NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jimat elektrik dengan solar PV

Oleh Amree Ahmad

MUNGKIN tidak ramai tahu bahawa anda boleh menjimatkan bil elektrik setiap bulan dengan pemasangan solar Photovoltaic (PV) di bumbung rumah sendiri atau pun bangunan komersial.

Kaedah ini cukup popular di kebanyakan negara Barat sejak dirintis Eurosolar, sebuah badan promosi tenaga boleh diperbaharui yang berpusat di Jerman dan ditubuhkan pada 1988 lalu.

Malahan, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berpangkalan di Perancis dan diasaskan pada 1974, melaporkan lebih 100 buah negara sudah menggunakan solar PV untuk janaan elektrik.

Ia mula ambil alih peranan bekalan tenaga dijana hidro dan angin selain petroleum dan arang batu, sekali gus alam sekitar jadi lebih lestari menuju sasaran mampan rendah karbon sejagat.

Menurut IEA, setakat ini China muncul negara pengguna terbesar solar PV di dunia dengan 204,700MW; jauh meninggalkan Amerika Syarikat sekadar 75,900MV dan Jepun 63,000MW.

Selain India dan Korea Selatan termasuk dalam senarai 10 negara terkemuka guna tenaga suria ini, Malaysia pula masih baharu apabila berada di tempat ke-40 dengan hanya 882 MW.

Namun, di peringkat rantau Asia Tenggara, negara kita sebenarnya agak di belakang Filipina, Thailand dan Vietnam yang tampak lebih hadapan pula waima setaraf banyak negara maju.

Secara keseluruhan, solar PV baru menjana 627,000MW atau sekitar tiga peratus daripada bekalan elektrik global kerana kurang kesedaran dan hebahan belum meluas di media massa.

Di Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mula perkenal Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) sejak 2016 bagi promosi bekalan elektrik janaan solar PV.

Menurut menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, ketika itu kerajaan menawarkan kuota sebanyak 500MW dan sudah habis dimohon ramai pengguna sejak 27 November lalu.

Justeru, demi menggalakkan rakyat beralih kepada tenaga hijau yang mesra alam, NEM 3.0 dibuka kepada awam mulai 1 Februari lepas dengan tiga inisiatif baharu sehingga akhir 2023.

“Ia membolehkan ramai pengguna dapat jimat bil elektrik malah kerajaan berharap, skim ini akan bantu rakyat terlibat dalam agenda perkasa tenaga boleh diperbaharui negara,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif terkini itu menolong pihak agensi kerajaan, rumah ibadat, syarikat dan usahawan tempatan yang masih terkesan teruk akibat impak penularan wabak Covid-19.

Bahkan untuk meneruskan inisiatif pemasangan solar PV di bumbung premis bangunan atau kediaman, kuota baharu sebanyak 500MW ditawarkan selama tiga tahun lagi bermula 2021.

“Ini membuka peluang kepada semua pengguna elektrik untuk memasang solar PV sebagai alternatif jimat bil mereka selain diperkenalkan inovasi baharu konsep ‘NEM maya’,” katanya.

Langkah tersebut ujar beliau, akan membolehkan pemilik bangunan komersial dan industri untuk berkongsi lebihan tenaga dengan pelbagai bangunan mereka di lokasi berlainan pula.

Kementerian katanya, turut ambil perhatian terhadap maklum balas semua pihak mengenai model perniagaan dan tempoh pulangan pelaburan ketika NEM 2.0 dilaksanakan sebelumnya.

Sehubungan itu ujarnya, kadar offset atau tukar ganti selepas tempoh 10 tahun yang pertama adalah pada kadar sistem harga marginal atau SMP grid pasaran untuk 10 tahun berikutnya.

“Pengguna daripada NEM 2.0 bahkan boleh terus menikmati penjimatan bil elektrik dengan menyertai Skim ‘Self-Consumption’ selepas tempoh kadar offset SMP tamat,” katanya lagi.

Uniknya jelas beliau, NEM 3.0 mengandungi tiga inisiatif antaranya Program NEM Rakyat yang dijangka beri manfaat pengurangan bil untuk sehingga 25,000 pemilik akaun domestik.

Permohonan program baharu itu kata beliau, boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 1 Februari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

“Turut diperkenalkan ialah Program NEM GoMEn (Government Ministries and Entities) yang bakal beri faedah bagi 100 agensi kerajaan di Semenanjung Malaysia,” kata Shamsul Anuar.

Inisiatif tersebut kata beliau, dijangka mampu memberi penjimatan bil elektrik setiap bulan yang dianggarkan berjumlah RM6 juta dengan kuota bekalan ditawarkan sebanyak 100MW.

Manakala inisiatif ketiga, Program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation) untuk pengguna komersial dan industri yang boleh menjual lebihan tenaga kepada grid mengikut kadar SMP.

“Program baharu ini turut meliputi rumah ibadat menjimatkan bil elektrik menerusi sistem solar PV dan mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat utiliti tenaga,” jelas beliau lagi. 

-BebasNews 
https://bebasnews.my/?p=54200

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo