses penyenaraian awam pada 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata dakwaan itu bukan bersifat tuduhan rambang, sebaliknya berasaskan dokumen dan data rasmi kerajaan negeri.

“Apabila FGV disenaraikan, mereka mengisytiharkan tanah kita sebagai aset mereka. Sedangkan status tanah itu masih milik kerajaan negeri Terengganu,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Azman, tanah yang dipertikaikan melibatkan 10 ladang komersial Felda di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman, yang sepatutnya memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri tetapi gagal berbuat demikian.

Beliau berkata tiada peneroka ditempatkan di kawasan tersebut, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia sebahagian daripada rancangan penempatan Felda.

“Tanah ini bukan kawasan rancangan peneroka. Tiada penempatan, tiada hasil kepada negeri, tiada perkongsian keuntungan,” katanya.

Azman mendakwa, Felda telah menyerahkan ladang berkenaan kepada FGV pada 2012, namun hak milik kekal di bawah kerajaan negeri, menjadikan pengisytiharan tanah itu sebagai aset FGV tidak sah dan bercanggah dengan peraturan Bursa Malaysia.

Kerajaan negeri kini menuntut bayaran semula 30% daripada keuntungan kasar ladang-ladang terbabit, selain premium dan cukai tanah tertunggak.

“Kita beri tempoh hingga 29 November untuk Felda beri maklum balas rasmi. Jika tiada, kita akan keluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana pencerobohan tanah kerajaan,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan, langkah itu bukan untuk menekan kebajikan peneroka Felda, tetapi bagi mempertahankan hak kerajaan negeri terhadap hasil tanah yang digunakan tanpa penyelesaian sah sejak hampir empat dekad.

“Kita bukan lawan peneroka. Ini soal hak negeri dan hasil rakyat. Nilainya sekitar RM600 juta — bukan jumlah kecil,” tambahnya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo