Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amanah tolak MN kerana sudah dalam kerajaan, kata Mahfuz

Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata tiada sebab untuk parti itu merungkai perjanjian kerjasama PH-Amanah dimeterai sejak sekian lama. 



PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah menegaskan parti itu tidak akan menyertai Muafakat Nasional (MN) kerana enggan menjatuhkan kerajaan seperti dilakukan komponen itu terhadap Pakatan Harapan (PH), merujuk kepada Langkah Sheraton pada 2020.

Naib Presiden Mahfuz Omar berkata kerjasama itu juga tidak perlu kerana PAS, antara pelopor MN telah menolak muafakat perpaduan bagi membentuk pentadbiran Putrajaya selepas PRU15.

“Untuk apa Amanah menyertai kalau untuk meruntuhkan sebuah kerajaan yang akhirnya merosakkan negara telah kita bina selama ini.

“Usaha PAS ini tidak berubah dan hanya semata-mata ingin merampas kuasa kerajaan mahupun porak-perandakan negara kita,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dalam podcast Keluar Sekejap semalam yang terbuka “menghidupkan semula” MN menerusi kerjasama politik antara parti berasaskan Melayu termasuk serpihannya, Amanah.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda turut senada dengan Mahfuz dengan menganggap MN tidak relevan pada masa ini memandangkan telah ada model kerajaan perpaduan dalam menjaga kepentingan orang Melayu-Islam.

“Tiada keperluan untuk Amanah sertai MN. Kerajaan Perpaduan terbukti lebih stabil dan kukuh berbanding MN yang rapuh dan mudah terburai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Mujahid Yusof Rawa pula berpendapat setakat ini tiada sebab untuk mereka merungkaikan perjanjian PH-Amanah yang dimeterai sekian lama.

“Sepatutnya MN bersedia mengukuhkan kedudukan negara hari ini dan bersama kerajaan perpaduan dalam apa jua bentuk dikira sesuai.

“Kestabilan politik adalah penting seperti mana yang ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam titah diraja baru-baru ini,” katanya.

Sebelum kenyataan Samsuri itu, Mursyidul Am Hashim Jasin pada 14 Feb lalu berkata “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan partinya dengan Umno bagi menghidupkan MN, digagaskan ketika kedua-duanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14.

Kenyataan Hashim bagaimanapun dibidas Presiden Umno Zahid Hamidi dengan berkata, PAS tidak ikhlas menawarkan kerjasama menghidupkan semula MN yang ‘terkubur’ pada 2022 menjelang PRU15.

Pada 22 Dis tahun lalu, Naib Presiden Amanah Adly Zahari dipetik berkata parti itu tidak melihat PAS sebagai musuh dan mengalu-alukan penyertaan dalam kerajaan perpaduan.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bazar Ramadan mahal? Menteri kata ‘masih ada yang murah, pilihan di tangan pengguna’

Dalam tempoh dua hari Ops Pantau di bazar Ramadan sebanyak 3,009 premis diperiksa dan 11 kes dibuka siasatan.


KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, menasihatkan orang ramai menggunakan hak mereka dalam memilih harga berpatutan ketika membeli di bazar Ramadan.

Beliau berkata demikian selepas tular beberapa barangan di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang dijual dengan mahal.

“Satu kes di bazar Ramadan TTDI apabila buat pemantauan memang ada harga karipap tinggi. Namun, akhirnya balik kepada pengguna untuk buat pilihan kerana di bazar TTDI masih ada karipap dijual harga jauh lebih rendah,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu status Ops Pantau di bazar Ramadan seluruh negara selepas mendapati ada penjual yang menaikkan harga barangan.

Dalam pada itu, Armizan meminta orang ramai membuat aduan yang spesifik supaya pemeriksaan di lokasi dinyatakan dapat dijalankan.

Katanya, tindakan itu lebih baik daripada menularkan harga barangan tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh dua hari Ops Pantau sebanyak 3,009 pemeriksaan premis dijalankan dan 11 kes dibuka siasatan.

“Enam kes melibatkan pencatutan. Kita keluarkan notis peniaga tersebut untuk menjawab beri maklum balas tentang harga ditawarkan,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Basmi miskin tegar bukan maksud tiada kemiskinan, kata Rafizi

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM1,169, manakala mereka yang berada dalam kemiskinan mutlak berpendapatan kurang RM2,208.


KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pembasmian kemiskinan tegar bukanlah bermaksud kemiskinan dihapuskan sepenuhnya di negara ini.

Bagi kerajaan, katanya, “penoktahan” kemiskinan bermakna mengeluarkan sejumlah keluarga miskin tegar yang dilaporkan setiap tahun daripada keadaan kemiskinan mereka.

“Contohnya untuk 2022, dilaporkan secara rasmi terdapat 18,445 keluarga miskin tegar di seluruh negara,” katanya dalam Dewan Rakyat.

“Maka program kerajaan yang dipantau secara rasmi menunjukkan bahawa 18,445 keluarga itu telah dikeluarkan (daripada keadaan kemiskinan).”

Beliau berkata, laporan rasmi mencatatkan bilangan miskin tegar pada setiap tahun menjadi sasaran inisiatif kerajaan bertujuan membasmi kemiskinan, memandangkan garis kemiskinan tegar berubah dari tahun ke tahun.

“Kalau ada 20,000 (miskin tegar), 20,000 yang dikeluarkan (daripada keadaan kemiskinan). Kalau ada 40,000, (maka) 40,000 dikeluarkan,” katanya.

“Menoktahkan kemiskinan tegar bukan bermakna (sudah) tidak ada yang miskin dalam sesebuah negara, kerana kemiskinan itu adalah relatif. Kalau macam itu, tak payah ada kerajaan, tak payah ada zakat.”

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM1,169, manakala mereka yang berada dalam kemiskinan mutlak berpendapatan kurang RM2,208.

Rafizi menjawab soalan tambahan Ismail Muttalib (PN-Maran) mengenai sama ada janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membasmi kemiskinan tegar adalah sekadar “gula-gula” untuk menaikkan semangat masyarakat.

Pada Jun tahun lepas, Anwar berkata, beliau mahu seluruh jentera kerajaan bekerjasama menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2023.

Beliau mengulangi ikrar kerajaan itu pada 11 Sept ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengaku dalam Dewan Rakyat bahawa setakat 15 Ogos, kerajaan “masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan”.

Rafizi sebelum ini berkata, Pangkalan Data Utama (Padu) akan meningkatkan keupayaan kerajaan untuk mengukur dengan tepat status sosioekonomi penduduk dan mengurangkan jurang berkaitan dengan pendapatan boleh guna.

Sementara itu, Rafizi berkata, kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2% atau enam kali ganda berbanding kadar nasional 0.2%.

Katanya, Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah Sabah lebih tinggi daripada kadar nasional, dengan Tongod mencatat kadar tertinggi 5.9%.

“Ia diikuti Beluran 5%, Pitas (4.8%), Kinabatangan (4.6%), Kota Marudu (4%), Tuaran (2.6%) serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4%,” katanya menjawab soalan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung jumlah keseluruhan miskin tegar di Malaysia dan lapan daerah di Sabah.

Menurutnya, jurang perbezaan itu agak besar memandangkan kadar kemiskinan tegar seluruh negara berkurangan daripada 1% pada 2020 kepada 0.2% bersamaan 18,445 isi rumah pada 2022.

Beliau berkata, tumpuan di Sabah ketika ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pertanian bersepadu, misalnya projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan).

Ketika ini, katanya, kerajaan Sabah sangat terkedepan dalam memberikan tanah untuk diusahakan, dengan 390 keluarga miskin tegar mengusahakan 203.96 hektar tanah di lapan daerah dengan menanam nanas, cili fertigasi, jagung dan kacang soya.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kerajaan bercadang untuk pajak aset pengangkutan

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan kaedah pajakan bagi memaksimumkan jangka hayat aset pengangkutan. 


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan model baharu dengan mengguna pakai kaedah pajakan terhadap mana-mana produk, aset dan perkhidmatan pengangkutan seperti tren bagi memaksimumkan jangka hayatnya.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata menerusi kaedah itu kerajaan tidak lagi memfokuskan kepada usaha membeli aset baharu, sebaliknya menggunakan kaedah yang membolehkan pihak melakukan pajakan turut bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan.

“Tak perlu kita beli aset baharu, tapi kita pajak produk dan kemudahan itu sebab banyak sektor pengangkutan terutama syarikat penerbangan, mereka tidak beli pesawat mereka pajak pesawat itu.

“Kalau kita pajak ia juga merangkumi proses penyelenggaraan supaya pihak yang pajak aset itu mereka juga bertanggungjawab untuk pastikan aset dapat digunakan secara maksimum sepanjang masa termasuk penyelenggaraan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung perancangan Kementerian Pengangkutan dalam menguruskan isu penyelenggaraan tren yang dianggarkan menelan kos lebih kurang RM250 juta supaya tidak berlaku masalah teknikal sepanjang musim perayaan.

Loke yang mengakui isu penyelenggaraan sebagai isu besar dalam perkhidmatan kereta api bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi melihat kesesuaian model itu dalam memaksimumkan perkhidmatan pengangkutan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung stesen tambahan di sepanjang Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, Loke berkata pihaknya menggalakkan usaha perkongsian awam-persendirian dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Iaitu stesen ini tidak semestinya dibina kerajaan, umpamanya di sekitar stesen itu jika ada pembangunan perumahan antara perkara kita boleh laksanakan sebelum luluskan rancangan pembangunan ialah mewajibkan pemaju bina stesen tambahan dengan kosnya kepada mereka (swasta),” katanya.

Beliau berkata sekiranya pemaju sanggup mengeluarkan kos bagi pembinaan stesen tambahan yang menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen berkenaan, langkah itu dilihat boleh meningkatkan nilai pembangunan dan hartanah di kawasan pemaju.

Menjawab soalan asal Wong berhubung bilakah Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru disiapkan sepenuhnya, Loke berkata projek sepanjang 192 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 April 2025.

Beliau berkata KTMB mempunyai perancangan memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan bagi laluan Gemas-Paloh-Johor Bahru.

Menurutnya MOT menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Peguam negara digesa nasihat Kelantan jangan gubal semula peruntukan syariah

Awal bulan ini, DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul untuk menggubal semula 16 peruntukan dalam enakmen syariahnya yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.


PETALING JAYA: Peguam negara harus menasihati kerajaan Kelantan bahawa tindakannya menggubal semula 16 peruntukan syariah yang terbatal adalah bercanggah dengan perlembagaan dan tidak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, kata sebuah majlis rundingan antara agama.

Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) berkata, langkah itu mencabar kedaulatan undang-undang, menimbulkan ancaman serius terhadap demokrasi dan boleh menggugat kestabilan negara.

“MCCBCHST menggesa kerajaan Kelantan agar menghormati dan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina (Nik Abdul Rashid) yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, dan tidak menggubal semula peruntukan yang dibatalkan itu,” kata MCCBCHST dalam kenyataan.

“Peguam negara, yang menjaga kepentingan awam, kedaulatan undang-undang, dan pelindung perlembagaan, harus menasihati kerajaan Kelantan agar tidak mengambil sebarang tindakan menggubal semula peruntukan-peruntukan terbabit.”

Majlis itu juga berkata, memandangkan Mahkamah Persekutuan telah membatalkan 16 peruntukan itu, sebarang penggubalan semula peruntukan tersebut juga akan terbatal.

“Badan perundangan Kelantan mesti sedar bahawa ia terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Dalam keputusan majoriti 8-1 Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, DUN tidak mempunyai kuasa meluluskan 16 peruntukan itu sebagai sebahagian daripada enakmen, kerana kesalahan terbabit terangkum bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli tidak bersetuju, berpendapat bahawa cabaran perlembagaan yang dikemukakan oleh peguam Nik Elin Zurina, dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman menyalahgunakan proses mahkamah.


Sumber | FMT Malaysia 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Trend wanita hisap vape meningkat, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata trend wanita menghisap vape meningkat dari 2.8% pada 2017 kepada 6.2% pada 2022.


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati penggunaan vape atau rokok elektronik menampakkan trend peningkatan termasuk dalam kalangan wanita, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata perkara itu dikesan berdasarkan kajian komprehensif yang dijalankan KKM ketika ini, dan kajian itu turut menyediakan data prevalen antaranya mengenai penggunaan vape.

“Data prevalen itu memang menunjukkan berlaku peningkatan prevalen tentang penggunaan vape, terutamanya memandangkan vape ini dianggapkan satu produk yang semakin kuat dipromosikan oleh pihak industri.

“Prevalen kami turut mengesan berlaku peningkatan penggemar vape dalam kalangan wanita. Data pada 2017, prevalen adalah 2.8% dan pada 2022, prevalen menunjukkan peningkatan 6.2%,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang ingin tahu perancangan kerajaan menambah baik program advokasi untuk membendung trend merokok dan vape, serta sama ada KKM telah menjalankan kajian komprehensif mengenai pencetus tabiat merokok atau vape.

Mengulas mengenai langkah atau promosi dipergiatkan kerajaan dalam membendung aktiviti merokok dan vape, Lukanisman berkata kerajaan bercadang untuk mewujudkan ‘plan packaging’ bagi dikuatkuasakan sebagai standard penjualan produk rokok dan vape.

“(Contohnya) spesifikasi vape yang dikeluarkan oleh KKM seperti bentuk yang boleh dijual oleh pihak industri dan juga promosi-promosi (bendung aktiviti merokok dan vape) akan bermula dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melalui promosi kesedaran di peringkat awal pendidikan sehingga kanak-kanak dapat menolak aktiviti merokok dan vape ini,” katanya.

Sementara itu Lukanisman berkata KKM telah melaksanakan 129 libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan dasar-dasar penguatkuasaan bersesuaian untuk membendung aktiviti merokok di kawasan terbuka.

“Itu adalah salah satu langkah dilakukan KKM… selain itu, KKM akan melaksanakan penguatkuasaan sekerap mungkin dengan bekerjasama dengan PBT untuk bantu mengekang masalah merokok di kawasan terbuka,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu mekanisme terbaik pelaporan orang awam terhadap individu yang dilihat merokok di kawasan larangan.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kos bahan binaan meningkat, harga hartanah dijangka terus naik

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Ng Tong berkata kos pembinaan dijangka menokok sebanyak purata 15% pada separuh pertama 2024 sekali gus menjejaskan harga pasaran hartanah.


PETALING JAYA: Harga hartanah Malaysia dijangka terus naik secara ketara bagi separuh pertama 2024 berikutan peningkatan kos bahan binaan, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Presiden Rehda Nk Tong ketika mengulas mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda separuh kedua 2023 dan Unjuran Pasaran 2024 berkata, harga bahan binaan terus meningkat selepas pemaju melaporkan lebih 10% kenaikan tahunan dalam harga purata bagi pasir dan konkrit menjelang akhir Dis 2023.

“Ini bermakna kos pembinaan dijangka menokok sebanyak purata 15% pada separuh pertama 2024,” katanya dalam taklimat media.

Tong menjelaskan lagi, 91% daripada responden kaji selidik berpendapat 2023 menyaksikan harga bahan binaan mula memuncak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Akhirnya, kenaikan bahan binaan bermakna kos pembinaan akan menjadi mahal.

“Kami berharap isu ini akan dapat ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri akan memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terbeban dengan kenaikan itu,” katanya.

Sementara itu, Tong berkata peserta pasaran hartanah kekal neutral terhadap prospek perniagaan serta industri hartanah untuk separuh pertama 2024 tetapi lebih optimistik tentang pasaran pada separuh kedua 2024.

“Ini boleh difahami dengan mengambil kira cabaran industri tetapi keyakinan yang lebih tinggi untuk separuh kedua tahun ini menunjukkan bahawa responden dan pemaju pada umumnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik,” tambahnya lagi.

Tong ketika mengulas mengenai cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar, menempelak dakwaan bahawa ianya akan membolehkan pemaju merampas tanah untuk mendapatkan keuntungan adalah sesuatu yang salah sama sekali.

Beliau berkata sebagai pemaju yang bertanggungjawab, ahli Rehda mempunyai banyak opsyen untuk memperoleh tanah pembangunan di tempat lain, yang boleh dibangunkan dengan mudah berbanding dengan membangunkan semula bangunan sedia ada.

“Bagaimanapun, sebagai inisiatif strategik, Rehda Malaysia memuji Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melalui Menteri, untuk terus meningkatkan fabrik perbandaran bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dan menarik di seluruh dunia untuk manfaat rakyat.

“Kami sedang menunggu lebih banyak butiran khusus untuk akhirnya, melibatkan KPKT tetapi kami percaya mereka juga telah mengkaji dengan teliti model yang sama di rantau ini yang telah beroperasi dengan baik selama beberapa dekad,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo