NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa sebenarnya gerakan politik Gerakan?


BUKANLAH satu kejutan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ‘keluar masuk’ gabungan parti kerajaan. Dalam politik, tidak ada kawan dan lawan yang setia walaupun lebih ramai kawan yang berkawan ketika sama-sama senang.

Mungkin yang akan mengejutkan jika ada peluang baharu diberikan kepada Gerakan sebagai ganjaran.

Gerakan tinggalkan BN selepas BN kalah. Gerakan tidak keluar BN ketika BN menang dan Gerakan pula tersungkur. Samalah juga bagi anggota Parlimen (MP). Berapa ramai MP UMNO yang tinggalkan parti ketika UMNO masih memerintah?

Mungkin dalam hal ini (kesetiaan perjuangan) boleh dikecualikan bagi DAP dan wakil rakyatnya, walaupun ada seorang dua yang ‘goyang’ selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi DAP tetap ‘satu’ (meminjam slogan Gerakan).

Begitulah politik. Keputusan Gerakan meninggalkan BN secara sukarela selepas tidak ‘membantu’ kemenangan BN adalah tepat pada masanya lebih-lebih lagi selepas mendengar desakan akar umbi.

Menyelak sepintas lalu, Gerakan meninggalkan BN kerana kononnya mahu menjadi parti bebas yang konstruktif, memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan kepercayaan terbaik demi negara dan rakyat. Gerakan mahu melakarkan hala tuju baharu.

Gerakan mencuba perjuangan baharunya dengan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai pada November 2019 menghadapi BN (MCA), Bersatu, Berjasa dan Bebas. Calon Gerakan berjaya mendapat undi ketiga tertinggi tetapi hilang wang pertaruhan.

Impian Gerakan untuk menjadi sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sudah berakhir. PH bukan lagi kerajaan tetapi menjadi pembangkang.

Tidak pasti apa pula yang dicari Gerakan untuk beralih kepada blok kerajaan. Apa
peranan yang mahu dimainkan Gerakan melalui PN? Yang pasti Gerakan sedar ia tidak mampu ke mana tanpa berada dalam mana-mana gabungan.

Diharapkan penyertaan Gerakan yang tidak ada apa-apa kerusi tidak menjejaskan hubungan parti politik sedia ada. Kata orang ‘jangan kacau daun’.

Menyertai kerajaan PN yang memerintah bukan bermakna perlu dilayan bagai menatang minyak yang penuh kecuali ada pihak yang terdesak untuk meramaikan ‘anggota keluarga’ PN. Jangan pula ada ‘udang di sebalik batu’.

Satu perkara yang menjadi bualan dalam kalangan orang politik, adakah Gerakan akan menuntut itu dan ini sedangkan kekuatannya diragui? Siapa tahu, secara diam-diam akan ada permintaan pelbagai jawatan dalam kerajaan.

Tak kiralah sama ada Senator, menteri, timbalan menteri, pengerusi atau timbalan pengerusi pelbagai GLC, dan macam-macam lagi yang pernah dinikmati sebelum ini.

Tidak mustahil juga tuntutan kerusi yang akan berlaku sehingga memungkinkan rebutan kerusi semasa PRU akan datang. Ketika ini pun agihan kerusi menampakkan kekalutan yang melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu.

Orang politik apabila bercakap di hadapan nampak semuanya molek belaka tetapi apabila cakap di belakang macam-macam hal.

Sudah kedengaran Gerakan mahu kerusi yang pernah ditandinginya. Tidak pasti kebenarannya. Bagi isu ini, menarik untuk menyelak kembali kenyataan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, enam bulan selepas Gerakan meninggalkan BN.

Zahid berkata, UMNO Pulau Pinang berhasrat mengambil enam daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada Gerakan sebelum ini untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Persetujuan itu pada prinsipnya dicapai susulan permintaan dikemukakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir berhubung perkara itu.Jika UMNO sudah menyusun gerak kerjanya selama ini, apakah peluang Gerakan yang masuk melalui pintu PN?

Sebagai komponen terbaharu PN, Gerakan bolehlah menyusun gerakan mengembalikan semula pengaruhnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo