Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim, berkata pertikaian berkenaan sudah berlarutan lebih 40 tahun, melibatkan tanah milik kerajaan negeri yang diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian hasil.
“Tanah yang terlibat meliputi 10 ladang milik FGV Holdings Berhad dan tidak membabitkan tanah rancangan peneroka.
“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penyelesaian melalui mekanisme perkongsian keuntungan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, hari ini.
Dr. Azman turut menjelaskan bahawa Terengganu telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Felda, namun tiada penyelesaian konkrit dicapai setakat ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri menuntut keadilan sama seperti yang telah diterima oleh kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Sabah, yang masing-masing sudah memperoleh hasil perkongsian keuntungan daripada tanah milik negeri yang diusahakan Felda.
“Kita tidak menuntut sesuatu yang luar biasa, cuma mahu hak negeri diiktiraf sebagaimana negeri-negeri lain,” tegasnya.
Tindakan menyita tanah hanya akan diambil sekiranya Felda gagal memberikan komitmen jelas sebelum tarikh akhir ditetapkan.
Isu ini dijangka menjadi antara perbincangan utama dalam hubungan antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan menjelang hujung tahun, dengan implikasi besar terhadap operasi Felda di pantai timur.

No comments
Post a Comment