Pertandingan 4 penjuru di PRK Semenyih


SEMENYIH, 11 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas.

PH yang dalam misi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu, meletakkan jurutera muda yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali, 30 tahun.

BN mempertaruhkan Zakaria Hanafi, 58, pengerusi tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, manakala PSM diwakili Anggota Jawatankuasa Pemuda Pusat parti, Nik Aziz Afiq Abdul, 25.

Turut mencuba nasib sebagai calon Bebas ialah aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar, pada jam 10.25 pagi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang, kira-kira 12 kilometer dari pekan Semenyih.

Proses pencalonan yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.

Dalam pengumumannya, Mohd Sayuthi berkata, beliau berpuas hati dengan kertas pencalonan yang diserahkan dan tiada calon yang ditolak.

Mohd Sayuthi berkata, borang pencalonan Muhammad Aiman diserahkan pada 9.03 pagi, Zakaria berbuat demikian pada 9.05 pagi, manakala Nik Aziz Afiq dan Kuan masing-masing pada 9.10 pagi.

Terdahulu, pemimpin dan penyokong parti berkumpul seawal 7 pagi untuk memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Muhammad Aiman tiba di pusat penamaan calon pada kira-kira 8.45 pagi diiringi kepimpinan tertinggi PH antaranya Timbalan Presiden PH dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi PH Selangor merangkap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Calon BN Zakaria yang tiba pada 9 pagi menerima sokongan moral daripada pemimpin BN dan PAS antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Calon PSM Nik Aziz Afiq pula tiba di pusat penamaan pada 8.57 pagi dan Kuan pada 9.06 pagi.

Pemimpin PH dan BN turut kelihatan bertegur sapa, sementara menunggu proses penamaan calon selesai.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 pada Mei tahun lalu – yang pertama di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, menewaskan tiga calon lain – Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM), dengan majoriti 8,964 undi. Bakhtiar memperoleh 23,428 undi. – Bernama
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget