NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

11 koperasi Pahang antara 100 terbaik Malaysia

KUANTAN – Sebanyak 11 koperasi dari Pahang berjaya menempatkan diri dalam senarai Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun ini, menandakan kekuatan gerakan koperasi negeri itu yang semakin berkembang pesat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata antara koperasi yang berjaya disenaraikan ialah Koperasi Serbaguna Dara Berhad, Koperasi Felda Sungai Koyan 3 Berhad dan Koperasi LKPP Pahang Berhad, yang juga merupakan antara penyumbang zakat terbesar di negeri itu.

“Sumbangan zakat oleh seluruh gerakan koperasi negeri ini dianggarkan sekitar RM5.3 juta,” katanya ketika berucap di Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 di Kuantan, hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan mengurniakan anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik 2025 serta Koperasi Masjid Harapan 2025.

Konvensyen yang menghimpunkan lebih 200 koperasi kariah masjid dari seluruh negara itu dianjurkan oleh KUSKOP dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di bawah tema “Koperasi Memperkasa Ekonomi Ummah, Membina Ekonomi MADANI”.

Di Pahang, terdapat 1,173 koperasi dengan 307,000 ahli, merekodkan perolehan RM980 juta, modal syer RM452 juta, dan aset RM1.7 bilion, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama kepada ekonomi koperasi negara.

Khairul Dzaimee turut memaklumkan bahawa koperasi kariah masjid di seluruh negara kini berjumlah 578 koperasi dengan 47,830 ahli, mencatat perolehan RM30.6 juta dan aset RM41.11 juta setakat ini.

“Angka ini membuktikan koperasi masjid bukan hanya wadah kebajikan, tetapi juga mampu menjadi pemain ekonomi yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti Islam setempat,” katanya.

Beliau menambah, Institut Koperasi Malaysia (IKMA) terus memperkukuh kecekapan tadbir urus dengan melatih hampir 600 pegawai koperasi kariah masjid dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo