NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekolah dibuka secara berperingkat 3 Oktober Ini



4 SEPT: Satu pelan kecemasan telah disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya berlaku penularan jangkitan wabak COVID-19 di sekolah selepas pembelajaran bersemuka dimulakan pada Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pelan tersebut turut membabitkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dirangka bersama-sama pakar di Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau turut mengesahkan bahawa sekolah juga tidak akan dibuka secara serentak mulai 3 Oktober, sebaliknya secara berperingkat-peringkat dan kini pegawai di KPM juga dalam proses mendapat pandangan pihak berkepentingan di seluruh negara dan memberi taklimat kepada guru serta pentadbir sekolah.

“Kita sedang mengadakan sesi libat urus. Apabila selesai, kita akan duduk balik dengan KKM berdasarkan pandangan dan input yang kita terima. Daripada situ, kita umumkan apa kaedahnya.

“Sekolah tidak akan dibuka serentak. Ia dibuka secara berperingkat atau fasa yang kita aturkan. Kita akan menjelaskan satu persatu. Ini satu pelan yang komprehensif, termasuk SOP baharu akan dilaksana.

“Kita juga ada pelan alternatif, sekiranya berlaku penularan COVID-19 di sekolah. Ia akan dijelaskan nanti,” katanya ketika ditemui media selepas melawat kerja baik pulih ke Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam di Yan Kedah, hari ini.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan guru yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 tetap perlu ke sekolah seperti biasa dan melakukan tugasan kecuali mengajar secara bersemuka, kata Radzi.

Beliau menegaskan akan berhubung sendiri dengan sebahagian daripada guru terbabit bagi mendapatkan kepastian punca mereka tidak divaksin.

“Guru-guru ini hanya tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas, tetapi mereka akan diberi tugas lain di sekolah kerana banyak lagi tugasan yang perlu dilakukan.

“Tindakan dan pendekatan selanjutnya terhadap mereka yang enggan menerima pelalian berkenaan sedang dibincangkan oleh KPM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi memaklumkan keputusan awal itu diambil setelah melakukan perbincangan bersama JPA di Kangar sebelum sebarang keputusan yang lebih teliti akan dilaksanakan.

Tambah beliau, daripada lebih 400,000 guru di negara ini, kira-kira 2,500 yang tidak atau enggan divaksin dan KPM akan terus mengadakan sesi libat urus dengan kumpulan pendidik terbabit.

“Ada dalam kalangan guru berkenan memberi alasan tidak dapat divaksin kerana masalah kesihatan, namun ada juga tidak yakin dengan keberkesanan pelalian berkenaan serta pelbagai alasan lagi.

“Sehingga semalam, sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan 96.7 peratus menerima satu dos vaksin, manakala 73.71 peratus kakitangan perkhidmatan sokongan lengkap menerima dua dos vaksin dan 89.35 peratus lagi menerima satu dos suntikan vaksin.

Sementara itu, Radzi menjelaskan, tindakan KPM melaksanakan proses kaji selidik kepada ibu bapa berkaitan kebenaran pemberian vaksin kepada pelajar adalah bagi mendapatkan gambaran awal berhubung perkara itu, bukannya berbentuk arahan.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo