NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label GERAKAN. Show all posts
Showing posts with label GERAKAN. Show all posts

Gerakan Perlu Nyatakan Pendirian Berhubung Kenyataan Timbalan Presiden

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) diminta menyatakan pendirian rasmi berhubung kenyataan Timbalan Presidennya, Oh Teong Keong, yang mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu-Islam di negara ini. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, menegaskan bahawa ini bukan kali pertama Oh Teong Keong mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Gerakan perlu menyatakan sikap secara rasmi adakah kenyataan Oh Teong Keong, Timbalan Presiden Gerakan yang mempersoal kedudukan istimewa orang Melayu-Islam adalah 'restu' daripada Gerakan? Bukan kali pertama makhluk ini menyatakan sikap sebegini, dan saya mengecam keras kenyataan yang sangat biadab daripada manusia seperti ini yang begitu terdesak mahu mendapat sokongan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap isu berkenaan, walaupun Gerakan adalah sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

"Gerakan daripada PN? Jadi? Adakah ia lesen untuk manusia ini bercakap dan menyentuh soal dan isu Melayu Islam? Jika tiada kenyataan rasmi daripada Gerakan terhadap isu ini, percayalah kami semua tidak akan berdiam diri," tegasnya.

Kenyataan Oh Teong Keong yang dipersoalkan berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu-Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153 yang memperuntukkan hak-hak istimewa bagi orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, pendidikan, dan ekonomi.

Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada pihak Gerakan mengenai perkara ini. - 1Media.my


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

DAP tidak faham prinsip PN - Dr Dominic Lau

GEORGE TOWN: Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau menyifatkan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari tidak memahami prinsip sebenar perjuangan Perikatan Nasional (PN) apabila mendakwa parti itu bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis.

Dominic berkata, Zairil perlu melihat semula video-video kempen PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang banyak menekankan perjuangan PN yang berpegang pada prinsip bersih dan stabil serta tidak dipengaruhi unsur rasuah.

“Zairil tidak faham apa itu prinsip PN, PN adalah bersih dan stabil. Jadi saya minta Zairil lihat dahulu video-video kempen PN ketika PRU-15, di situ dia boleh tahu apa slogan PN,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang di sini hari ini.

Dominic mengulas mengenai kenyataan Zairil hari ini yang mendakwa Gerakan rela bersekongkol dengan wadah politik perkauman ekstremis yang dibawa oleh PN demi untuk kekal dalam politik negara.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, Zairil sepatutnya melihat dahulu politik DAP yang pada masa ini bergabung dengan UMNO demi untuk berkuasa.

”Ketika PRU-15, DAP yang mengatakan Barisan Nasional (BN) parti yang rasuah, tidak ada integriti, namun sekarang sudah jadi hakikat parti yang rasuah kini menjadi kerajaan bersama mereka.

”Jadi siapa yang lebih teruk, jika mahu kutuk orang lain, kutuk diri sendiri dahulu. Dulu kutuk UMNO sekarang DAP bersama UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang membantah promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah, Dominic berkata, Muhammad Fawwaz bertindak sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu.

”Saya telah berhubung dengan Muhammad Fawwaz dan dia telah memberi penjelasan berhubung perkara ini, bagi saya penjelasan yang diberikan adalah adil,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, Gerakan berpendapat promosi penjualan arak mesti dibenarkan kerana hanya dilaksanakan pada masa jangka pendek iaitu semasa Tahun Baharu Cina.

”Jika promosi sebegini diadakan pada bulan Ramadan, saya sendiri akan katakan ia tidak betul, namun ia diadakan sempena Tahun Baharu Cina dan untuk yang bukan Islam.

”Berilah peluang untuk jurujual mencari pendapatan lebih menerusi jualan ini yang hanya dilakukan pada Tahun Baharu Cina,” katanya. – UTUSAN

Tuduhan perkauman palsu terhadap Perikatan Nasional, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

SEORANG Youtuber diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan provokasi dan tuduhan palsu berbaur perkauman terhadap Perikatan Nasional (PN).

Menurut Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, Youtuber yang menggunakan nama Cleo Hoo itu didakwa memuat naik satu video berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama melampau dengan tuduhan palsu Khamis lalu, sehari selepas PN memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Beliau berkata, video berbahasa Cina itu antaranya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dengan mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan orang bukan Islam perlu menukar agama kepada Islam jika PN memerintah negara.

Selain itu, katanya, video yang sudah ditonton lebih 81,000 kali itu turut mendakwa daging babi akan diharam daripada dijual di negara ini, selain kedai judi perlu ditutup seperti di Kelantan dan Terengganu jika PN mentadbir negara.

“Dia kata daging babi akan diharam daripada dijual seperti di Kelantan, tetapi ini tidak benar kerana orang bukan Islam bebas membeli dan menjualnya di Kelantan dan Terengganu.

“Dakwaan orang bukan Islam perlu tukar agama juga adalah kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana PN berpegang pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Setakat ini, GERAKAN beri peluang kepada Youtuber ini untuk mohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman sivil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau memainkan sebahagian daripada video berdurasi lebih 10 minit itu berserta sari kata, yang antara lain menunjukkan Youtuber itu mendakwa Malaysia akan bertukar menjadi seperti Afghanistan dalam tempoh kurang lima tahun jika PN menjadi kerajaan.

Sentimen itu pernah dilaungkan secara terbuka oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika PN berkuasa.

Selain itu, Youtuber berkenaan yang memiliki lebih 61,000 pengikut, mendakwa pihak yang mempersoalkan kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada PN wajar menukar nama anak dan cucu kepada ‘Abdullah’, selain menyifatkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai ‘pengkhianat bangsa Cina’.

Kah Keong mengingatkan penyokong parti politik untuk tidak terikut dan mengulangi sentimen serta tuduhan dimainkan parti tertentu, khususnya dakwaan dalam video berkenaan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab. Kebebasan kita ada batasnya,” katanya, lapor Berita Harian.


- Wartarakyat


Gerakan minta ahli fokus PRN tahun depan - Dominic Lau


KUALA LUMPUR:
Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai meminta ahlinya supaya mula memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan di enam negeri pada tahun depan.

Lau berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir jentera parti itu kini bersedia menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga berkata pada PRU15 baru-baru ini, sokongan pengundi terhadap parti itu dan Perikatan Nasional (PN) meningkat.

"Kami mendapati bahawa 34 peratus pengundi kali pertama, terutama orang Melayu, telah memberi undi dan sokongan kepada PN.

Selain itu, undi diperoleh daripada rakyat juga meningkat kepada calon Gerakan pada PRN Melaka dan Johor lepas," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kajian semula pasca PRU15 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lau berkata parti berkenaan juga akan berkempen membantu calon PN di kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang ditangguhkan sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Dis bagi kerusi itu.







........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Gerakan pertaruh 80 peratus muka baharu


IPOH:
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mempertaruhkan 80 peratus muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, PRU kali ini menjadi medan penting bagi parti tersebut, di samping menitikberatkan barisan calon boleh menang dan diterima ramai.

"Ahli Jawatankuasa (AJK) kerja pusat telah membuat keputusan berhubung calon untuk PRU kali ini, ia kerana PRU15 ini sangat penting bagi Gerakan.

"Oleh itu calon-calon kita (Gerakan) terdiri daripada 80 peratus muka baharu, kita adalah satu pasukan campuran yang terdiri daripada calon berpengalaman, bersama orang muda sebagai muka baharu untuk bertanding dalam PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Gerakan, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung kaum calon yang akan bertanding kelak, beliau menjelaskan parti itu sememangnya bukan parti yang berasaskan kaum.

"Gerakan memang parti yang 'non ethnic', parti ini ada kaum Melayu, Cina dan India.

"Kali ini memang kita bukan mempertimbangkan daripada segi calon, tetapi lebih menjurus kepada winnable candidate (calon boleh menang), maksudnya peratusan boleh menang tinggi serta diterima ramai.

"Selain itu, calon yang boleh membela hak rakyat. Inilah kriteria yang akan dipertimbangkan untuk PRU15," katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi partinya di Perak, Dominic Lau berkata, mereka akan bertanding lebih daripada kerusi tradisi sebelum ini.

"Biasanya kita akan bertanding lebih banyak daripada kerusi tradisi yang kita ada, dulu kerusi tradisi ialah Taiping, Teluk Intan dan Beruas bagi Parlimen.

"Jadi,sepatutnya kali ini (PRU15) lebih banyak daripada itu," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, prinsip Gerakan sekarang bukanlah soal kerusi tradisi atau tidak, tetapi menumpukan kepada memenangkan Perikatan Nasional (PN).

Katanya lagi, pembahagian kerusi Gerakan kini dalam peringkat terakhir bagi PN, dan akan diumumkan tidak lama lagi.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Rakyat Malaysia wajib hormati Islam sebagai agama persekutuan - Gerakan


KUALA LUMPUR - Parti politik di Malaysia harus menjadi 'pembesar suara' dan bersikap membela sekiranya maruah agama Islam sebagai agama Persekutuan dicabul.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong berkata, pemimpin-pemimpin negara harus memainkan peranan penting dalam isu arak kerana seorang pemimpin sepatutnya mengetahui perbezaan bukannya menimbulkan konflik.

"Biarpun ada pihak yang mengatakan perbuatan tutup kilang (arak) adalah zalim tetapi tidak perlu membetulkan apa yang salah.

"Sebagai parti politik dan juga 'penggubal polisi', saya menyeru pihak-pihak berwajib meneliti semula dasar-dasar baharu berkaitan isu ini agar memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai isu pengeluaran wiski jenama Timah yang semakin hangat dibahaskan dengan pelbagai pandangan sehingga menyentuh sensitiviti keagamaan sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Kah Keong berpandangan, rakyat Malaysia tidak mengira sama ada penjual atau pembeli harus mempunyai sikap tanggungjawab bersama dalam diri masing-masing.

"Sebagai rakyat Malaysia, wajib menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kita juga mengetahui orang Islam tidak boleh dan haram minum atau berurusan berkaitan arak.

"Jadi tanggungjawab bersama untuk memahami itu penting demi kesejahteraan negara.

"Malah kerajaan juga tidak menafikan hak-hak orang bukan Islam untuk meminum atau membuka kilang arak tetapi harus mengikut peraturan serta undang-undang Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Kah Keong turut menyeru agar semua pihak mengambil hikmah atau kebaikan kenapa Islam mengharamkan arak.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Semua MP wajar pertimbang idea persefahaman rentas parti - Gerakan


14 OGOS: Semua ahli Parlimen pembangkang wajar mempertimbangkan tawaran persefahaman rentas parti atau bipartisan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, demi rakyat dan negara.

Berikutan itu, Presiden Parti Gerakan,Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata pihaknya menyokongan penuh terhadap inisiatif yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri untuk membuka kerjasama semua pihak dalam mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.

Dominic Lau berkata, apa yang dikemukakan Perdana Menteri bukanlah sekadar retorik justeru parti pembangkang tidak wajar menolaknya demi masa depan negara.

“Persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.

“Cadangan itu adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara,” katanya ketika mengulas ucapan khas Perdana Menteri berhubungan tujuh tawaran yang dicadangkan Perikatan Nasional kepada parti lain semalam.

Mengulas lanjut, Dominic berkata kesan pembaharuan itu jika dilaksanakan bukan saja akan mengubah landskap politik negara pada hari ini malah untuk beberapa generasi akan datang.

Sementara itu, Naib Pengerusi GERAKAN, Koo Shiaw Lee juga berkata, semua pihak harus mengetepikan perbezaan politik sesuai dengan slogan ‘utamakan rakyat’.

“Tanggungjawab yang lebih penting kini adalah membendung penularan COVID-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan Malaysia,”

“Kita boleh nampak disitu, tujuan PN adalah semata-mata untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik. Demi rakyat dan negara,” ujarnya.

Tambahnya yang juga Ketua Penerangan GERAKAN, ini bukan masanya untuk bertengkar soal siapa yang patut menjadi Perdana Menteri.

“Kita boleh menyelesaikan masalah itu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat,” katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Apa sebenarnya gerakan politik Gerakan?


BUKANLAH satu kejutan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ‘keluar masuk’ gabungan parti kerajaan. Dalam politik, tidak ada kawan dan lawan yang setia walaupun lebih ramai kawan yang berkawan ketika sama-sama senang.

Mungkin yang akan mengejutkan jika ada peluang baharu diberikan kepada Gerakan sebagai ganjaran.

Gerakan tinggalkan BN selepas BN kalah. Gerakan tidak keluar BN ketika BN menang dan Gerakan pula tersungkur. Samalah juga bagi anggota Parlimen (MP). Berapa ramai MP UMNO yang tinggalkan parti ketika UMNO masih memerintah?

Mungkin dalam hal ini (kesetiaan perjuangan) boleh dikecualikan bagi DAP dan wakil rakyatnya, walaupun ada seorang dua yang ‘goyang’ selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi DAP tetap ‘satu’ (meminjam slogan Gerakan).

Begitulah politik. Keputusan Gerakan meninggalkan BN secara sukarela selepas tidak ‘membantu’ kemenangan BN adalah tepat pada masanya lebih-lebih lagi selepas mendengar desakan akar umbi.

Menyelak sepintas lalu, Gerakan meninggalkan BN kerana kononnya mahu menjadi parti bebas yang konstruktif, memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan kepercayaan terbaik demi negara dan rakyat. Gerakan mahu melakarkan hala tuju baharu.

Gerakan mencuba perjuangan baharunya dengan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai pada November 2019 menghadapi BN (MCA), Bersatu, Berjasa dan Bebas. Calon Gerakan berjaya mendapat undi ketiga tertinggi tetapi hilang wang pertaruhan.

Impian Gerakan untuk menjadi sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sudah berakhir. PH bukan lagi kerajaan tetapi menjadi pembangkang.

Tidak pasti apa pula yang dicari Gerakan untuk beralih kepada blok kerajaan. Apa
peranan yang mahu dimainkan Gerakan melalui PN? Yang pasti Gerakan sedar ia tidak mampu ke mana tanpa berada dalam mana-mana gabungan.

Diharapkan penyertaan Gerakan yang tidak ada apa-apa kerusi tidak menjejaskan hubungan parti politik sedia ada. Kata orang ‘jangan kacau daun’.

Menyertai kerajaan PN yang memerintah bukan bermakna perlu dilayan bagai menatang minyak yang penuh kecuali ada pihak yang terdesak untuk meramaikan ‘anggota keluarga’ PN. Jangan pula ada ‘udang di sebalik batu’.

Satu perkara yang menjadi bualan dalam kalangan orang politik, adakah Gerakan akan menuntut itu dan ini sedangkan kekuatannya diragui? Siapa tahu, secara diam-diam akan ada permintaan pelbagai jawatan dalam kerajaan.

Tak kiralah sama ada Senator, menteri, timbalan menteri, pengerusi atau timbalan pengerusi pelbagai GLC, dan macam-macam lagi yang pernah dinikmati sebelum ini.

Tidak mustahil juga tuntutan kerusi yang akan berlaku sehingga memungkinkan rebutan kerusi semasa PRU akan datang. Ketika ini pun agihan kerusi menampakkan kekalutan yang melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu.

Orang politik apabila bercakap di hadapan nampak semuanya molek belaka tetapi apabila cakap di belakang macam-macam hal.

Sudah kedengaran Gerakan mahu kerusi yang pernah ditandinginya. Tidak pasti kebenarannya. Bagi isu ini, menarik untuk menyelak kembali kenyataan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, enam bulan selepas Gerakan meninggalkan BN.

Zahid berkata, UMNO Pulau Pinang berhasrat mengambil enam daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada Gerakan sebelum ini untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Persetujuan itu pada prinsipnya dicapai susulan permintaan dikemukakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir berhubung perkara itu.Jika UMNO sudah menyusun gerak kerjanya selama ini, apakah peluang Gerakan yang masuk melalui pintu PN?

Sebagai komponen terbaharu PN, Gerakan bolehlah menyusun gerakan mengembalikan semula pengaruhnya.

Gerakan belum berhasrat sertai BN, gabungan parti politik lain - Presiden


KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) belum berhasrat menyertai Barisan Nasional (BN) atau gabungan parti politik lain setakat ini, kata presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

"Setakat ini belum ada lagi," jawab Lau ringkas kepada pemberita, sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar parti Gerakan di ibu pejabat parti itu, di sini pada Isnin.
Gerakan pernah menjadi parti komponen BN, namun memutuskan untuk keluar daripada komponen tersebut pada Jun 2018, selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengenai mesyuarat tergempar parti yang dipengerusikannya hari ini itu, Lau berkata ia untuk membincangkan situasi politik tanah air dan langkah yang perlu diambil, untuk menghadapi perubahan landskap politik negara dan peranan yang perlu dimainkan parti itu.


"Jika ada perdana menteri baharu misalnya, bagaimana Gerakan sebagai parti politik boleh memainkan peranan di arena politik Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Gerakan desak PH Tunai Manifesto Tanpa Alasan – Dominic



KUALA LUMPUR – Selepas 16 bulan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya didakwa mengakui Pakatan Harapan (PH) memperdaya para pengundi menerusi manifesto-manifesto yang mustahil pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kenyataan Perdana Menteri itu secara tidak langsung membuktikan Kerajaan PH adalah pemerintah yang menipu.

“Mereka memenangi kuasa politik negara pada PRU-14 menerusi janji-janji yang tidak logik dan sukar dilaksanakan semata-mata ingin memperdaya rakyat.

“Saya hargai pengakuan Dr. Mahathir tetapi kenyataan Perdana Menteri itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia secara kolektif telah ditipu dalam PRU-14 oleh sekumpulan ahli politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Dominic, bagaimanapun PH dan Dr. Mahathir tidak boleh menjadikan kesukaran melaksanakan janji-janji itu sebagai alasan.

“Oleh kerana PH berjaya memperdaya para pengundi, mereka mesti juga menunaikan segala janji tersebut kepada orang ramai walau apa cara sekali pun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan Dr. Mahathir supaya tidak campur tangan dalam urusan dalaman kerajaan China dengan menyarankan pemimpin eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletak jawatan.

“Kerajaan China akan membuat keputusan mengenai peletakan jawatan Carrie Lam dan Dr. Mahathir perlu menunaikan janji menyerahkan kuasa sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Semalam, Dr. Mahathir mengakui kerajaan sukar menunaikan manifestonya termasuk janji untuk memansuhkan beberapa undang-undang yang drakonian atau keterlaluan. – UTUSAN ONLINE

PRK 165 Tanjung Piai: Gerakan pertimbang letak calon


Selepas tidak bertanding dalam semua lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak PRU ke-14, Presiden Gerakan Dominic Lau hari ini berkata parti itu serius mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang akan datang.

Lau berkata akar umbi Gerakan telah mendesak parti itu untuk bertanding kerana ia masih parti politik walaupun telah keluar BN pada Jun tahun lepas.

"Sama ada kami akan bertanding atau tidak, kita perlu melalui pelbagai peringkat.

"Kami menerima banyak maklum balas daripada akar umbi yang menasihatkan kami untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai kerana kami adalah parti politik," kata Lau semasa sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

"Sebagai parti politik, jika kita tidak bertanding maka ini akan menjadi pilihan raya kecil kesembilan yang kita tidak ambil bahagian.

"Oleh itu, Gerakan kini perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mengambil bahagian," katanya, memberi gambaran bahawa keputusan akhir mengenai perkara itu akan dibuat pada minggu depan.

Lau berkata biro politik Gerakan telah bermesyuarat pada hari Sabtu lalu dan memutuskan untuk meletakkan calon di Tanjung Piai.

"Tetapi beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya, sambil menambah bahawa parti itu akan mendapatkan maklum balas daripada akar umbi terutama di Tanjung Piai dan kerusi parlimen Pontian yang berdekatan.

"Sekiranya kita mengambil keputusan untuk bertanding, pasukan petugas pilihan raya akan dibentuk," katanya menjawab soalan pemberita sama ada Gerakan sudah mengenal pasti calon yang akan diletakkan.

Kerusi Tanjung Piai kosong susulan kematian penyandangnya, Mohamed Farik Md Rafik dari Bersatu.

Di tengah-tengah dakwaan Umno untuk bertanding di Tanjung Piai, presiden MIC SA Vigneswaran dilaporkan bertegas semalam bahawa MCA harus dikekalkan untuk bertanding di bawah tiket BN.

Kerusi Tanjung Piai secara tradisinya menyaksikan pertandingan antara MCA dan DAP, tetapi DAP telah memberi laluan untuk Bersatu bertanding pada PRU ke-14 lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa gabungan itu akan meletakkan calon dari Bersatu pada pilihan raya kecil pada 16 Nov ini.

Pada 5 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan membayangkan bahawa Umno boleh bertanding kerusi itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa PRK akan diadakan pada 16 Nov, manakala hari penamaan calon jatuh pada 2 Nov dan pengundian awal adalah pada 12 Nov.

Janji tidak ditepati faktor kekalahan PH di tiga PRK - Gerakan



KUALA LUMPUR: Keputusan tiga pilihan raya kecil (PRK) terakhir iaitu Cameron Highland, Semenyih dan Rantau didakwa satu hukuman rakyat di atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji-janji pilihan raya pada Pilihanraya Umum (PRU14) lalu.

Ia sekali gus menunjukkan kekecewaan masyarakat yang amat sensitif dengan keadaan sekitar, terutamanya dengan janji-janji yang ditaburkan oleh kerajaan hari ini.

“Soal janji itu amat penting sangat. Ia menyumbang kekalahan PH terutama sekali kegagalan atasi soal sara hidup dan aspek kebajikan rakyat dari struktur pelbagai masyarakat.

“Bermula dengan kegagalan menunaikan 10 janji 100 hari PH, kabinet yang sedia ada walaupun setahun sudah berlalu selepas PRU14, PH hanya mampu memberikan alasan yang sama menyalahkan kerajaan terdahulu,” kata Ketua Biro Perpaduan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, H. Puvaniten.

Kata Puvaniten, sokongan orang muda terhadap PH juga dilihat semakin menurun.

“Orang muda menjadi pendorong utama dalam peratusan pengundi pilihan raya lepas. Mereka kini sedar bahawa janji yang dibuat oleh kerajaan lepas hanya untuk meraih undi,” kata Puvaniten lagi.

Dalam PRK Rantau, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad Hasan menerima 10,397 undian mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram yang mendapat 5,887 undian.

GERAKAN belum putuskan untuk bertanding PRK Semenyih




GEORGETOWN: GERAKAN belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor atau sebaliknya.

Presidennya, Datuk Dominic Lau, berkata GERAKAN sebaliknya akan bermesyuarat terlebih dahulu bagi meneliti peluang dan kesediaan parti itu untuk bertanding pada PRK DUN Semenyih.

"GERAKAN bukan lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) dan kita boleh buat keputusan bila-bila masa, termasuk untuk mengumumkan calon yang bertanding pada PRK DUN Semenyih pada saat akhir.

"Bagaimanapun, kita akan umumkan (keputusan untuk bertanding atau tidak pada PRK DUN Semenyih) sebelum tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 16 Februari ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Isnin lalu, Dominic memberi bayangan bahawa GERAKAN mungkin bertanding pada PRK DUN Semenyih, selain sudah menubuhkan jentera parti untuk meneliti maklum balas pengundi di kawasan berkenaan.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan susulan penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Dalam pada itu, Dominic berkata, kriteria calon yang akan diletakkan bagi mewakili GERAKAN di kawasan berkenaan bukan isu utama dalam menentukan keputusan sama ada parti itu bertanding pada PRK DUN Semenyih.

"Sebaliknya, isu utama yang perlu dipertimbangkan sama ada GERAKAN sudah bersedia untuk menghadapi PRK ini. Ia kerana fokus utama kita adalah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

"Kita juga menumpukan usaha untuk menyatupadukan semula ahli parti. Malah, jentera dan calon perlu kuat dan semuanya memerlukan persiapan rapi. Bagaimanapun, kita akan dengar pandangan akar umbi, sebelum memuktamadkan keputusan," katanya.

Gagalnya idealisme Parti Gerakan


oleh: Zin Mahmud

Gerakan berada dalam BN sejak penubuhannya pada 1973 iaitu 45 tahun dalam kerajaan Persekutuan dan nasibnya akan diketahui pada perhimpunan agung tahunannya November ini.

Parti Gerakan baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN). Ia merupakan tanda kegagalan suatu idealisme politik yang didokong olehnya ketika ia ditubuhkan pada 1968.

Bukan itu saja, tetapi juga idealisme politik BN itu sendiri. Ini kerana Gerakan adalah 1 daripada 2 parti tonggak asal BN. Parti 1 lagi ialah PAS yang keluar BN pada 1978.

Kedua-dua kerajaan campuran Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan merupakan tonggak kepada idealisme politik BN yang mengorak langkah merintis suatu jalan perpaduan di mana penekanannya ialah pembangunan dan bukannya perbalahan.

Pilihan raya umum (PRU) 1969 menyaksikan PAS mengekalkan Kelantan dan Gerakan merampas Pulau Pinang daripada MCA yang mewakili Perikatan.

Ketua Perikatan, Tun Razak Hussein memulakan proses ini dengan mencapai persetujuan dengan Yang di-Pertua PAS, Datuk Asri Muda yang juga menteri besar Kelantan bagi penubuhan kerajaan campuran di peringkat negeri dan persekutuan.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan usaha itu dipandang sebagai persepakatan kuasa politik Melayu, maka pengumuman perkara itu hanya dibuat setelah persetujuan dicapai dengan ketua Gerakan, Dr Lim Chong Eu yang juga ketua menteri Pulau Pinang. Hanya apabila Gerakan bersetuju untuk bekerjasama dengan Perikatan barulah proses penubuhan BN bermula.

Parti lain di semenanjung iaitu Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) turut diajak menyertainya. Tetapi hanya PPP menyahut pelawaan Tun Razak yang hampir membentuk kerajaan Perak ekoran kemampuannya memenangi banyak kerusi DUN di negeri itu.

Walaupun BN sebagai Perikatan yang diluaskan tetapi ia mempunyai idealisme politik berbeza. Kalau Perikatan mempunyai parti yang mewakili 3 kaum di Semenanjung iaitu Umno, MCA dan MIC, tetapi BN menyediakan wadah yang berbeza.

Ia tidak membezakan parti mengikut kaum walaupun Umno, MCA dan MIC tetap berfungsi tetapi setiap parti berdiri atas idealisme masing-masing. PAS, Gerakan dan PPP berdiri atas fahaman masing-masing dan bukannya mewakili Melayu, Cina dan India.

Sementara di Sarawak dan Sabah, ia juga berbeza dengan Perikatan. Kalau Perikatan bekerjasama dengan Perikatan Sarawak dan Sabah tetapi BN meletak semua parti komponennya dari Sarawak dan Sabah duduk bersama dengan mereka di Semenanjung.

Sebab itu Gerakan merupakan parti tonggak dalam BN. Walaupun PAS keluar dari BN kemudiannya, kehadiran Gerakan dapat dipertahankan sehinggalah PRU14 yang menyaksikan parti itu tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen atau DUN.

Rakyat melihat Gerakan tidak relevan lagi dalam politik Malaysia. Sementara bagi ahli Gerakan, mereka berasakan sudah tidak ada sebab untuk terus berada dalam BN.

Puncanya adalah BN kalah dalam PRU14. Upko menjadi parti komponen pertama yang menarik diri. PPP yang kini dinamakan sebagai myPPP menjadi ahli komponen Semenanjung yang keluar gabungan itu.

Akhirnya, daripada 13 parti, BN tinggal 4 ahli iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Dengan keluarnya Gerakan, maka yang tinggal hanyalah Umno, MCA dan MIC iaitu ahli komponen asal Perikatan. Ternyata keluarnya Gerakan, bermakna BN sudah tiada.

Tetapi proses keruntuhan BN boleh dikira bermula pada 1978 apabila PAS dikeluarkan daripada gabungan itu. Sejak itu, idealisme asal BN sudah mula terhakis kerana kesepakatan awal itu digantikan dengan proses dominasi Umno.

Saya pernah mewawancara Asri pada 1982. Katanya, kepimpinan Tun Hussein Onn berbeza daripada Razak. Menurutnya, Razak mendengar dan mengambil kira pandangan parti komponen. Razak mungkin akan berusaha supaya PAS terus kekal dalam BN.

Bermulanya terhakis idealisme politik Gerakan pula adalah apabila berlaku perbalahan antara pemimpin Melayu dan Cina di dalamnya, iaitu pengasasnya Chong Eu dan Dr Syed Hussain Al-Attas. Perbalahan ini membawa kepada pengunduran aktivis Melayu dalam Gerakan yang akhirnya menjadikannya lebih berupa sebagai parti Cina, dan bukannya berbilang kaum.

Dalam BN, Gerakan menjadi salah 1 daripada 2 parti yang mewakili Cina di Semenanjung. Akhirnya pada PRU 2008, ketika kaum Cina umumnya menolak BN, maka Gerakan juga kehilangan Pulau Pinang kepada DAP.

Walaupun mereka berharap boleh bangkit kembali dalam PRU 2013, lebih-lebih lagi apabila ia berjaya mengalahkan DAP di pilihan raya kecil Teluk Intan tetapi keputusan PRU 2018 menunjukkan Gerakan tidak mempunyai harapan dalam BN.

Tahun ini Gerakan menyambut ulang tahun penubuhannya ke-50. Ketika penubuhannya, ia diharap akan menjadi parti masa depan Malaysia. Sebuah parti berbilang kaum yang sederhana berhaluan tengah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Parti itu berada dalam BN sejak penubuhannya pada 1973, iaitu 45 tahun. Ini bermakna ia berada dalam kerajaan persekutuan untuk 45 tahun sebelum kembali menjadi parti pembangkang. Apa yang akan berlaku pada parti ini akan diketahui November apabila ia mengadakan perhimpunan agung tahunannya.

Gerakan lahir sebagai parti pembangkang untuk menggantikan Parti Buruh Malaya yang pendaftarannya terbatal kerana gagal mengadakan persidangan agung. Keadaan ini berlaku antaranya kerana banyak aktivis Parti Buruh ditangkap atas sebab disyaki terlibat dengan fahaman komunis.

Tetapi tidak semua bekas aktivis Parti Buruh menyertai Gerakan. Ini kerana Gerakan ditubuhkan sebagai parti sederhana berhaluan tengah sedangkan Parti Buruh berhaluan kiri.

Aktivis Parti Buruh yang berhaluan sederhana diketuai Dr Tan Chee Khoon menyertai Gerakan. Mereka yang beraliran kiri memilih untuk menyertai PSRM, sementara sebahagian ahlinya yang cenderong pada perjuangan kaum pula memilih DAP.

Gerakan dikuatkan dengan penyertaan bekas ahli MCA yang menjadi pengikut Chong Eu. Beliau menubuhkan Gerakan setelah kalah dalam pemilihan MCA. Kehadiran Syed Hussain dalam Gerakan menawarkan tempat bagi orang Melayu yang menolak Perikatan, PAS atau PSRM.

Gerakan berbeza daripada DAP dan mereka tidak pernah mendokong gagasan Malaysian Malaysia yang diutarakan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Tetapi hanya dalam setahun, ia mampu meraih banyak kerusi hingga memenangi Pulau Pinang dengan bertanding sendiri. Sedangkan MCA sebelum itu memenangi negeri itu melalui Perikatan.

Walaupun semasa perarakan kemenangan parti pembangkang selepas PRU 1969, Gerakan turut terlibat bersama DAP tetapi kedua-dua parti itu tidak pernah berpakat dan bekerjasama. Sebaliknya Gerakan bekerjasama dengan MCA, MIC dan PPP dalam BN.

Gerakan mentadbir Pulau Pinang selama 4 tahun sebelum penubuhan kerajaan campuran dengan Perikatan. Tetapi dengan menyertai BN, Gerakan kehilangan sebilangan tokoh dan aktivisnya.

Syed Hussain keluar Gerakan dan membantu Chee Khoon menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Bersama bekas tokoh Parti Rakyat Malaya, Ahmad Boestamam, Chee Khoon mengharapkan Pekemas akan meneruskan idealisme dan perjuangan politik Gerakan.

Sementara itu, Gerakan dilihat sebagai MCA ke-2 dalam BN. Persepsi ini bertambah kuat apabila pemimpin MCA yang kalah pemilihan seperti Tun Michael Chen keluar parti dan menyertai parti itu.

Pekemas juga akhirnya dibubarkan apabila kebanyakan ahlinya termasuk Dr Tan Seng Giauw menyertai DAP. DAP juga banyak berubah apabila ia menyertai Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1999), Pakatan Rakyat (2008) dan Pakatan Harapan (2015). Sedikit sebanyak akhirnya idealisme politik asal Gerakan sedang didokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Gerakan umum keluar BN


Gerakan menjadi parti terbaru memutuskan untuk meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan mengejutkan pada pilihan raya umum bulan lalu.

Ia diumumkan oleh Naib Presiden parti itu, Dominic Lau selepas mesyuarat jawatankuasa pusat hari ini, yang berkata keputusan "sebulat suara" itu dicapai mengikut kehendak akar umbi parti.

"Salah satu keputusan yang telah kita buat ialah kita sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan Barisan Nasional. Sebab utama (untuk meninggalkan BN) adalah kerana ini adalah suara akar umbi, pendapat akar umbi dan juga kehendak akar umbi.

"Oleh itu, semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti, kita berbincang dan (kita) memutuskan untuk mendengarkan (kehendak) akar umbi. Sebab itulah kami memutuskan untuk meninggalkan Barisan," kata Lau kepada Malaysiakini di ibu pejabat Gerakan di Cheras hari ini.

Bagaimanapun Lau berkata ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dicapai oleh kepimpinan parti itu.

"Ini adalah satu keputusan yang sukar untuk dibuat, ini adalah mesyuarat jawatankuasa pusat kedua/ Dalam mesyuarat pertama kita mempunyai dua pendapat, ada yang merasakan bahawa kita harus keluar, ada yang merasakan kita harus kekal. Dalam mesyuarat ini kita semua memutuskan untuk meninggalkan Barisan," katanya

Beliau menambah bahawa satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan tidak lama lagi.

RM40j untuk Piala Dunia: Kerajaan sumbat gol sendiri, kata GERAKAN






Sukar dipercayai!

Itulah reaksi Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang selepas mendengar pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memperuntukkan RM40 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia 2018 di RTM.

Beliau berkata barangkali itulah sebabnya kerajaan perlu mewujudkan tabung bagi rakyat Malaysia memberi sumbangan untuk meringankan hutang negara.

"Kerajaan HARAPAN hari ini meminta rakyat menyumbang dalam tabung untuk membantu kerajaan.

"Hari ini kerajaan juga mengumumkan ia akan menggunakan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia. Tiba masanya untuk rakyat Malaysia berfikir semula.

"Saya ingin bertanya adakah tabung itu berkaitan dengan siaran Piala Dunia di RTM? Saya ingat kerajaan ingin jimatkan wang?" katanya di Twitter.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan kejohanan Piala Dunia - 27 perlawanan secara langsung manakala 14 perlawanan lain melalui siaran tertunda.

Gobind berkata kabinet menetapkan RM40 juta sebagai harga siling untuk membeli hak penyiaran itu.

Beliau juga berkata penaja akan menyerap sebahagian besar daripada kos.

Mesyuarat kabinet hari ini juga memutuskan untuk mewujudkan Tabung Harapan malaysia - usaha khas bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu mengurangkan beban hutang negara.

"Kita akan tubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk terima derma rakyat untuk membantu kedudukan kewangan negara.

"Kita alu-alukan sikap patriotik mereka ini kita ucap terima kasih kepada mereka untuk tentukan derma ini sampai kepada pihak yang bertanggungjawab dalam kerajaan. Maka kerajaan tentukan semua derma ini diberi kepada kementerian berkenaan," kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRU14 : Gerakan Peroleh Momentum baru?


PUTRAJAYA – Selepas kalah dengan teruk dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, parti Gerakan semakin memperoleh momentum untuk bangkit semula dan melaksanakan peranan lebih penting sebagai antara parti komponen yang utama dalam Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Semua tanda memberi petunjuk positif bahawa Gerakan kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi pilihan raya umum itu yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

Parti itu mendapat kembali sokongan yang hilang sebelum ini dan sebagai permulaan, presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong berjaya memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil 2014 setelah gagal mempertahankan kerusi itu selama dua penggal berturut-turut pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Mah mula memenangi kerusi itu pada 1999 dan mengekalkannya dalam pilihan raya umum 2004.
Momentum itu tidak terhenti di situ sahaja.

Kini terdapat peralihan sokongan terhadap Gerakan berdasarkan maklum balas daripada akar umbi, kata Mah.

“Parti ini terus berkhidmat kepada rakyat… membantu rakyat… meskipun mengalami kekalahan besar dalam dua pilihan raya umum sebelum ini dan ia menjadi penyumbang kepada sokongan yang lebih banyak kepada parti,” katanya.


Gerakan hanya mampu menang satu kerusi parlimen iaitu Simpang Renggam di Johor serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada pilihan raya umum 2013 dan sekadar menang dua kerusi parlimen serta empat kerusi DUN pada pilihan raya umum 2008.


“Saya meninjau ke beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang. Saya dapat merasakan ada peralihan mood (kembali kepada Barisan Nasional).


“Berdasarkan apa yang saya baca, pada 2013, sokongan kaum Cina kepada BN hanya kurang daripada 15 peratus. Penilaian saya (bagi PRU14) semestinyalah lebih baik daripada itu. Sebab itulah kami berkeyakinan,” katanya kepada Bernama dan New Straits Times di pejabat beliau di sini.


Namun begitu, Mah memberi amaran parti itu tidak boleh berada dalam zon selesa berikutan isyarat positif yang dihantar pengundi oleh kerana parti berhadapan dengan cabaran getir persepsi politik dan perang psikologi yang dilancarkan DAP.


Beliau berkata DAP yang mula berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008, semakin besar kepala, terpengaruh oleh keyakinan bahawa mereka akan dapat mengulangi kejayaan mereka kali ini.

“Pembangkang ini bongkak dan angkuh, mereka fikir mereka boleh sapu bersih,” kata Mah, yang optimistik Gerakan akan dapat menguasai Pulau Pinang dalam pilihan raya umum kali ini.

Beliau turut menyelar kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana gagal memenuhi harapan rakyat apabila mereka tidak melaksanakan janji yang ditabur sebelum ini.

Katanya sungguhpun Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang dalam PRU13, kekalahan itu tidak memusnahkan Gerakan Pulau Pinang atau menghalang anggota parti itu daripada memberi khidmat dan sokongan kepada rakyat di negeri itu yang sebelum ini dipimpin Gerakan sebelum kekalahan parti itu pada 2008.

“Bagi saya, kad laporan sangat penting, sama ada ia rekod kerajaan atau individu. Ketika pilihan raya berlangsung, tempoh berkempen hanyalah dua minggu, jadi kita ada ramai ‘calon terbang’ yang akan ‘mendarat’ di sana sini dan menabur pelbagai janji,” katanya.


Beliau berkata DAP bukannya berkhidmat kepada rakyat dan negeri, sebaliknya mereka menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap pemimpin BN, dan kata Mah, beliau turut menjadi mangsa jenayah kebencian DAP.

“Saya belum pernah melihat begitu banyak politik kebencian terhadap saya sejak hari pertama saya menjadi presiden Gerakan,” katanya, dan menambah, percubaan pembangkang untuk ‘menghapuskan’ beliau di Teluk Intan dalam PRU14 tidak akan menjadi penamat kepada parti ini yang lantang dalam perjuangannya.

Mah berkata: “Gerakan ada begitu ramai pemimpin berkebolehan. Kalaupun saya dihapuskan di sana masih ramai pemimpin berkebolehan yang boleh mengambil alih. Jadi, lupakan saja cadangan untuk menghapuskan Gerakan”. – BERNAMA

Anak Raja Petra sertai Gerakan



PETALING JAYA: Raja Sara Petra, anak perempuan penulis blog Raja Petra Kamaruddin menyertai Gerakan dan akan menyelia perancangan parti itu untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Raja Sara, 29, diperkenalkan kepada ramai semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Gerakan di Kompleks Penyayang Bakti di Bandar Sri Damansara pada Sabtu.

Beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada golongan beliau agar bersama-sama melakukan sesuatu untuk negara.

"Ramai belia mengadu di media sosial seperti Facebook bahawa mereka kecewa dengan situasi di Malaysia. Namun kita ada tujuh juta penduduk yang boleh mengundi tetapi masih tidak menunaikan tanggungjawab itu.


"Anda sayangkan negara anda, jadi kali ini tunjukkannya. Ia hanya mengambil masa sejam untuk keluar dan mengundi," kata Raja Sara.

Jelas Raja Sara, beliau sudah menyertai Gerakan dalam tempoh kurang setahun.

"Ia sebuah parti berbilang kaum dan saya percaya pada Malaysia yang berbilang kaum," katanya ketika ditanya mengenai sebab menyertai parti itu.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata beliau menyerahkan tugas kepada Raja Sara untuk menyelia sumbangan parti itu kepada inisiatif TN50.

"Kami di Gerakan amat proaktif dan bekerja keras. Kami sedang merangka pelan untuk menjadi sebahagian daripada TN50.

"Kami menggalakkan lebih ramai golongan belia seperti Raja Sara menyertai parti ini. Kami mahu golongan muda yang berfikiran terbuka dan mewakili ideologi 'Bangsa Malaysia' untuk menyumbang kepada parti.

"Golongan beliau pasti membawa lebih banyak idea kepada TN50," katanya.

Raja Sara berkata beliau masih terlibat dengan perbincangan bersama pemimpin parti dan Gerakan Wanita untuk merangka pelan bagi TN50.

"Setakat ini tiada apa telah ditetapkan memandangkan saya masih baru di dalam parti," katanya ketika ditanya jika beliau mahu memegang sebarang jawatan di dalam parti itu.

© all rights reserved
made with by templateszoo