NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Perangi Najis Dadah Demi Kesejahteraan Sosial – Dr Riduan

KUALA TERENGGANU, 11 Nov – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melestarikan kesejahteraan sosial rakyat dengan menjadikan usaha membasmi penyalahgunaan dadah sebagai keutamaan utama dalam agenda pembangunan insan dan sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor, berkata langkah itu selari dengan intipati Ucapan Bajet 2026 oleh Menteri Besar yang menekankan aspek melestarikan keperluan sosial sebagai tunjang kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Isu dadah bukan fenomena baharu. Ia diwarisi sejak zaman kolonial apabila British menghalalkan opium pada tahun 1826. Kini, cabarannya lebih kompleks dengan wujudnya dadah sintetik dan penyalahgunaan vape,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, walaupun Terengganu diiktiraf sebagai negeri paling bahagia dan berbudaya tinggi, ancaman najis dadah terus menular terutama dalam kalangan remaja di kawasan luar bandar, termasuk di daerah Kuala Nerus dan Besut yang mencatat jumlah penagih tertinggi.

Dr Riduan berkata, berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 12,004 penagih dadah direkodkan di Terengganu pada tahun 2024, manakala penggunaan vape kini dikenal pasti sebagai pintu masuk baharu kepada penagihan dadah sintetik.

“Vape yang dicampur dengan bahan seperti ganja sintetik dan ‘magic mushroom’ menyebabkan ketagihan lebih parah. Ia turut dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti sawan, darah beku, kegagalan pernafasan dan kanser,” ujarnya.

Beliau memuji langkah berani kerajaan negeri menghentikan penjualan vape secara berperingkat sejak 2018 meskipun menerima tentangan hebat daripada pengusaha industri berkenaan.

“Keputusan ini dibuat atas dasar menjaga kemaslahatan rakyat dan masa depan generasi muda. Langkah ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesihatan awam dan nilai moral masyarakat,” katanya.

Dr Riduan turut mencadangkan agar kempen antidadah berskala besar dilancarkan pada tahun 2026 dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk PDRM, AADK, PEMADAM, NGO, serta Pejabat Khidmat Masyarakat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan perlu tegas melindungi generasi muda sebagai pewaris bangsa daripada budaya hedonisme dan gaya hidup songsang yang melemahkan jatidiri Muslim. Hanya dengan integriti, iltizam politik yang tinggi, dan kerjasama semua pihak, kita mampu menjadikan Terengganu negeri bebas dadah dan berkat,” tegasnya.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo