NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ramalan Tun M bahawa UMNO terkubur PRU-16 bakal menjadi kenyataan

Wan Agyl Wan Hassan berkata, Umno gagal berkomunikasi dengan akar umbi, manakala menurut Isham Jalil, parti itu akan kehilangan ‘locus standi’ jika terlalu bergantung kepada DAP.



PETALING JAYA: Pemimpin Umno dan penganalisis politik bersetuju dengan ramalan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu mungkin “terkubur” dalam PRU16 jika terus kehilangan sokongan orang Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil berkata, parti itu hanya berjaya meraih sekitar 30% undi Melayu dalam PRK Kemaman baru-baru ini, manakala PAS mendapat 70%.

Isham berkata, Umno kehilangan undi selepas pengundi atas pagar memutuskan untuk menyokong pihak lawan. Tambahan, ramai ahli Umno protes dengan sama ada mengundi calon PAS atau tidak mengundi langsung pada PRK itu.

Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan tidak mampu menang dalam sebarang pilihan raya tanpa sokongan akar umbi, yang semakin lama semakin merosot.

“Selagi kita tak terima kenyataan, tak buat perubahan drastik yang diperlukan, dan kekal butakan mata tentang kekalahan itu, tak mustahil apa yang diramalkan Mahathir itu akan berlaku dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya kepada FMT.

Isham berkata, Umno akan kehilangan “locus standi” untuk memperjuangkan agenda Melayu jika terlalu bergantung kepada sokongan DAP untuk menang dalam pilihan raya.

Pada Isnin, Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata, kemenangan besar PAS di Kemaman membuktikan sokongan untuk Umno sudah semakin merosot. Katanya, kekalahan itu sebahagian besarnya disebabkan kerjasama parti berkenaan dengan DAP.

PAS mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 37,000 undi, iaitu peningkatan 10,000 berbanding majoriti diperoleh pada PRU lepas.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia menyifatkan penilaian Mahathir sebagai tepat, malah katanya, sokongan untuk Umno merosot dengan mendadak sejak PRU15.

“Malah di kawasan kubu kuat yang berjaya dipertahankan Umno, seperti Pelangai di Pahang, kemenangannya (pada PRK) disokong kuat oleh pengundi bukan Melayu Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Pengerusi Tetap Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan yang senada dengan Mahathir berkata, trend menurun itu pada asasnya akibat kegagalan dari segi komunikasi.

Menurut Wan Agyl, pemimpin Umno “terlalu teruja” dengan perikatan bersama PH sehingga gagal menjelaskan kepada akar umbi parti mengenai kedudukannya dalam kerajaan perpaduan, dan hubungannya bersama seteru lamanya, DAP.

Katanya, ahli akar umbi tidak dapat menutup mata terhadap perbezaan ketara antara Umno dan DAP, selain mengapa ia mesra dengan parti yang pernah dikutuknya dahulu.

“Walaupun Umno sebahagian daripada kerajaan perpaduan, kita perlu sedar bahawa Umno perlu mengekalkan kedudukan (sebagai suara Melayu dalam Jemaah Menteri).

“Adakah kita perlu ketepikan semua perbezaan antara kita sekelip mata, semata-mata (kerana) mahu bentuk kerajaan perpaduan? Ini salah sama sekali,” katanya.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, melainkan kepimpinan semasa Umno ditukar, orang Melayu akan terus menolak parti itu, dan lebih ramai ahlinya akan menyokong Perikatan Nasional (PN) semata-mata kerana sakit hati dengan presiden, Zahid Hamidi.

Katanya, pengundi Melayu menyokong PN disebabkan perikatan Umno dengan PH, khususnya DAP.

“Tetapi saya fikir sukar (untuk parti tukar kepimpinan); mereka dalam dilema. Dari satu sudut, mereka mahu tarik sokongan Melayu, namun dari sudut lain, mereka mahu bekerjasama dengan PH,” katanya.

Jeniri berkata, Umno perlu memutuskan apa yang lebih penting – kekal berkuasa menerusi kerjasama dengan PH, atau meraih semula sokongan Melayu walaupun terpaksa mengorbankan kedudukan dalam kerajaan.


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo