NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerakan yakin pengundi India ‘kalih’ ke PN

Badan pemikir Ilham Centre berkata undi masyarakat India menjadi rebutan calon bertanding dengan isu berkait kepentingan dan kebajikan masyarakat itu menjadi fokus kempen.


HULU SELANGOR: Seorang pemimpin Gerakan yakin pengundi kaum India di DUN Kuala Kubu Baharu akan memilih Perikatan Nasional (PN) pada hari penentuan esok.

Naib Presiden Gerakan, G Parameswaran, berkata antara kawasan sebelum ini ‘hitam’ bagi PN, kini menunjukkan tanda peralihan – merujuk komuniti India di kawasan pekan iaitu Batang Kali dan Kerling, yang sebelum ini pendeposit terbesar Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia terbukti apabila beberapa kempen dilakukan PN termasuk ceramah mega dihadiri Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di beberapa lokasi termasuk ‘kubu PH’ dihadiri pengundi khususnya masyarakat India.

Parameswaran, yang mengetuai Gerakan berkempen di kawasan majoriti pengundi India seperti Kerling dan Rasa mendapati kaum itu tidak menunjukkan minat terhadap calon luar, menjadikan PN mempunyai kelebihan apabila menampilkan anak tempatan, Khairul Azhari Saut sebagai taruhan.

“Nampak mereka begitu teruja untuk ‘kalih’ undi kepada kita…kebanyakan pengundi kecewa dengan prestasi PH yang gagal membela nasib kaum India di sini termasuk ramai daripada mereka masih bergelut untuk memiliki rumah.

“Pengumuman dalam beberapa isu termasuk penempatan 245 keluarga peneroka estet getah juga diragui kerana mengapa waktu berkempen baru nak umum?

“Isu ini sudah berlarutan lebih 25 tahun, kerajaan negeri juga sudah mentadbir Selangor sejak 2008. Itu yang pengundi tertanya-tanya adakah pengumuman itu hanya gula-gula PRK?,” katanya kepada FMT, pada hari terakhir kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Parameswaran berkata, dakwaan pemimpin PH Selangor V Papparaidu bahawa 15% pengundi India akan menyokong PH hanya sekadar mahu ‘memujuk hati’ selepas melihat gelombang peralihan masyarakat itu kepada PN.

“18% pengundi India akan menjadi ‘kingmaker’ (pembuat keputusan) dalam perlawanan ini…kita yakin,” katanya.

Semalam, Papparaidu yang juga exco sumber manusia, pembasmian kemiskinan, hal ehwal orang asal dan minoriti Selangor, memberi jaminan pengundi India tidak akan memboikot PRK Kuala Kubu Baharu.

Malah, beliau yakin 15% pengundi India di kawasan itu akan menyokong parti kerajaan perpaduan kerana isu utama membelenggu mereka terutama penempatan sudah selesai.

Seramai 40,226 pemilih layak mengundi pada PRK esok dengan pecahan Melayu (46%), Cina (30%), India (18%) dan lain-lain (5%).

Pengundi India ‘kingmaker’

Sementara itu, badan pemikir Ilham Centre berkata undi masyarakat India menjadi rebutan calon bertanding dengan isu berkait kepentingan dan kebajikan masyarakat tersebut menjadi fokus kempen.

Katanya, ini kerana, walaupun berbekalkan hanya 18% undi dalam keadaan etnik Melayu tersudut kepada PN sementara pengundi Cina berpihak kepada PH, pola pengundian masyarakat India mampu menjadi penentu kemenangan parti bertanding.

“Awal kempen bermula panas kerana pemimpin mewakili komuniti India yang tidak bersama kerajaan muncul sama ada atas bentuk parti, NGO atau kapasiti individu, menggesa pengundi India memboikot PRK atau mengundi calon selain calon PH sebagai isyarat protes.

“Ini bagi menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan hari ini yang seakan mengabaikan kebajikan masyarakat India. Tiadanya kepimpinan India dalam Kabinet juga dipersoalkan,” menurut laporan pola pengundi dan prediksi PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung esok.

Bagaimanapun, Ilham Centre berkata pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan isu perumahan melibatkan bekas pekerja di lima ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak di Hulu Selangor baru-baru ini dilihat sedikit meredakan keadaan.

“Penduduk yang ditawarkan penyelesaian ini nampaknya masih meletak kepercayaan kepada kerajaan sekali gus membayangkan ke mana arah undi mereka esok,” menurut laporan itu.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo