NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GERAKAN belum putuskan untuk bertanding PRK Semenyih




GEORGETOWN: GERAKAN belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor atau sebaliknya.

Presidennya, Datuk Dominic Lau, berkata GERAKAN sebaliknya akan bermesyuarat terlebih dahulu bagi meneliti peluang dan kesediaan parti itu untuk bertanding pada PRK DUN Semenyih.

"GERAKAN bukan lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) dan kita boleh buat keputusan bila-bila masa, termasuk untuk mengumumkan calon yang bertanding pada PRK DUN Semenyih pada saat akhir.

"Bagaimanapun, kita akan umumkan (keputusan untuk bertanding atau tidak pada PRK DUN Semenyih) sebelum tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 16 Februari ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Isnin lalu, Dominic memberi bayangan bahawa GERAKAN mungkin bertanding pada PRK DUN Semenyih, selain sudah menubuhkan jentera parti untuk meneliti maklum balas pengundi di kawasan berkenaan.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan susulan penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Dalam pada itu, Dominic berkata, kriteria calon yang akan diletakkan bagi mewakili GERAKAN di kawasan berkenaan bukan isu utama dalam menentukan keputusan sama ada parti itu bertanding pada PRK DUN Semenyih.

"Sebaliknya, isu utama yang perlu dipertimbangkan sama ada GERAKAN sudah bersedia untuk menghadapi PRK ini. Ia kerana fokus utama kita adalah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

"Kita juga menumpukan usaha untuk menyatupadukan semula ahli parti. Malah, jentera dan calon perlu kuat dan semuanya memerlukan persiapan rapi. Bagaimanapun, kita akan dengar pandangan akar umbi, sebelum memuktamadkan keputusan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo