Perkara itu, dimaklumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor, ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Kata beliau, bantuan khas yang akan dibayar pada Januari 2026 iaitu menjelang pembukaan sesi persekolahan dan Mac 2026 sempena Aidilfitri sebagai menghargai usaha keras mereka untuk kemajuan negeri.
“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan dalam membangunkan negeri Kedah yang dicintai ini,” kata beliau.
Jelasnya, pemberian bantuan khas itu melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada 5,000 kakitangan awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Dalam pada itu, Sanusi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas sokongan, pandangan bernas, komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Komitmen yang diberikan itu katanya, memastikan tadbir urus yang telus di samping menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Penghargaan yang sama juga saya tujukan khas kepada seluruh jentera Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Kedah.
“Gerak kerja cemerlang anda di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi, adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri,” kata beliau lagi.
Berikutan itu, ujarnya, setiap projek pembangunan terlaksana membolehkan Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat untuk mengubah Kedah daripada negeri Jelapang Padi kepada negeri berpendapatan tinggi dan progresif.
“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran juga adalah kunci kejayaan dalam membangunkan negeri ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penjawat awam di negeri juga akan menikmati kenaikan gaji pada awal 2026 sebanyak tujuh peratus dengan jumlah peruntukan sebanyak RM557.3 juta.
Jelas beliau, sebelum ini kakitangan berkenaan telahpun menikmati kenaikan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember 2024.
Sementara itu ujarnya lagi, sejumlah RM46.65 juta diperuntukkan pada 2026 ini bagi keperluan menyediakan suasana kerja kondusif yang bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja, malah melahirkan budaya kerja sihat serta kolaboratif dalam sesebuah organisasi.
Belanjawan Kedah 2026 juga turut memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi menyediakan kemudahan pejabat kepada para penghulu yang merupakan agen penghubung kerajaan dan rakyat khususnya menyelesaikan isu tempatan.
Katanya juga, sebanyak RM13.84 juta disediakan kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) termasuk tambahan peruntukan baru kepada MKK Kampung Baru dan bayaran elaun kepada Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Baling.
Sumber | HARAKAHDAILY

No comments
Post a Comment