NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Kekal Tanpa Defisit, Jana Hasil RM261.61 Juta — Simbol Tadbir Urus Cekap

KUALA TERENGGANU | 10 Nov 2025 - Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh apabila berjaya merekodkan RM261.61 juta hasil negeri setakat 31 Oktober 2025, sekali gus mengekalkan rekod tanpa defisit fiskal untuk tahun ini.

Menurut pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman hari ini, jumlah perbelanjaan negeri dicatatkan sebanyak RM1.416 bilion, lebih rendah daripada hasil keseluruhan yang dianggarkan.

Ahmad Samsuri berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa pentadbiran negeri kekal berdisiplin dalam pengurusan fiskal, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan penyusutan hasil minyak.

“Sehingga 31 Oktober lalu, hasil negeri berjumlah RM261.61 juta.
Manakala perbelanjaan adalah RM1.416 bilion — lebih rendah daripada hasil keseluruhan — sekali gus mengelakkan defisit fiskal,” katanya.

Sasaran RM288.59 juta pada 2026

Beliau turut menyatakan sasaran baharu negeri untuk menjana RM288.59 juta hasil pada 2026, dengan 70% daripadanya dijangka datang daripada hasil bukan cukai, termasuk aktiviti pelaburan, tanah dan sektor pelancongan.

“By unlocking our potential, saya percaya hasil negeri mampu melepasi RM300 juta dengan pertumbuhan ekonomi antara 3.4 hingga 4.2 peratus,” katanya optimis.

Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” memberi tumpuan kepada tiga fokus utama — pengukuhan tadbir urus, penstrukturan semula daya tahan ekonomi dan kelestarian sosial.

“Disiplin fiskal jadi asas”

Menurut penganalisis ekonomi tempatan, kejayaan mengekalkan akaun negeri dalam keadaan “surplus” beberapa tahun berturut-turut menunjukkan Terengganu berjaya mengimbangi pembangunan dan tanggungjawab sosial tanpa bergantung sepenuhnya pada hasil petroleum.

Namun, ada juga pandangan bahawa angka lebihan ini perlu diterjemahkan kepada kesan nyata kepada rakyat — termasuk isu pekerjaan, harga rumah dan infrastruktur luar bandar.

Belanjawan kali ini juga menegaskan keutamaan kepada peningkatan hasil sedia ada melalui pemerkasaan jabatan negeri, GLC dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih efisien serta berdaya saing.

Ahmad Samsuri menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa “Terengganu boleh terus maju tanpa bergantung kepada pinjaman luar”, selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera 2030”.

- 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo