NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPM tegas kekalkan tarikh umum keputusan SPM



PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kecewa apabila rayuan perubahan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak didengar Kementerian Pendidikan (KPM).

Semalam, NUTP mencadangkan pengumuman keputusan ditetapkan pada 27 Mei diawalkan ke 23 Mei, sebelum cuti sekolah bermula 25 Mei ini memandangkan kebanyakan guru berada di kampung halaman atau merancang percutian bersama keluarga ketika itu.

Bagaimanapun, hari ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengekalkan tarikh pengumuman itu sebagaimana ditetapkan.

Katanya, pemilihan tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, sebaliknya bagi memastikan pelajar lepasan SPM mempunyai masa mencukupi membuat persiapan permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT).

Bercakap kepada FMT, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata keputusan itu seolah-olah ‘terlepas pandang’ aspek kebajikan guru memandangkan penetapan tarikh turut tidak diumumkan lebih awal bagi memudahkan perancangan perjalanan dan sebagainya.

Katanya, maklum balas Fadhlina yang mengekalkan tarikh pengumuman keputusan itu mengecewakan warga guru dan pihaknya sekali lagi merayu KPM mempertimbangkan semula supaya ia dibuat di luar waktu cuti sekolah.

“Kalau 23 Mei pun masih menjadi masalah kepada kementerian, mereka boleh cuba menundakan hingga waktu buka sekolah, iaitu minggu berikutnya supaya tidak timbulkan masalah kepada guru. Cuti seminggu sahaja, bukan lama pun.

“Jadi ini adalah untuk tidak timbulkan masalah kepada guru. Kita nak perkasa kesejahteraan guru,” katanya.

Terdahulu, KPM dilaporkan berkata calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan dari sekolah masing-masing bermula 10 pagi 27 Mei ini.

Calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan dalam talian untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun ini.

Seramai 395,870 calon berdaftar menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara mulai 5 Dis hingga 7 Mac lalu.



Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo